Disuruh berdiri, dikatakan mendera. Diberi kerusi, disalah guna. Cikgu pun dah naik pening dengan pelajar sekarang. Tak kisahlah, asalkan tak menyusahkan orang lain sudah. Mungkin salah cikgu jugak sebab tak memberi pendedahan awal cara menggunakan kerusi dengan betul.
Pages - Menu
▼
Monday, November 12, 2012
Periksa peti surat selepas taufan Sandy
Kehidupan selepas berakhirnya taufan Sandy mungkin sedikit sukar. Banyak perkara terpaksa diatur semula dan ada juga perkara yang terpaksa dilakukan diluar kebiasaan.
Rutin harian memeriksa peti surat adalah perkara yang remeh, namun selepas berlakunya taufan Sandy tidak mustahil ianya menjadi beban seperti gambar di bawah.
Malang burung di udara
Ingin terbang bebas seperti burung? Fikirkan semula. Burung yang berterbangan di udara sebenarnya tidak terlepas dari bahaya. Banyak kemalangan yang melibatkan pesawat dan juga burung berlaku namun ianya langsung tidak dilaporkan media. Kebiasaannya kemalangan sebegini tidak melibatkan nyawa manusia dan jarang berlakunya insiden pesawat terhempas. Mungkin ada yang berpendapat ianya perkara biasa, tetapi sebenarnya ianya amatlah mengerikan dimana ada diantara haiwan malang tersebut hancur berkecai. Pesawat kegunaan manusia ini tidak ubah seperti jentera pembunuh yang dahagakan nyawa.
Gaya rambut pelik berupa haiwan
Gaya rambut yang mengagumkan ini adalah hasil rekaan penggaya rambut dari Jepun, Nagi Noda. Beliau telah menghasilkan gaya rambut tersebut untuk persembahan terbarunya. Seperti yang kita lihat, dandanan gaya rambut sebegini amat rumit untuk dihasilkan malah ianya memerlukan bakat serta kreativiti tersendiri. Hasil karyanya ini jelas memperlihatkan bentuk seakan kepala haiwan sebenar. Jika anda berhasrat untuk ke salun berdekatan bagi mendapatkan dandanan sebegini, lupakan hasrat anda kerana hanya satu dari berjuta penggaya rambut yang mampu menghasilkannya.
Mangsa samun dipukau, suri rumah rugi RM5,000
SETIU - “Saya seperti dipukau apabila hanya nampak bahagian lutut dan senjata tajam yang digunakan penjenayah yang menyamun saya,” kata suri rumah, Nizam Yusof, 43, yang kerugian kira-kira RM5,000 selepas disamun sekumpulan penjenayah di rumahnya di Kampung Balik Bukit, Permaisuri, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Nizam hanya berdua bersama seorang anak bongsu, Noriman Balkis Mohd Ghani, 2 tahun di rumah berkenaan.
Nizam menunjukkan kesan kecederaan kecil selepas rantai lehernya diragut lelaki yang menyamun di rumahnya di Permaisuri, |
Menurutnya, dia didatangi sekumpulan lelaki yang dipercayai tiga orang dan salah seorang daripada mereka menyerbu naik ke dalam rumah sambil memegang sesuatu.
“Saya ketika itu sedang makan nasi bersama anak di depan pintu utama rumah dan tiba-tiba sebuah kereta masuk di persimpangan rumah sebelum seorang daripada mereka menyerbu ke arah saya.
“Saya seperti dipukau kerana hanya nampak kaki lelaki itu manakala badan dan wajahnya langsung tidak nampak. Seorang rakannya berada di bahagian tangga manakala seorang lagi berada berdekatan kereta,” katanya yang tidak dapat melihat langsung badan dan muka penjenayah kerana ketakutan atau dipukau.
Nizam berkata, penjenayah bertindak meragut rantai emas yang dibeli daripada wang hantaran kahwinnya dahulu menyebabkan lehernya mengalami cedera ringan.
Katanya, sebelum itu suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Iswara Sedan berwarna biru kelihatan mundar mandir melalui jalan depan rumahnya sejak jam 6.30 pagi lagi.
Menurutnya, pada mulanya salah seorang anak perempuannya ternampak kereta tersebut bergerak perlahan sambil pemandu dan penumpang melihat ke arah rumahnya pada awal pagi itu.
“Selepas suami saya keluar dari rumah untuk menghantar anak yang bersekolah pada jam 7.30 pagi, salah seorang daripada penjenayah itu datang ke bahagian pintu dapur dan berpura-pura bertanyakan seseorang.
