Friday, November 2, 2012

Pemain pakau profesional AS menang RM26 juta

LOS ANGELES - Seorang pemain pakau profesional dari Amerika Syarikat (AS), Greg Merson diumum sebagai juara Kejohanan Pakau Siri Dunia semalam, kata pihak penganjur.

Merson dinobatkan sebagai juara dunia selepas menamatkan perlawanan pakau peringkat akhir selama 13 jam.

main pakau
MERSON dari Laurel, Maryland memegang gelang emasnya selepas memenangi Kejuaraan Pakau Siri Dunia di Rio Hotel & Casino di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pemuda berusia 24 tahun itu membawa pulang wang tunai berjumlah AS$8,531,853 (RM26 juta) bersama gelang emas. Siri kejohanan tersebut mengambil masa sepanjang malam melibatkan 400 orang peserta di Las Vegas.

Pada perlawanan akhir, Merson menentang dua peserta akhir iaitu Jesse Sylvia dan Jake Balsiger.

Jelas Merson, dia merancang untuk mengembara ke pusat perjudian utama China, Macau untuk bermain dalam permainan pakau yang menawarkan hadiah wang tunai tinggi dan bukannya menyertai sirkit perlawanan pakau yang memenatkan.

"Itulah yang ingin saya lakukan. Menyertai permainan pakau terbesar dunia dan tidak kehilangan semua wang saya," kata Merson yang dipetik oleh akhbar Sun Las Vegas.

Seorang lagi finalis, Sylvia memenangi wang tunai AS$5,295,149 (RM16 juta) apabila menduduki tempat kedua.

"Saya sudah cuba sedaya upaya. Adakalanya perkara tidak berlaku seperti yang kita kehendaki, tidak mengapa. Saya rasa saya telah bermain dengan baik sekali," kata Sylvia.

Balsiger, 21, yang membawa pulang wang tunai berjumlah AS$3,799,073 (RM11.2 juta) pula dikatakan sebagai pemenang termuda kejohanan tersebut setakat ini.

sumber- AFP

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...