Pages - Menu

Friday, October 19, 2012

Pura-pura tanya arah

SUNGAI PETANI: Tembelang seorang yang berlegar-legar dengan bertanyakan arah di Taman Arked, di sini, sejak dua hari lalu terbongkar apabila ditahan sebelum dibelasah orang ramai kerana didapati memecah masuk rumah seorang penduduk, semalam.

Kejadian berlaku jam 3 petang apabila lelaki berusia 30-an itu cuba melarikan diri ketika dikejar orang ramai yang berang tindakannya memecah masuk rumah penduduk sebelum cuba melarikan barang berharga milik mangsa.

pecah rumah Sungai Petani
gambar hiasan
Sumber berkata, lelaki terbabit yang menunggang motosikal dikesan berlegar-legar di taman perumahan itu sejak kelmarin sebelum dipercayai memasuki rumah penduduk awal pagi semalam dengan melarikan sebuah komputer riba dan barang kemas.

Menurutnya, suspek dikejar pemilik rumah bersama penduduk, namun melarikan diri dalam kawasan semak berhampiran selepas meninggalkan motosikalnya.

Bagaimanapun, katanya, suspek dikesan apabila cuba memasuki rumah penduduk lain dan sempat melarikan sejumlah wang tunai.

“Kelibat suspek memasuki rumah disedari pemilik rumah lalu bertindak mengejarnya sejauh satu kilometer sebelum ditahan dengan bantuan orang ramai.

“Sebaik ditahan, suspek dibelasah penduduk yang berang sebelum menghubungi polis yang menahannya untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek yang dipercayai pernah terbabit dengan kegiatan pecah rumah di beberapa kawasan perumahan berhampiran.

sumber- HMetro

Dongeng: Gadis Si Penjual Mancis

Gadis Si Penjual Mancis

Pada malam Krismas yang sejuk, terdapat seorang gadis yang perpakaian compang-camping sedang menjual mancis. "Puan nak beli mancis tak? Belilah puan." "Maaflah, masih banyak mancis di rumah." Tiada seorang pun yang mahu membeli mancisnya.

Jika gadis tersebut pulang tanpa sebarang hasil jualan, dia akan dipukul oleh ayahnya. Ketika dia ingin menyeberangi jalan, tiba-tiba muncul sebuah kereta kuda yang bergerak laju, "Jaga-jaga!" Gadis tersebut melompat ke tepi. Pada ketika itu, sebelah kasut yang dipakainya terlempar entah kemana manakala sebelah lagi berada di seberang jalan. Dia cuba mendapatkan kasutnya semula tetapi belum sempat dia mencapai, muncul seorang budak lelaki mengambil kasut tersebut. "Wah, saya terjumpa baranglah!" jeritnya sambil berlari-lari.

Akibat kehilangan kasutnya, terpaksalah dia berkaki ayam dalam keadaan keletihan. Dalam perjalanan pula, mancis yang dibawanya jatuh berselerak. Ternyata mancis-mancis tersebut sudah tidak mampu untuk dijual. Dia hanya membayangkan hukuman yang bakal diterima apabila pulang ke rumah. Tiada apa yang dia mampu lakukan selain berserah pada takdir. Tiba-tiba, di suatu sudut dia terpandang cahaya dari tingkap rumah seseorang. Dia hanya terdengar gelak ketawa keriangan dari dalam rumah tersebut.

Dengan perasaan ingin tahu, dia menjenguk ke tingkap rumah tersebut. Apa yang dilihatnya adalah unggun api yang memanaskan seisi rumah dan juga hidangan hari Krismas yang cukup menyelerakan. Gadis tersebut menitiskan air mata. "Semasa ibu masih hidup, keluargaku juga meraikan hari Krismas sebegini," kata hatinya. Sekali lagi dia menjenguk ke tingkap dan melihat kotak-kotak hadiah yang banyak tersusun di pohon Krismas. Tidak lama selepas itu lampu dipadamkan. Keadaan menjadi sunyi kembali.

Salji terus-menerus turun tanpa hentinya. Gadis si penjual mancis menggigil kesejukan serta kelaparan sehinggakan dia tidak berdaya untuk bergerak. Dia cuba menghembuskan nafas ke tapak tangan bagi memanaskan badan, namun ianya hanyalah sia-sia. "Kalau aku nyalakan mancis ini, mungkin aku akan sedikit panas." Kemudiannya gadis tersebut menyalakan sebatang mancis dengan menggoresnya di dinding.

