Tuesday, October 2, 2012

DJ nyaris jadi mangsa culik, bunuh, bakar

Julie Diana Omar Shariff
Julie Diana menunjukkan kecederaan yang dialaminya.
JOHOR BAHRU – Seorang penyampai (DJ) di stesen radio Best 104 di sini nyaris menjadi mangsa culik, bunuh dan bakar selepas dilarikan lebih sepuluh lelaki tidak dikenali dalam kejadian jam 1 pagi, Sabtu lalu.

Menceritakan detik-detik cemas dilaluinya, Julie Diana Omar Shariff, 34, berkata, selepas tamat bekerja pada hari itu, dia terus memandu kereta menuju ke rumah ibunya di Kampung Sungai Danga, di sini.

“Saya memandu seperti biasa di Lebuhraya Persisir Pantai dan terkejut apabila tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna merah terus menuju ke depan menghalang Proton Neo yang saya naiki.

“Seorang lelaki keluar daripada kereta tersebut, sebelum kereta saya dihimpit pula di sebelah tepi oleh sebuah Kereta Wira yang juga datang secara tiba-tiba,” katanya membuka cerita.

Menurut Julie Diana, segala-galanya berlaku begitu pantas sehingga dia tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa.

“Salah seorang daripada lelaki tersebut membuka pintu kereta lalu mengacukan pisau Rambo ke leher saya. Dia menarik saya keluar dan memaksa menaiki keretanya.

“Sebaik sahaja saya masuk, muka saya segera diserkup dengan kain dan tangan pula diikat,” katanya kepada wartawan sewaktu ditemui di rumah keluarganya, di sini.

Diculik kerana cinta tak berbalas

Julie Diana berkata, apabila bertanya mengapa dia diperlakukan sebegitu rupa, salah seorang daripada penjenayah itu memberitahu mereka datang dari jauh selepas diarahkan seseorang untuk menculik kemudian membunuh dan membakarnya kerana cinta tidak berbalas.

“Kepala saya ligat memikirkan siapa yang dimaksudkan kerana saya memang tak ada langsung masalah percintaan, sekadar ramai peminat. Itupun kerana tugas saya sebagai penyampai radio,” katanya yang menganggarkan ada dua atau tiga lelaki turut sama berada dalam kenderaan berkenaan.

Tambah Julie Diana, menerusi walkie-talkie yang digunakan penjenayah tersebut, dia terdengar rancangan mereka untuk membawanya ke sebuah gudang di Batu Pahat untuk dibunuh.

“Berderau darah saya mendengarnya. Apatah lagi untuk membuktikan tindakan mereka serius, ibu jari dan leher saya dihiris dengan pisau Rambo sehingga luka sebagai tanda amaran,” katanya.

Menurutnya, selepas beberapa ketika, mereka berhenti di satu tempat.

“Kebetulan kain yang menutupi muka saya tersingkap sedikit, dan dari situ saya dapat lihat kami berada di kawasan tanah perkuburan Cina. Ada ramai lelaki di situ dengan bunyi kenderaan yang banyak. Saya rasa mungkin lebih daripada sepuluh lelaki. Salah seorang daripada mereka kemudiannya meminta saya menyerahkan wang, barang kemas dan kad ATM bersama nombor pin,” katanya yang terus menyerahkan apa yang diminta tanpa banyak soal.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...