Friday, September 21, 2012

Lelaki ditangkap selepas membunuh

Lelaki ditangkap selepas membunuh
ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang mati akibat ditikam penyamun di Seremban semalam.
SEREMBAN – Perbuatan jahat seorang penjenayah yang bersekongkol dengan dua lagi rakannya menyamun dan membunuh seorang lelaki berbalas apabila dia ditangkap ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di lorong belakang sebuah bangunan di Jalan Utam Sigh di sini semalam.

Kejadian pada pukul 5.10 pagi itu berlaku setelah tindakan kejam suspek tersebut disedari oleh seorang pemilik restoran yang terdengar jeritan mangsa. Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu mati akibat ditikam di dada.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa yang sedang berjalan bersendirian dihampiri tiga penyamun terbabit.

“Mangsa kemudian sempat menjerit sebelum didengari oleh pemilik restoran yang bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa orang awam.

“Melihatkan keadaan itu, kesemua suspek melarikan diri mengikut arah berasingan namun salah seorang daripada mereka dapat diberkas kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, suspek berusia lingkungan 40-an itu merupakan warga asing dan polis turut menemui sebatang pemutar skru padanya. Polis sedang menyiasat barangan berharga milik mangsa yang dilarikan suspek.

Menurut Saiful Azly, polis sedang mengesan dua lagi rakannya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. Kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...