Saturday, July 28, 2012

Mayat anak ditemui di bawah jambatan selepas dua hari

Mayat anak ditemui di bawah jambatan selepas dua hari
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.
PONTIAN - Seorang bapa tidak menyangka keceriaan berbuka puasa bersama anak lelaki di kampung halamannya adalah detik terakhir sebelum mayat si anak berusia 28 tahun dijumpai di bawah jambatan Sungai Pinggan, berhampiran Kampung Parit Selangor, Benut, petang kelmarin.

Bachok Hadadak, 67, tidak menyangka Adzlin Bachok yang merupakan anak kelapan dari 11 beradik itu pergi buat selamanya ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan.

Menurutnya, dia sempat bertemu dengan anaknya itu yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikatdi Pontian, pada malam Isnin untuk berbuka bersama sebelum Allahyarham keluar rumah kira-kira jam 10 malam.

“Kira-kira jam 10 malam, dia memberitahu hendak keluar sebentar, untuk berjumpa kawan tetapi tidak menyatakan ke mana," kata peneroka Felda Layang-layang itu.

Katanya, dia menyangka anaknya itu pulang ke rumah sewanya dan tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berlaku memandangkan anaknya itu tidak pulang keesokan harinya.

“Saya sangka arwah pulang ke rumah sewanya dan langsung tidak mengesyaki apa-apa yang buruk berlaku ke atas dirinya," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian, malam kelmarin.

Bachok berkata, dia mendapat tahu kematian anaknya itu kira-kira jam 6 petang Rabu lalu melalui panggilan telefon yang dibuat rakannya.

Katanya, sebelum kejadian, rakan kepada arwah ada memberitahu kereta yang arwah gunakan itu berada di kawasan pasar awam Benut namun tidak mengesyaki sebarang perkara pelik kerana menyangka anaknya itu menumpang kereta rakan.

"Isnin lalu, saya dan isteri dari Felda Layang-layang pulang ke kampungnya di Kampung Parit Mastar, Benut untuk berjumpa ahli keluarga termasuk arwah selepas mengambil durian runtuh RM5,000.

"Arwah sudah bertunang dan akan mengakhiri zaman bujangnya pada April tahun depan dan bekerja sebagai pemandu lori," katanya.

Katanya, arwah merupakan seorang yang peramah dan tidak suka banyak berbual selain tidak menunjukkan sebarang tingkah laku ganjil ketika mereka berbuka puasa bersama Isnin lalu.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis, Superintendan Tan Moh Chuan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya pihak polis menerima laporan daripada orang awam memberitahu terjumpa mayat hanyut di dalam Sungai Pinggan berhampiran Jambatan Parit Makasar, Benut, kira-kira jam 5.10 petang Rabu.

Mayat dikenal pasti sebagai lelaki berpakaian lengkap dipercayai berusia dua hari berdasarkan keadaannya.

Pihak polis katanya, sedang menjalankan siasatan dan kini masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Pontian (HP) serta akan mengadakan sidang akhbar sebaik sahaja menerima laporan bedah siasat.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...