“Bagaimanapun, selepas bertanya, lelaki itu melarikan diri dan kereta tersebut memecut ke arah Kuala Terengganu selepas salah seorang anak lelaki saya yang tinggal di rumah sebelah datang ke arah lelaki tersebut,” katanya.
Menurutnya, selepas sejam, penjenayah tersebut datang semula dan menyamun mangsa sebelum melarikan diri.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, ASP Idris Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, pihaknya sudah mengesan pemilik kereta tersebut dan tindakan lanjut akan dilakukan.
sumber- Sinar
Tangisan bayi bongkar cerita remaja 16 tahun bersalin
MARANG – Luluh hati seorang abang apabila adik perempuannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan, melahirkan seorang bayi di dalam bilik di rumah keluarga mereka di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, abang kepada remaja perempuan terbabit berkata, tangisan kuat yang didengari datangnya dari arah bilik adiknya itu mengejutkan dia dan seorang lagi adik lelakinya, sebelum kelahiran bayi itu disedari mereka.
Abang kepada remaja 16 tahun yang melahirkan bayi perempuan terpaksa menunggu di luar Dewan Bersalin HSNZ sejak pagi sebelum dibenarkan melawat adiknya tengah hari, semalam. |
Menurut si abang, dia kemudiannya meminta bantuan jiran terdekat untuk membawa adiknya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan mendakwa melaporkan mengenai kejadian itu di balai polis berdekatan.
“Kami sekeluarga juga tidak mengesyaki dia hamil sebelum ini kerana tubuhnya agak besar berbanding rakan seusianya, malah saiz perutnya juga kelihatan seperti normal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSNZ Kuala Terengganu, semalam.
Abang remaja terbabit berkata, adik perempuannya dan bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan hanya keluarga mereka dibenarkan melawat, namun keadaan adik dan bayi itu sehingga tengah hari semalam dilaporkan stabil.
Anak sulung daripada tiga beradik itu juga memberitahu adiknya juga mengaku pernah dinodai seorang lelaki dikenali keluarga mereka pada Februari lalu, namun merahsiakan perkara itu sehinggalah melahirkan bayi berkenaan dalam bilik tidurnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi tengah hari semalam bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu kerana masih belum menerima laporan terperinci.
sumber- Sinar
Mayat membusuk di kedai runcit
PARIT BUNTAR – Misteri bau busuk dari sebuah kedai runcit di Tanjung Piandang di sini, semalam membawa kepada penemuan mayat dipercayai pemilik premis tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Fauzi Mat Nayan berkata, hasil laporan orang awam, polis yang menjalakan siasatan terpaksa memecah pintu kedai runcit terbabit sebelum menemui mayat Tan Chaw Choong, 72, terbaring di atas katil tingkat dua bangunan kedai itu.
Polis membawa keluar mayat dan dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. |
“Mayat dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Sementara itu, jiran yang dikenali sebagai Khor berkata, dia tercium bau busuk dari arah kedai berkenaan ketika keluar rumah kira-kira jam 9.30 pagi.
“Saya merasakan sesuatu buruk berlaku kepada dia memandangkan kedai berkunci dan ditutup empat hari tanpa sebarang notis dan pengetahuan kami. Saya terus menghubungi polis,” katanya.
sumber- Sinar
Gelas putih disangka hantu
CHUKAI – “Mungkin imej itu adalah gelas berwarna putih yang terdapat dalam almari kaca atau biasan cahaya lampu di atasnya,” kata pemilik gerai makan yang menafikan imej dipercayai hantu dirakam dalam gerai makannya di belakang Pasar Chukai.
Dia yang berumur 33 tahun dan enggan namanya disiarkan berkata, dia dan keluarganya tidak pernah mengalami perkara pelik atau berdepan perkara mistik sejak berniaga di gerai itu kira-kira 40 tahun lalu.
“Sebab itu saya dukacita apabila timbul cerita di gerai saya ada yang merakam imej dipercayai hantu. Saya juga sudah meneliti gambar itu dan bagi saya tidak ada yang pelik dalam gambar tersebut, imej yang didakwa berwajah putih dan mata kemerahan juga kabur dan tidak jelas.
“Barangkali ia adalah gambar gelas warna putih yang terdapat dalam almari kaca tempat kononnya ada imej wajah berwarna putih itu dirakam. Bila gambar diambil dari jauh gambar gelas terbabit akan kelihatan samar dan seakan-akan benda lain,” katanya.
