JENGKA 4 - Penduduk Felda Jengka 4 digemparkan dengan kejadian motosikal terbang dan tersangkut di atas atap garaj salah sebuah rumah milik peneroka tanah rancangan terbabit, petang kelmarin.
Motosikal terbabit yang dinaiki tiga remaja berusia 16 tahun itu dikatakan terbabas sebaik sahaja keluar dari satu simpang kerana gagal mengawal brek lalu merempuh atap garaj rumah milik Ramlah Seman, 55, yang berada dalam kedudukan kira-kira tiga meter lebih rendah dari jalan tersebut.
Ramlah berkata, ketika kejadian, dia dan anak serta cucunya sedang berehat di dapur rumahnya.
“Tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat seakan-akan bunyi guruh namun tidak mengesyaki apa-apa.
“Tidak lama kemudian saya mendengar riuh rendah di luar rumah memanggil nama saya dan memberitahu ada motosikal tersangkut di atap garaj rumah saya,” katanya.
Motosikal yang ditunggang remaja terbabit tersangkut di atap rumah milik Ramlah. |
Sebaik sahaja keluar rumah, Ramlah memberitahu, orang ramai sedang berkerumun di hadapan rumahnya menyaksikan kejadian yang belum pernah terjadi sepanjang tinggal di tanah rancangan terbabit.
“Saya meminta jiran-jiran untuk menurunkan dua orang remaja yang tercampak di atas atap rumah saya,” katanya yang memberitahu jiran-jiran turut membantu menurunkan motosikal tersebut dari bumbung rumahnya.
Suaminya, Mat Yusuf Noh, 66, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian atap garaj rumahnya rosak.
“Kejadian ini sebenarnya bukan kejadian pertama menimpa keluarga saya di mana sebelum ini, rumah ini pernah dilanggar sebuah kereta yang terbabas di simpang di hadapan rumah saya ini.
“Sebahagian dinding batu roboh, namun bernasib baik kerana secara kebetulan, tiada kereta diletakkan di bawah garaj tersebut,” katanya.
Penunggang motosikal terbabit, Muhammad Fikri Saridan, 16, yang patah kaki dan tangan, sempat terjun dari motosikal tersebut sebelum tercampak ke atas atap.
Sinar Harian dimaklumkan, dua rakan sebaya Muhammad Fikri yang membonceng motosikal tersebut turut tercampak ke atas atap.
Salah seorangnya patah tangan dan masih di rawat di Hospital Jengka manakala seorang lagi cedera ringan.
sumber- Sinar
sumber- Sinar