Dari nyalaan mancis tersebut, muncul alat pemanas. "Oh, hangatnya," gadis tersebut mengangkatkan tangannya ke arah alat pemanas itu. Ketika nyalaan mancis mula terpadam, alat pemanas tersebut turut sama lenyap. Dia terus nyalakan batang mancis kedua. Dari nyalaan kedua muncul pula pelbagai jenis makanan yang lazat memenuhi meja. "Wah, sedapnya!". Hidangan itik panggang melayang-layang menghampirinya. Apabila ingin dijangkau, nyalaan api terpadam dan kesemua makanan tersebut hilang.

Dia nyalakan sekali lagi. Kali ini muncul sepohon Krismas yang sangat besar, " Wah, lebih cantik dari pokok yang aku lihat di tingkap tadi!" Pada pepohon Krismas tersebut, terdapat banyak lilin yang bersinar. "Cantiknya!" Angin meniup nyalaan mancisnya tetapi kali ini cahaya lilin dari pepohon Krismas perlahan-lahan menjadi bintang di langit. "Mungkinkah ada seseorang yang akan pergi ke tempat tuhan pada malam ini? Mendiang nenek pernah menceritakan kepadaku ketika dia masih hidup." Sambil merenung ke langit, gadis tersebut teringatkan neneknya. Dia menyalakan mancis sekali lagi, kemudiannya muncul nenek yang amat dirinduinya. Sambil tersenyum, neneknya menghulurkan tangan.

"Nenek!" Terasa bagaikan mimpi, gadis tersebut terus melompat ke dalam pelukan neneknya. "Nenek, saya rindu  pada nenek." Gadis si penjual mancis menceritakan segala apa yang berlaku. "Kenapa nenek tinggalkan saya? Bawalah saya bersama nenek." Api yang dinyalakannya hampir padam. "Tidak, kalau api ini padam, nenek akan hilang sama seperti pemanas dan makanan tadi. "Gadis si penjual mancis menyalakan kesemua mancis yang ada. Cahaya nyalaannya terang seperti di siang hari. Gadis tersebut memeluk erat neneknya dan perlahan-lahan mereka naik ke langit.  "Nenek, kita mahu ke mana?" "Ke tempat Tuhan." Kedua-dua mereka terapung semakin tinggi. "Di sana ibumu telah menyediakan makanan yang lazat untuk kita." Gadis kecil itu tersenyum gembira.

Pada pagi berikutnya, orang ramai yang lalu lalang menemui gadis si penjual mancis dalam keadaan ditimbusi salji. "Habislah, gadis kecil pengsan di tempat sebegini! Cepat panggil doktor!" Orang ramai berteriak cuba mendapatkan bantuan. Wanita yang menolak dari membeli mancis gadis tersebut semalam juga turut berasa kesal. "Kasihan kamu nak, kalaulah mak cik tahu kamu tiada tempat untuk pulang, ikutlah mak cik balik ke rumah." Orang ramai mengadakan upacara pengkebumian gadis tersebut di gereja. Mereka berdoa agar dibukakan hati mereka bagi membantu sesiapa sahaja yang memerlukan termasuklah orang miskin.

Penyamun datang kembalikan bayi

SUNGAI BULOH: “Tiada apa yang mampu saya katakan selain daripada gembira dan berasa lega kerana bayi lelaki kami yang dilarikan lima lelaki sejak dua hari lalu dipulangkan kembali malam tadi,” kata Nay Soe Aung, 29, bapa Mikalithu yang dilarikan sekumpulan penyamun di Taman Saujana Akasia, di sini Rabu lalu.

Ketika kejadian jam 10.30 malam kelmarin itu, dia bersama isterinya, Cho Cho Tun, 33, warga Myanmar berada di tingkat dua rumah sewa mereka apabila tiba-tiba dimaklumkan rakan sekerja ada dua lelaki berada di depan rumah dan mahu memulangkan semula bayinya.

Penyamun datang kembalikan bayi
LEGA...Cho Tun mengucup bayinya sambil diperhatikan Soe Aung.
Menurutnya, dia bersama isteri kemudian bergegas turun sebelum mendapati dua lelaki sedang memegang bayinya sebelum mereka menyerahkan kepada isterinya.

“Ketika itu, saya lihat ada sebuah kereta bersama beberapa lelaki di dalamnya berada di hadapan rumah kami dan hanya dua lelaki yang turun untuk menyerahkan bayi saya itu.