Katanya, mungkin juga imej yang terbentuk juga hasil pantulan cahaya lampu kerana di dalam almari kaca tempat dia meletakkan gelas itu dipasang lampu.
Sehubungan itu, tegasnya, tiada yang pelik mengenai gambar itu dan gambar itu juga tiada kaitan dengan penyakit kencing berdarah yang dialami oleh tukang masak yang bekerja di gerai makan bersebelahan gerainya, apatah lagi tukang masak tersebut sudah lama sakit iaitu sejak minggu lalu.
“Perkara itu hanya secara kebetulan sahaja dan ia tiada kaitan,” katanya.
Sinar Harian kelmarin menyiarkan mengenai imej lembaga putih dengan mata kemerahan dipercayai hantu berjaya dirakam seorang pembantu gerai, Mohd Hishamuddin Mazidi, 16, yang mendakwa melihat lembaga itu di sebuah gerai makan belakang Pasar Chukai.
sumber- Sinar
Warga emas tertelan sudu 15sm
TAIPING – Pelik tapi benar! Seorang warga emas bernasib baik masih hidup biarpun menderita perut sakit selepas tertelan sudu sepanjang 15 sentimeter (enam inci) akhir bulan lalu.
Mangsa, Teoh Ah Lek, 57, selamat menjalani pembedahan kecil di Hospital Taiping, 7 November lalu untuk mengeluarkan sudu tersebut kini semakin pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
"Lega, sudah tidak sakit lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tian Hoe ketika melawat Ah Lek di Hospital Taiping. |
“Niat saya hanya nak menggaru kerongkong saja, tak sangka pula sudu itu boleh terlepas dan tertelan,” katanya.
Katanya, kejadian 29 Oktober itu mengundang pengalaman perit apabila menderita kesakitan sepanjang 10 hari sudu 'menghuni' perutnya.
"Ketika itu sedang makan berasa gatal di bahagian kerongkong sebelum mengambil keputusan untuk menggaru menggunakan sudu. Saya tak sangka, sudu sepanjang enam inci itu terlepas dan masuk ke bahagian perut.
“Sepanjang tempoh 10 hari itu, saya sering mengalami sakit di bahagian perut, mujurlah sudu sudah keluar, jika tidak saya tak tahu macam mana nak buat,” katanya.
Ah Lek, dia terpaksa meminta bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Yew Tian Hoe setelah rawatan awal yang dibuat tidak berjaya mengeluarkan sudu berkenaan.
“Sebelum ini, saya dimaklumkan sudu berkenaan akan keluar apabila saya membuang air besar, tetapi selepas beberapa hari, ia masih tidak berjaya, tak tahan dengan keadaan perut sakit, saya minta bantuan wakil rakyat untuk dimasukkan semula ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Tian Hoe berkata, meskipun situasi itu boleh mendatangkan bahaya, tetapi ia antara kejadian unik yang pernah berlaku di kawasan itu.
“Saya harap orang ramai akan lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan selepas ini,” katanya.
sumber- Sinar
Mekanik OKU maut kebakaran
KUALA LUMPUR - Seorang mekanik orang kurang upaya (OKU) sempat membuat panggilan terakhir kepada keluarga dan majikannya bagi memaklumkan kejadian kebakaran, sebelum ditemui mati dengan kesan melecur di rumah kedai tiga tingkat di Jalan Bangsar, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa Mohd Nor Mat Yaacob, 32, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dipercayai terperangkap di dalam premis berkenaan.
Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran di rumah kedai tiga tingkat yang mengorbankan seorang mekanik, semalam. |
Ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian berada dalam keadaan terbaring, hanya tangan mangsa melecur selain terdapat besi menghempap badannya.
Abang mangsa yang dikenali sebagai Nizam, 34, berkata, arwah sempat menelefon seorang adiknya yang tinggal di Gombak bagi memaklumkan kejadian kebakaran tersebut.
“Arwah memberitahu dia terperangkap dalam kebakaran, sebelum talian telefon terputus. Kami cuba menghubungi dia semula selepas itu, namun tiada jawapan,” katanya.
Nizam berkata, mangsa mengalami kecacatan di lutut selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 13 tahun lalu.
“Arwah bekerja sebagai mekanik di pusat servis motosikal itu sejak sebulan lalu dan berulang-alik dari rumahnya di Gombak ke tempat kerja.
“Pada malam kejadian, arwah yang menunggang motosikal tidak pulang ke Gombak kerana hujan lebat dan mengambil keputusan bermalam di premis tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman memberitahu, sebanyak lima jentera bomba dengan kekuatan 23 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut.
