Sunday, September 23, 2012

Selamatkan diri guna baldi tutup muka, kepala

Keadaan bengkel besi di Jalan Pantai yang terbakar
Keadaan bengkel besi di Jalan Pantai yang terbakar
PANTAI - "Saya terpaksa menutup muka dan kepala dengan baldi untuk keluar dari kawasan bengkel sebab takut terkena api," kata seorang pekerja bengkel besi yang terselamat dalam kebakaran kira-kira jam 12 tengahari, semalam.

Mohd Al-Hafiz Baharuddin, 23, berkata, ketika itu,  dia berada di dalam tandas.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana bengkel boleh terbakar dan semasa keluar dari tandas, dia lihat api sudah menjulang tinggi.

“Selepas itu, saya berlari keluar untuk mendapatkan bantuan orang ramai sebelum menelefon pihak bomba dan bos saya,” katanya.

Sementara itu, pemilik bengkel besi itu, Mohd Razali Sharudin, 33, berkata, ketika kejadian, dia keluar untuk membeli barang dan mengetahuinya selepas dimaklumkan pekerjanya semasa dalam perjalanan pulang ke bengkel.

"Semasa tiba di bengkel, api sudah padam dan ketika kejadian hanya seorang  pekerja saya berada di bengkel.

"Semua mesin dan besi yang ada di dalam bengkel terbakar dan tidak ada apa dapat diselamatkan,” katanya.

Katanya, bengkel itu dibuka sejak awal 2011 dan kejadian  tersebut adalah yang pertama dialaminya.

"Anggaran kerugian yang dialami sekitar RM7,000 hingga RM8,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba Jalan Rahang, Mustaza Sairan berkata, sebanyak dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

“Semasa jentera pertama sampai, api sudah hampir padam dan hanya tinggal bara sahaja. Kita memadamkan sisa-sisa bara bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.

“Siasatan awal tidak menolak putung rokok yang diletakkan di atas meja atau kerusi yang menjadi punca kebakaran," katanya.

Katanya, walau bagaimanapun, pihaknya perlu menunggu laporan penuh Unit Forensik dan Siasatan Jabatan Bomba untuk mengesahkannya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...