“Sebelum beredar lelaki terbabit turut mengugut supaya saya tidak membuat laporan polis dan jika berdegil mereka akan membunuh kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

sumber- HMetro

Koma kerana air suam

KUANTAN: Hanya kerana lewat menghantar air suam dipesan, seorang pelayan sebuah kafe di Jalan Tun Ismail 2, di sini, kini bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), selepas ‘digusti’ seorang pelanggan yang naik angin, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, warga Myanmar, Htong Haw, 29, ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan selepas dia menghantar air suam dipesan pelanggan terbabit.

Koma kerana air suam
RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan suspek membelasah mangsa.
Malah, suspek lelaki berusia 30 tahun itu terus mengganas dengan menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta. 

Selepas ‘menggusti’ mangsa sehingga lembik dan berlumuran darah, suspek melepak di premis berkenaan sebelum meninggalkan kawasan itu dua jam kemudian.

Pemilik premis, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, dia yang dihubungi seorang pekerjanya memaklumkan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian.

sumber- HMetro

Wanita jual, beli susu badan guna internet

LONDON: Ramai wanita di Britain dan Amerika Syarikat (AS) menjual susu mereka di Internet walaupun ia dibimbangi membahayakan bayi.

Media melaporkan, golongan ibu menggunakan forum komuniti, termasuk Facebook, untuk mendapatkan wang segera dengan menjual susu masing-masing.

Membeli susu kini menjadi cara baru ibu yang berdepan masalah mendapatkan susu sendiri bagi diberikan kepada bayi.

cara penyusuan bayi
gambar hiasan
Laman sesawang seperti onlythebreast.com adalah satu daripada sumber bagi golongan ibu memperoleh bekalan susu yang diperlukan. Menurut laman sesawang itu, susu yang dijual atau dibeli mereka dipastikan berada dalam keadaan bersih dan selamat.

Semakan mendapati, ada wanita yang menawarkan susu di laman sesawang itu menetap di Essex hingga Newcastle dengan harga kira-kira £1 (RM5) setiap auns (28 gram) berbanding AS$2 (RM6) untuk jumlah sama di AS. 

sumber- TS

Pemain piano Turki dituduh hina Islam

PEMAIN piano terkemuka Turki, Fazil Say muncul di mahkamah Istanbul semalam bagi menghadapi tuduhan menghina nilai-nilai Islam.

Beliau didakwa ekoran mesej di laman mikro Twitter miliknya yang mempersenda Islam sebagai radikal di sebalik kebimbangan mengenai pengaruh agama di negara terbabit, April lalu.

Fazil yang menafikan tuduhan itu baru-baru ini berkata, beliau “kagum” kerana perlu hadir di hadapan hakim.

Mahkamah yang menolak pembebasan Fazil kemudiannya menangguhkan kes tersebut sehingga 18 Februari depan.

Fazil Say
Fazil Say ketika mengambil bahagian dalam satu konsert pada 2009. – Foto ihsan The Guardian
Fazil berhadapan hukuman maksimum 18 bulan penjara.

Puluhan penyokong pemain piano itu berkumpul di luar mahkamah dengan sepanduk, satu daripadanya meminta keputusan Parti AK yang berasaskan Islam untuk "meninggalkan artis bersendirian."

Fazil bermain piano untuk  Philharmonic New York, Okestra Berlin Symphony dan lain-lain, dan telah berkhidmat sebagai duta kebudayaan untuk Kesatuan eropah (EU).

Menteri Turki yang bertanggungjawab kepada hal ehwal EU, Egemen Bagis mencadangkan kes terhadap Fazil harus ditolak dan mahkamah harus menganggap mesej beliau di laman Twitter adalah “hak beliau untuk merungut”.

Bagaimanapun, beliau mengkritik pemain piano itu yang "menghina nilai dan akidah orang.”

sumber- Sinar

DJ termuda berumur 6 tahun

LONDON - Buku Rekod Guinness menamakan seorang budak perempuan berumur enam tahun, Amber Jacobs sebagai juruhebah paling mudah dalam gelombang udara.

Pada umur enam tahun, Amber  atau dikenali sebagai DJ AJ dikategorikan sebagai kanak-kanak matang, menjadi tajuk utama apabila berkongsi muzik yang digemarinya bersama pendengar selain tampil sensasi dalam internet.

Juruhebah termuda di dunia
Amber gembira mengendalikan slotnya sendiri.
Kehebatan Amber terdedah sejak enam bulan lalu, apabila dia membantu bapanya, Steve, seorang pengarah stesen radio internet TBFM Online memilih lagu untuk disiarkan.

Amber kini memiliki slotnya sendiri yang dikeudarakan dalam segmen bapanya dan Amber  bertanggungjawab memilih dan memainkan lagu selain bercakap dan memberi isyarat muzik.

Dalam satu temu bual bersama akhbar harian Britain, The Sun, Steve memberitahu anaknya itu sentiasa menari sebaik sahaja beliau menyiarkan muzik yang digemarinya di dalam studio.

sumber- AFP

Kereta terperosok bawah treler

SABAK BERNAM - Seorang lelaki dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Besar maut setelah kenderaan dinaikinya bertembung dengan sebuah treler muatan habuk papan dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Cheang, 47, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, siasatan awal menunjukkan kejadian di KM55 Jalan Teluk Intan - Klang tersebut difahamkan berlaku selepas mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk.

“Tanpa disedari, kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah kenderaan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Proton Wira
Kereta dipandu mangsa terperosok di bawah treler selepas merempuh kenderaan berat itu.
Noor Mushar, akibat daripada pergeseran tersebut, kenderaan dipandu mangsa difahamkan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah treler yang sedang dalam perjalanan menuju ke Klang dan terperosok di bawah treler.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah(HTAJ) untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, pemandu treler dan pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar untuk siasatan lanjut.

Noor Mushar berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya memandu dengan berhemah demi keselamatan pengguna lain.

Katanya, sekiranya pemandu mengantuk, mereka sepatutnya untuk berhenti berehat bagi menggelakkan kejadian tidak dingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba Sungai Besar, Mohd Ishak Hamzah berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pemotong besi.

Mohd Ishak berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.58 pagi dan seramai enam anggota terpaksa dikerahkan ke lokasi kejadian.

sumber- Sinar

Penangan Cinta Lombok

TELUK INTAN - Penangan cinta lelaki Lombok mampu membuatkan seorang wanita warga tempatan hilang pertimbangan.

Wanita terbabit yang berasal daripada Bentong, Pahang, sanggup menangis teresak-esak sambil merayu pegawai Imigresen Cawangan Teluk Intan melepaskan teman lelakinya yang ditahan kerana berkhalwat di sebuah hotel, Jalan Changkat Jong, Sabtu lalu.

Wanita berusia 26 tahun itu yang bekerja sebagai kerani di Kampung Gajah, baru sembilan bulan mengenali lelaki Lombok berkenaan, telah ditahan dalam satu Operasi Bersepadu yang ketuai oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan turut disertai oleh pihak Imigresen Cawangan Teluk Intan.

Penangan Cinta Lombok
Wanita warga Indonesia (depan) ditahan oleh pihak Imigresen selepas gagal untuk menunjukkan dokumen perjalanan sah dalam Operasi Bersepadu yang ketuai Jaipk.
Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, sepasukan anggotanya bersama Jaipk membuat pemeriksaan di salah sebuah hotel di kawasan berkenaan dan mendapati seorang lelaki warga Indonesia bersama-sama wanita warga tempatan.

Katanya, lelaki warga Indonesia bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit di Bota Kanan, ditahan di bawah Akta Imigresen selama 14 hari bagi membantu siasatan pihak Jaipk dan Imigresen.

“Jika kami mendapati, lelaki warga Indonesia itu melakukan kesalahan, pihak Imigresen mempunyai kuasa dan tidak teragak-agak untuk menghalau lelaki berkenaan ke negara asal.

“Tindakan tegas diambil oleh pihak kami sekiranya mana-mana warga asing disabitkan kesalahan akan diusir keluar daripada negara ini,” katanya di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Khairul Anuar berkata, anggotanya juga turut menahan seorang  wanita warga asing Indonesia turut berdua-dua dengan warga tempatan di lokasi dan operasi sama.

Katanya, wanita berusia 32 tahun itu berasal daripada Jawa Tengah, ditahan bersama pasangannya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen1959/63.

Menurutnya, wanita itu mendakwa dia pernah berkahwin dengan warga tempatan gagal menunjukkan dokumen perjalanan apabila diminta oleh anggotanya dan ditahan untuk siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, kedua-dua warga Indonesia itu dibawa pulang ke pejabat untuk tujuan dokumentasi dan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kami menahan kedua-dua warga Indonesia itu dan ditempatkan di Depot Tahanan Langkap bagi tujuan siasatan dan siasatan dibuat di bawah Akta Antipermerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (pindaan 2010),” katanya.

sumber- Sinar

Pencuri dinosaur 70 juta tahun kena tangkap

New York: Seorang lelaki dituduh melakukan penyeludupan rangka dinosaur yang berusia 70 juta tahun, termasuk gigi Tyrannosaurus rex terbesar di Amerika Syarikat, ditangkap di Florida, semalam, kata Pengawai.

Eric Prokopi, 38, melakukan urusan jual beli, barangan dicuri, yang mungkin membawa 10 hingga 20 tahun penjara bagi setiap kesalahan. 

Ketua pendakwa New York, Preet Bharara menggelarkan, Prokopi ‘lelaki pasaran gelap barangan prasejarah’.

Eric Prokopi

Rangka Tyrannosaurus

Antara dirampas termasuk rangka Tyrannosaurus daripada peniaga Florida, yang ketika itu sedang menjual Tyrannosaurusbataar di Pusat lelongan di New York. 

Sementara itu, kerajaan Mongolia mendakwa tulang berkenaan dikeluarkan secara haram dari negara Asia Tengah itu, yang sama sekali tidak boleh dijual, sejurus selepas penahanan dilakukan. Pihak berkuasa Amerika Syarikat. 

Prokopi menafikan melakukan penyeludupan dan memberitahu beliau menghabiskan setahun bagi memulihkan dan memasang tulang yang menjadi koleksinya untuk mencipta rangka serta menyerahkan pada Warisan Lelong, bagi menjual koleksinya. 

sumber- AFP

Jumpa keris melekat pada akar kayu

SEBERANG PERAI UTARA - Seorang pengamal perubatan terkejut menemui sebilah keris lama berukuran 15 sentimeter (cm) terlekat pada akar sebatang pokok yang dicabutnya untuk tujuan perubatan di kawasan semak di belakang perumahan penduduk di Kampung Bagan Ajam di sini, kelmarin.

Nasir Othman, 65, yang juga pesara tentera sering menjadikan kawasan berkenaan untuk mendapatkan pokok kucing galak yang dijadikan ubat merawat pelbagai penyakit kucing sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan, katanya, keris dengan anggaran berat 10 gram itu amat sukar dipisahkan dari akar Pokok berkenaan.

“Jika nak diikutkan akar pokok ini sepertimana pokok renek lain yang mudah putus apabila ditarik kerana ia bersaiz kecil, namun usaha saya memisahkan keris dari akar pokok ini selepas menemuinya, semalam, menjadi sukar.

Jumpa keris melekat pada akar kayu
Keris yang ditemui melekat pada akar pokok kucing galak. Gambar kecil: Nasir Othman.
“Sebagai orang lama yang turut mengamalkan perubatan tradisional, saya tahu keris yang dianggarkan berusia puluhan tahun ini agak ‘keras’ dan istimewa," katanya.

Nasir yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera laut berkata, penemuan keris berlok tiga itu turut menimbulkan misteri pada dirinya, kerana sebaik dibawa pulang dan dibasuh kesihatan dirinya tiba-tiba berubah.

“Selesai membasuhnya dan sewaktu hendak dilap menggunakan kain kepala saya tiba-tiba terasa berat sebelum pening dan rasa nak muntah serta hampir pitam.

“Menghairankan, keris itu tiba-tiba kering dan turut menitiskan air dari hujungnya, walaupun lekuk dan loknya tidak ada tempat simpanan air,” katanya.

Nasir, yang mempunyai sedikit pengetahuan berkaitan penjagaan barangan misteri kemudiannya mendapatkan sehelai kain kuning untuk membalut keris itu.

“Sebaik dibalut, air titisan itu berhenti dan kesihatan saya kembali normal membuatkan saya beranggapan keris ini sememangnya istimewa dan perlukan penjagaan rapi.

“Sejak malam semalam, sebaik penemuannya diketahui umum, rumah saya mula dipenuhi orang ramai yang ingin melihatnya. Malah ada antara mereka sanggup menawarkan harga tinggi untuk memilikinya,” katanya yang tidak berhajat menjualnya.

Menurutnya, dia juga mengalami mimpi buruk semalam apabila diingatkan berkali-kali oleh satu suara ghaib supaya menyimpan keris itu dengan baik dan tidak menyalah gunakannya.

“Sebaik terjaga, jantung saya berdegup kencang, manakala hampir keseluruhan tubuh dibasahi peluh menyebabkan cadar yang dijadikan alas katil turut basah.

“Kejadian pelik sebaik keris itu ditemui merupakan kali pertama dialami dan saya percaya ia ada kena mengena dengan senjata penting yang digunakan oleh anggota masyarakat terdahulu ini,” katanya.

Katanya, dia akan menyimpan keris itu dan tidak menolak kemungkinan ia boleh digunakan sebagai antara peralatan penting semasa menjalankan perubatan tradisional terhadap pelanggan yang datang berubat dengannya selepas ini.

sumber- Sinar

Polis tembak mati ketua selepas ditegur mabuk ketika bertugas

BANGKOK: Superintendan polis daerah Si Samrong di wilayah Sukhothai ditembak mati oleh orang bawahannya semalam, kata polis.

Ketua Polis Sukhothai, Mejar Jeneral Rangsan Kochakrai, berkata, ketua unit pencegahan jenayah balai polis itu, Jakrarom Thoopjaem menembak ketuanya, Thanatpong Prasertsiripapha kira-kira jam 9 pagi di pejabatnya. 

Prasertsiripapha cedera parah dan dikejarkan ke hospital di mana dia disahkan mati. Thoopjaem kemudian melarikan diri dari balai polis itu dengan keretanya.

polis ditembak mati
gambar hiasan
Dia yang merempuh sebatang pokok di tambon Muang Bangyom, daerah Sawankhalok cedera dan dibawa ke Hospital Sri Sangworn untuk rawatan. 

Polis menemui wang tunai kira-kira 200,000 baht (RM19,815), sepucuk pistol dan jaket kalis peluru dalam keretanya.

Laporan awal kepada pejabat Polis Diraja Thai berkata, Prasertsiripapha menegur Thoopjaem pada malam Rabu lalu kerana mabuk ketika bertugas. 

Ketua Polis Thailand, Jeneral Adul Saengsingkaew berkata, Thoopjaem akan berdepan tindakan disiplin dan jenayah atas perbuatannya itu. 

sumber- Bangkok Post

Upah pekerja tampar jika layari Facebook

SAN FRANCISCO: Seorang juruprogram komputer mengupah seorang wanita untuk menamparnya setiap kali dia melayari Facebook ketika bekerja.

Maneesh Sethi membayar upah kira-kira RM25 sejam kepada wanita terbabit, dikenali sebagai Kara, bagi membantunya menumpukan perhatian kepada kerja, sekali gus meningkatkan produktiviti.

Maneesh Sethi

Sebelum ini, Maneesh memaparkan iklan mencari seseorang yang mampu memerhatikannya bekerja di pejabat.

Kata Maneesh, dia malu selepas mendapati dia menghabiskan masa kira-kira 19 jam seminggu melayari Facebook.

“Saya membuat keputusan untuk bertindak selepas menyedari masa sebanyak itu diluangkan melayari laman sosial berkenaan,” katanya. 

Maneesh berkata, di depan komputer tanpa pengawasan menyebabkan seseorang hanya produktif tiga hari seminggu. 

sumber- TS

Jual isteri demi arak

KERALA : Seorang lelaki di selatan India, dikatakan menjual isterinya dengan harga Rs6,000 (RM419) untuk membiayai perangai buruknya yang suka minum arak.

Akhbar Makkal Osai melaporkan, Medula Rajender, 42 tahun, bekerja sebagai buruh. 

Apabila dia kehabisan wang untuk membeli arak, dia membuat perjanjian dengan seorang broker untuk menjual isterinya, Medula Ammayi, 36 tahun, Sabtu lalu.

suami jual isteri
gambar hiasan
Kejadian itu didedahkan apabila polis menerima aduan daripada anak lelaki pasangan itu yang berusia 18 tahun.

Rajender mengheret isterinya ke tempat menunggu bas dan menyuruhnya menunggu seseorang di situ.

Medula berjaya melarikan diri ke kampung lain dan pergi ke rumah saudaranya dan menceritakan kepada mereka masalah yang dihadapi. 

“Kami sudah berkahwin hampir 20 tahun dan saya tidak sangka yang dia akan berbuat demikian kepada saya,” katanya. 

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki lain yang berusia 12 dan 15 tahun. 

Polis berkata, Rajender sering mengganggu Medula untuk wang. 

sumber- Asiaone

Alat mainan seks tersangkut dalam usus lelaki

SHANGHAI: Seorang lelaki terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mengeluarkan alat permainan seks yang tersangkut di dalam ususnya selama lima hari.

Media kerajaan berkata, kes begitu semakin meningkat menunjukkan penerimaan orang ramai yang semakin bersifat terbuka terhadap seks. 

Doktor di Hospital Zhongshan di sini, mengeluarkan dildo sepanjang 23 sentimeter daripada usus lelaki berusia 30 tahun itu menggunakan endoskop. 

Doktor, Yao Liqing berkata, “Sekiranya kami tidak mengeluarkan dildo itu pada masanya, keadaan pesakit boleh kritikal.”

dildo

Objek itu menyekat usus besar lelaki itu menyebabkan kerosakan tisu.

Sekiranya prosedur itu gagal, doktor mungkin terpaksa melakukan pembedahan, kata Doktor Yao seperti yang dipetik oleh akhbar Shanghai Daily. 

Kedai menjual alat seks dan kontraseptif biasa terdapat di bandar di China, di mana kebebasan seksual dan budaya konsumerisme semakin berleluasa di dalam negara yang diperintah komunis ini. 

Akhbar itu berkata, pengamal perubatan memberi amaran kepada orang ramai untuk menurut cara yang betul ketika menggunakan alat permainan seks. 

sumber- AFP

Wanita takut ditelan tandas

LONDON: Seorang wanita yang mengalami rasa takut melampau kepada tandas, mengakui dia akan melarikan diri setiap kali mengepam tandas yang digunakan.

Alasannya dia bimbang tandas berkenaan akan menyedutnya. Justeru, setiap kali Ney Decino, 20, perlu ke tandas membuang air, dia terpaksa merayu kepada ahli keluarganya untuk menjadi peneman.

Mereka juga terpaksa mengepam tandas berkenaan selepas digunakan Ney. Fobia melampau itu turut membataskan pergerakan Ney dan terpaksa bekerja dekat dengan rumahnya supaya dia boleh menggunakan tandas yang dirasakannya selamat. Ibu kepada seorang anak itu berkata, bunyi air yang menderu ketika pam ditarik sangat menggerunkan.

Look Who’s Talking Too
Adegan Look Who’s Talking Too
“Sebaik tandas dipam, bunyi dan cara deruan air itu menyebabkan saya berlari jauh dari tandas,” katanya.

Menurut Ney, dia hanya boleh berada di sekitar tandas ketika ia dipam jika ada seseorang menemaninya. Kata Ney, ketakutannya bermula sebaik saja memasuki tandas.

“Semakin lama berada di tandas, ia semakin mencemaskan tetapi perasaan itu akan hilang apabila saya keluar dari situ,” katanya. Ketakutan Ney bermula sejak dia berusia empat tahun.

Ney Decino
KETAKUTAN Ney kepada tandas bermula sejak dia melihat satu daripada adegan filem Look Who’s Talking Too pada 1990.
Katanya, ketika itu dia menonton babak tandas boleh berkata-kata dalam filem 1990, Look Who’s Talking Too.

Dalam filem itu, watak The Toilet Man yang digambarkan mempunyai mata besar, bertaring dan bersuara seram menjerit.

Babak itu, kata Ney, menghantuinya sehingga kini. “Ketika berusia 11 tahun, saya pernah terkencing dalam perjalanan pulang dari sekolah kerana saya terlalu takut menggunakan tandas,” katanya. Menurut Ney, dia menjadi lebih takut jika melihat deretan tandas.

“Kerana itu saya hanya masuk ke tandas awam jika benar-benar perlu,” katanya. - DM

Kapal didaftar di Malaysia karam

SEOUL - Tiga kelasi warga Filipina dan dua rakyat China terbunuh semalam apabila sebuah bot pengawal pantai Korea Selatan yang dinaiki mereka karam, kata beberapa pegawai.

Ketika kejadian, bot itu menyelamatkan mereka dari sebuah kapal kargo Shinline yang turut karam.

Seorang jurucakap pengawal pantai berkata, bot itu terbalik ketika membawa 15 anak kapal kargo itu.

Kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan seberat 5,436 tan itu karam berhampiran Pulau Jeju, di selatan negara ini.

cargo ship Shinline
KAPAL kargo Shinline karam dekat Pulau Jeju, Korea Selatan semalam.
Menurutnya, sebuah lagi bot pengawal pantai yang terlibat dalam operasi menyelamat kemudian hanya berjaya menyelamatkan 10 kelasi kapal tersebut.

Kapal kargo itu membawa 13 kelasi warga China dan enam rakyat Filipina membuat panggilan kecemasan selepas kapal yang dalam pelayaran ke Singapura itu mula tenggelam.

"Sebuah bot yang digunakan dalam operasi menyelamat itu terbalik kerana ombak kuat," kata jurucakap berkenaan.

Kesemua kelasi dan pengawal pantai yang selamat itu telah dihantar ke sebuah hospital di Jeju. 

sumber- AFP

PM Australia terjatuh di depan kamera

SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard terjatuh selepas beliau meletakkan kalungan bunga di Memorial Mahatma Gandhi di New Delhi, India kelmarin.

Gillard terjatuh selepas kasut tinggi yang dipakainya terbenam di kawasan berumput semasa beliau berjalan ke arah pemberita dan jurugambar media.

Bagaimanapun, beliau kemudian segera bangun dan ketawa.

Gillard mengaku bahawa kasut tinggi yang dipakainya itu boleh terbenam di kawasan berumput sehingga menyebabkannya terjatuh.

julia gillard falling over
KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik Gillard terjatuh di Memorial Mahatma Gandhi, New Delhi kelmarin.
Klip video yang menunjukkan perdana menteri itu terjatuh disiarkan berulang kali di televisyen Australia semalam.

Beberapa program berita dan media sosial juga menyiarkan klip video itu.

Akhbar Daily Telegraph di negara ini turut menyiarkan berita tentang kejadian tersebut di muka depan. 

sumber- AFP

Google dedah pusat data

SAN FRANCISCO - Syarikat Google kelmarin mendedahkan gambar beberapa pusat datanya yang menunjukkan sejumlah komputer memproses permintaan pengguna internet.

Pusat itu memproses permintaan klip video YouTube dan menghantar e-mel kepada berjuta-juta orang.

Imej pusat data itu boleh dilihat menerusi laman web yang baharu diperkenalkan Google iaitu www.google.com/about/datacenters/gallery/.

google datacenters
IMEJ yang tidak bertarikh menunjukkan sebuah pusat data Google di Hamina, Finland.
Laman tersebut memaparkan lapan buah pusat data utama yang terletak di Amerika Syarikat, Finland dan Belgium.

Google juga akan membina pusat data baharu di Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Chile. 

sumber- Agensi

Misi cipta rekod lebih laju daripada peluru

SYDNEY - Seorang pelumba Australia, Rosco McGlashan mahu mencipta rekod lebih laju daripada peluru pada 2014 dengan memandu sebuah kereta.

McGlashan percaya dia mampu mencipta rekod itu dengan memandu sebuah kereta yang dilengkapi teknologi roket pada kelajuan 1,609 kilometer sejam.

Kereta yang dipandunya akan bergerak lebih laju daripada sebutir peluru.

kereta paling laju di dunia
Imej yang dihasilkan dengan menggunakan komputer menunjukkan kereta roket yang akan dipandu McGlashan.
Kos bagi menghasilkan kereta itu ialah AS$4.2 juta (RM12.75 juta).

Kereta itu yang diberi nama Invader 5R sepanjang 16 meter.

Ia dijana kuasa roket dan menggunakan bahan bakar bio serta cecair oksigen. -

Dia dan anggota-anggota pasukannya akan menguji kereta tersebut pada tahun depan. 

sumber- AFP

Jual lembu korban dengan cara yang unik

DEPOK, Indonesia - Seorang ahli perniagaan, Ramdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi tempat jualan sejumlah lembu untuk dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.

Dia turut menggaji beberapa wanita yang memakai pakaian koboi untuk menjadi jurujual lembu dan melayan pelanggan-pelanggannya.

lembu untuk dijual
SEORANG jurujual wanita yang berpakaian seperti koboi mengiringi pelanggan wanita di bilik pameran jualan lembu di Depok semalam
Jurujual wanita itu turut membawa komputer tablet yang mengandungi maklumat tentang lembu seperti umur, berat badan dan baka haiwan tersebut.

Para pembeli juga boleh membeli lembu itu dengan menggunakan kad kredit dan debit. 

sumber- Agensi