“Kami terima panggilan pada jam 2.38 pagi dan sampai ke lokasi lapan minit kemudian. Api dapat dikawal pada jam 3 pagi. Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
sumber- Sinar
sumber- Sinar
Wartawan menangis mendengar Azan
Indahnya seruan azan. Tujuan azan adalah untuk menyatakan masuknya waktu solat serta menyeru umat Islam agar bersama-sama berkumpul bagi menunaikan rukun Islam tersebut. Terharu apabila melihat wartawan bukan Islam dari Britain yang ditugaskan untuk mendokumentarikan mengenai seruan azan ini secara tidak semena-mena mengalirkan airmata.
Babak yang benar-benar berlaku ini disiarkan dalam sebuah rancangan dokementari The Frankincense Trail. Mungkin dirinya berasa kagum apabila melihat umat Islam yang sanggup meninggalkan perniagaan serta urusan masing-masing bagi menunaikan solat.
Gadis diperkosa 3 rakan sekerja
GOMBAK: Seorang wanita membuat laporan polis selepas anak gadisnya mendakwa menjadi mangsa tindakan rakus rakan sekerja yang merogolnya di tempat kerja.
Difahamkan, gadis yang berusia 19 tahun itu mendakwa diperkosa tiga lelaki dipercayai warga asing di tempat kerjanya di pasar raya di Selayang, bulan lalu.
Ibu mangsa yang terkejut mendengar pengakuan anak perempuannya itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran, petang kelmarin.
gambar hiasan |
“Akibat kejadian itu, mangsa dikatakan trauma dan takut ke tempat kerjanya. Mangsa memberitahu ibunya dia mahu berhenti kerja,” katanya.
Menurut sumber, si ibu yang hairan dengan permintaan anaknya itu bertanyakan mengenai sebab mahu berhenti kerja sebelum anaknya menceritakan apa yang berlaku.
Berikutan itu, ibu mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, seorang suspek ditahan reman dan dua lagi suspek dikatakan melarikan diri. Polis giat memburu mereka bagi membantu siasatan kes itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan berkenaan.
sumber- HMetro
Menyamar orang tua untuk rompak
LONDON: Seorang pelajar berusia 16 tahun menggunakan mekap dan memakai rambut palsu untuk menyamar sebagai orang tua untuk melakukan rompakan bersenjata.
Dengan berpakaian seperti lelaki tua, Miles Alura merompak sebuah kedai emas di Kent, Julai lalu, dan melarikan barang kemas berharga 50,000 pound (RM243,375).
Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.
Menurut polis, Alura, memakai rambut palsu ketika merompak sebuah kedai emas Mayfair di London, sebulan sebelum itu dan melarikan barang berharga 100,000 pound (RM486,750).
Dalam dua kejadian itu, dia dan beberapa rakan mengugut staf dengan senjata api mainan sebelum mengikat mereka dan melarikan diri.
Untuk menyamar lelaki tua, Alura memakai topi, mewarnakan kening, memakai janggut palsu, menipiskan rambut dan bermekap, sekali gus mengingatkan seseorang kepada penyamaran seperti dalam siri kartun Scooby Doo.
Alura yang berasal dari Camden Road, London, dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Kingston selepas dia mengaku bersekongkol untuk merompak.
Dia turut dikenakan hukuman dua setengah tahun penjara kerana memiliki senjata api mainan dan lima tahun penjara kerana merompak. Semua hukuman itu berjalan serentak.
Seorang lagi remaja berusia 16 tahun dari Stoke Newington, London, dipenjara tiga tahun kerana merompak, bersekongkol untuk merompak, manakala remaja ketiga berusia 15 tahun dari Holloway, London, dijatuhkan hukuman tahanan setahun dan arahan menjalani latihan.
Nama kedua-dua rakan Alura itu tidak boleh didedahkan kerana faktor usia.
sumber- DM
Dua paderi tua bergaduh, satu telinga putus
PERTH: Seorang paderi bersara putus telinga selepas bergaduh dengan seorang lagi bekas paderi.
Paderi Thomas Byrne, 80, menyuruh Paderi Thomas Smith, 81 mengambil sendiri ‘kulitnya’ dan masukkan ke dalam poket selepas mereka bertengkar kelmarin, kata polis.
Mahkamah Majistret Perth Timur diberitahu, Smith hanya sedar kulit itu adalah cuping telinganya yang putus selepas kembali ke rumah dan mengeluarkannya dari poketnya.
Thomas Henry Byrne |
Kedua-duanya tinggal di rumah persaraan bersama seorang lagi paderi bersara.
Mahkamah diberitahu, kedua-dua paderi itu berkelahi kerana berebut tempat meletak kereta.
Menurut polis, Smith mengambil masa untuk menyedari bahawa telinganya digigit hingga putus.
Dia kini berada di hospital selepas menjalani pembedahan untuk menyambungkan telinganya.
sumber- AP
Potong lidah untuk pujuk isteri pulang
NEW DELHI: Seorang lelaki memotong lidahnya dalam usaha untuk memujuk isterinya pulang.
Si isteri dilapor meninggalkan rumah mereka selepas hilang sabar kerana suaminya sering menggunakan bahasa kesat terhadapnya.
Pembaiki televisyen, Bunty Vernma, 32, yang berasal dari Khaldwadi di Sendhwa, menyalahkan lidahnya yang menjadi punca dia mengeluarkan kata-kata kesat terhadap isterinya, Hema.
gambar hiasan |
Dalam surat kepada isternya, Vernma berkata, dia bertindak demikian kerana menyesal dan meminta Hema memaafkannya.
Sehingga ini, Hema masih belum pulang dan suaminya dimasukkan ke hospital.
Rakan Verma, Aslam dan Sultan memberitahu media, Hema adalah isteri kedua Verma dan isteri pertamanya meninggalkannya beberapa tahun lalu.
sumber- DM
Rumah kapsul popular di Wuhan
WUHAN, China - Kadar sewa rumah yang terlampau tinggi mendorong ramai pekerja berkongsi tinggal di bilik-bilik kecil di dalam sebuah bangunan di sini, dalam wilayah Hubei, lapor akhbar New York Daily News.
Setiap bilik kecil itu yang digelar 'rumah kapsul', memiliki keluasan purata cuma 4.5 meter persegi.
SEORANG pemuda mandi di dalam rumah kapsul yang disewanya di Wuhan, China. |
Setiap bilik kecil tersebut berfungsi sebagai tempat tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur sekali gus semua dalam satu.
Penghuninya pula terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya.
Walaupun kecil, ramai penyewa menganggap tinggal di rumah kapsul itu berbaloi memandangkan gaji mereka yang rendah berbanding sewa rumah yang amat mahal di sini.
sumber- Agensi
Empat maut tonton perlumbaan rali
PRAGUE - Tiga wanita dan seorang budak perempuan berusia enam tahun maut semasa menyaksikan perlumbaan kereta rali di Republik Czech apabila sebuah kereta lumba keluar dari trek pada kelajuan tinggi dan melanggar penonton, kata polis kelmarin
SEORANG anggota polis memeriksa kereta lumba yang remuk dalam satu kemalangan semasa perlumbaan amatur RallyShow dekat bandar Zlin, Republik Czech kelmarin. |
Jurucakap polis, Jana Macalikova berkata, seorang pemandu berkenaan meninggalkan laluannya dan memandu sejauh 100 meter di luar laluan perlumbaan dan melanggar sebatang pokok sebelum merempuh sekumpulan penonton.
Menurutnya, seorang wanita berusia 62 tahun dan pemuda turut cedera dalam kemalangan tersebut kelmarin.
sumber- Reuters
Jam tangan platinum RM12.6 juta
GENEVA - Seutas jam tangan milik penyanyi rock legenda, Eric Clapton dijangka dapat dijual pada harga £2.6 juta (RM12.6 juta) dalam satu lelongan di Switzerland.
Menurut akhbar MailOnline, jam kronograf jenama Patek Philippe yang diperbuat daripada logam platinum itu akan dilelong oleh firma Christie di sini hari ini.
JAM tangan Patek Philippe milik penyanyi legenda Eric Clapton dipamerkan di firma lelongan Christie's di New York pada 12 Oktober lalu. |
Hanya terdapat dua jam tangan platinum Patek Philippe di dunia dengan seutas lagi jam tersebut kini berada di sebuah muzium.
Barangan itu adalah antara 310 jam eksklusif dengan harga keseluruhan mencecah £9.9 juta (RM48.1 juta) yang akan dilelong oleh firma berkenaan.
Berita berhubung jualan jam tersebut disiarkan selepas sebuah lukisan oleh Gerhard Richter milik Clapton dijual £21.3 juta dalam satu lelongan Sotheby's di London sekali gus lelongan termahal di dunia bagi seseorang pelukis yang masih hidup.
Clapton yang popular dengan lagu Wonderful Tonight membeli lukisan tersebut pada harga £2 juta (RM9.7 juta) dalam tahun 2001.
sumber- Agensi