Orang ramai memenuhi kawasan kemalangan untuk melihat kejadian tersebut. |
TELOK PANGLIMA GARANG - Seorang lelaki dan anaknya maut manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala selepas kereta jenis Wira Aeroback dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang terbabas dari arah bertentangan berhampiran Balai Polis Telok Panglima Garang di Kilometer 16, Jalan Klang-Banting, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa, Azhar Mohamad Jafar, 40, dan anaknya meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Menurut sumber, kejadian berlaku ketika hujan lebat apabila pemandu yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Klang menuju ke Banting tidak dapat mengawal kenderaan di selekoh akibat hujan lebat.
“Sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan sebuah kenderaan Wira Aeroback yang cuba mengelak terbabit dalam kemalangan.
“Pada masa sama, sebuah kereta lain dipandu oleh pasangan suami isteri turut merempuh bahagian belakang kereta mangsa,” katanya.
Isteri Azhar dan pasangan suami isteri terbabit masih lagi dirawat di HTAR akibat cedera parah.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan kejadian itu dan memberitahu bahawa punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment