Pages - Menu

Wednesday, December 5, 2012

2 maut, 5 parah kemalangan dua kereta di Dungun

DUNGUN – Dua wanita maut, tiga parah manakala dua yang lain cedera ringan dalam kemalangan ngeri melibatkan dua kereta berdekatan loji air Kampung Serdang, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian jam 8.30 pagi di Kilometer 12.5 Jalan Dungun-Bukit Besi itu dipercayai berlaku apabila sebuah Honda Civic dinaiki tiga sekeluarga dari arah Dungun menghala ke Bukit Besi dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum terbabas lalu berlanggar dengan sebuah Proton Wira dinaiki empat sekeluarga dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun.

kemalangan di Dungun
Keadaan kereta Proton Wira yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Serdang, Dungun pagi tadi.
Ketika kemalangan, keadaan permukaan jalan agak licin akibat hujan renyai sejak awal pagi lagi.

Honda Civic dipandu Mohd Ridzwan Badiuzaman, 21, bersama dua penumpang lain termasuk ibu Ridzwan, Suzlina Ahmad, 40, dan sepupu Ridzwan, Norfathika Shamsudin, 17, dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Balai Besar menuju ke Machang, Kelantan.

Empat sekeluarga yang menaiki Proton Wira pula iaitu Zulkifli Mamat, 53, isteri Zulkifli, Zainun Awang, 50, adik ipar Zulkifli, Gayah Awang, 45, serta anak lelaki Gayah, Tarmizi Ismail, 11, dalam perjalanan untuk ke rumah tok mudim di Dungun bagi menyempurnakan majlis berkhatan Tarmizi.

Mangsa yang maut adalah seorang daripada penumpang Honda Civic, Suzlina yang beralamat nombor 1326, Jalan Balai Besar Dungun serta seorang penumpang Proton Wira, Zainun Awang, 50, dari Kampung Pancur, Jerangau.

Semua mangsa dalam Honda Civic dan Proton Wira termasuk pemandu dipercayai tersepit dalam kenderaan yang remuk dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Mohd Ridzwan, seorang mekanik di bengkel Batu Lima yang memandu Honda Civic patah hidung dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sepupu Ridzwan, Norfathika, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Besar cedera ringan dan dimasukkan ke wad perempuan Hospital Dungun.

Semua mangsa dalam Honda Civic berasal dari Balai Besar, Dungun.

Sementara itu, tiga lagi penumpang Proton Wira dilaporkan parah iaitu pemandunya, Zulkifli yang bekerja sebagai pemandu lori pasir di Jerangau, kakak ipar Zulkifli, Gayah, seorang ibu tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU) dilaporkan parah manakala anaknya, Tarmizi, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang turut cedera.

Mereka juga dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Zulkifli berasal dari Kampung Pancur Jerangau manakala kakak iparnya, Gayah dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Dua mangsa yang maut di tempat kejadian mengalami kecederaan serius di kepala dan anggota badan  dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.

Sebuah jentera bomba bersama tujuh anggota dari Balai Bomba Kuala Dungun, tiga kereta peronda polis serta dua ambulans termasuk kenderaan JPAM turut berada di lokasi bagi melancarkan operasi menyelamat mangsa.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang ditemui di Hospital Dungun ketika mengesahkan kejadian memaklumkan polis masih menyiasat kemalangan maut yang mengorbankan dua mangsa di laluan Dungun ke Bukit Besi itu.

sumber- Sinar

Orang tertua dunia, 116 tahun meninggal dunia

ATLANTA - Wanita Amerika Syarikat (AS) yang disenaraikan sebagai orang tertua di dunia meninggal dunia pada usia 116 tahun, semalam.

Menurut anaknya, Sidney Cooper, Besse Cooper meninggal dunia di rumah sakit berhampiran Atlanta, Georgia.

Baru-baru ini Besse dilaporkn mengalami sakit akivat virus dalam perut.

Besse Cooper
Besse Cooper dari Monroe, Georgia, meraikan hari kelahiran ke-116 baru-baru ini. - Foto ihsan CNN
Menurut anaknya lagi, ibunya sedang menonton video Krismas pagi semalam dan tiba-tiba mengalami masalah pernafasan dan sempat diberi bantuan oksigen.

“Tidak lama selepas diberi bantuan pernafasan, ibu saya meninggal,” katanya.

Anaknya menambah, ”dengan rambut yang sudah dirapikan itu, saya lihat yang dia benar-benar bersedia untuk ‘pergi’."

Besse disahkan menjadi orang yang paling tua di dunia pada Januari 2011.

Bekas guru itu dilahirkan di Tennessee, kemudian berpindah ke Georgia semasa Perang Dunia Pertama.

Anaknya menambah, majlis pengebumian ibunya akan diadakan dalam minggu ini.

Besse berjaya menjadi orang yang paling tua hidup di dunia berbanding dengan rakannya dari Iowa, Dina Manfredini yang meninggal dunia pada usia 115 tahun.

Sebelum ini, orang tertua dunia kelahiran Perancis, Jeanne Calment meninggal dunia semasa usia 122 pada tahun 1997.

sumber- Sinar

Lelongan surat dan esei Napoleon catat sejarah

PARIS - Sepucuk surat berusia 200 tahun hasil nukilan Napoleon Bonaparte, berikrar memusnahkan Kremlin iaitu pusat pentadbiran Rusia dilelong pada 187,500 euro (RM 746,182) sekali gus mencatatkan sejarah baru lelongan di Perancis.

Surat Bonaparte
Surat Bonaparte dilelong pada harga RM746,182 ketika lelongan di Fontainebleau
Surat bertarikh 20 Oktober 1812 itu, antara lain menyebut: “Saya akan memusnahkan Kremlin, jam tiga pagi hari ke-22 serangan ke atas Rusia.”

Ia pada mulanya dijangka terjual antara 10,000 euro (RM40,000) dan 15,000 euro (RM60,000) pada lelongan Fontainebleau, di selatan Paris.

Satu lagi manuskrip ditulis Bonaparte ketika berada di dalam buangan di Pulau Saint Helena, turut terjual pada harga 375,000 euro (RM1,500,000).

“Ia adalah rekod dunia untuk manuskrip dihasilkan oleh Bonaparte ,” kata institusi lelongan itu.

Dalam esei itu, beliau mencatatkan, kempen menawan Rusia berjaya dan menyifatkan ianya sebagai punca kelemahan pengaruh Perancis di Eropah. 

sumber- Reuters

Jari dipotong kerana buang sampah

HUNAN, China- Seorang wanita yang bersarapan dan kemudiannya membuang sampah dari kenderaan ke jalan raya mendapat hukuman yang sangat menyakitkan. Berdasarkan laporan media di China, seorang tukang cuci yang melihat perlakuan wanita tersebut berasa marah lalu memotong jarinya.

jari putus

Zhou Ting, 22, menaiki van penghantaran bersama suaminya terkejut apabila pintu van dibuka lalu diserang dengan sebilah pisau oleh tukang cuci tersebut.

Saksi memberitahu bahawa suspek, Guo Nengfang, 33, datang menemui mangsa menyuruh mereka mengutip semula sampah yang dibuang sebelum mengeluarkan pisau dan menyerang.

Apabila melihat suaminya diserang, Zhou mempertahankan suaminya sehingga menyebabkan jari tengahnya putus dan lengan tangannya tercedera. Suaminya juga tercedera dibahagian pinggul dan juga lengan.

Selepas menyerang mangsa, suspek menyimpan kembali pisau dibelakang badannya lalu menyambung kembali kerja menyapu sampah.

Ketika polis tiba, Guo berada di atas bumbung sebuah bangunan 14 tingkat yang tidak jauh dari tempat kejadian. Dia dipaksa turun untuk dilakukan soal siasat.

Berdasarkan laporan yang diterima, Guo masih baru bekerja serta mengalami masalah gangguan mental.

Tragedi uji enjin baru

SABAK BERNAM - Hasrat dua rakan menguji enjin kereta yang baru ditukar tidak kesampaian apabila kenderaan dipandu mereka terbabas ketika di selekoh berhampiran Jalan Teluk Rhu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Noor Mushar Mohammad berkata, kereta Ford dipandu mangsa, Yusof Kusni, 42, dan Kamarul Ariffin Ahmad Hadi, 27, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik ketika dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang berkenaan.

rempuh tiang elektrik
Mangsa difahamkan tidak dapat mengawal kenderaan sebelum merempuh tiang elektrik dan terbabas ke parit.
Menurutnya, berikutan rempuhan itu kenderaan berkenaan kemudiannya terbabas sehingga masuk ke parit berhampiran kawasan kejadian.

“Mangsa tidak dapat mengawal kenderaan ketika tiba di selekoh sehingga menyebabkan kenderaan mereka merempuh tiang elektrik berkenaan.

“Akibat rempuhan itu mangsa mati serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada disebabkan impak kuat manakala rakannya, Kamarul maut ketika menerima rawatan di hospital Hospital Tengku Ampuan Jemaah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Noor Mushar berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang l aporan berhubung kejadian kemalangan berkenaan sehingga kini.

Katanya, pihaknya masih menanti laporan daripada saksi atau orang awam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sabak Bernam, Abdul Nasir Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) sekitar jam 2.11 petang berhubung kejadian berkenaan.

“Bomba dengan kekuatan tujuh anggota mengambil masa 10 minit mengeluarkan mangsa dalam operasi menyelamat tersebut,” katanya.

sumber- Sinar

Tradisi memburu ikan guna burung

Beratus tahun yang lalu, nelayan di China telah melatih burung-burung untuk memburu ikan bagi menyara hidup mereka. Burung-burung ini akan menyelam ke dalam sungai dan mencari makanan di dalamnya.

tangkap ikan

Cincin khas diletakkan pada leher burung tersebut sebelum dibenarkan untuk menyelam. Ianya bertujuan untuk mengelakkan burung tersebut dari menelan terus hasil tangkapan. Ini bermakna apabila ia muncul di permukaan air, nelayan akan mengambil hasil tangkapan tersebut dan ia akan menyelam semula bagi mencari tangkapan lain.

buru ikan

Setelah hasil mencukupi, cincin pada leher burung tersebut akan ditanggalkan lalu diberi ganjaran berupa makanan. Adakalanya, seorang nelayan akan membawa lebih dari sepuluh ekor burung dalam satu-satu masa. Tradisi menangkap ikan sebegini masih diteruskan di Bandar Xitang, Wilayah Zhejiang, China.

Iran tawan pesawat drone AS

pesawat drone

TEHERAN - Pengawal Revolusi Iran semalam mendakwa berjaya `menawan’ sebuah pesawat tanpa juruterbang drone milik Amerika Syarikat (AS) di perairan Teluk Parsi selepas ia memasuki ruang udara Iran dipercayai dalam misi mengumpul maklumat perisikan.

Bagaimanapun Armada Kelima AS yang berpangkalan di Teluk segera menafikan dakwaan itu dan menyatakan mereka tidak kehilangan mana-mana pesawat drone di rantau berkenaan.

Cawangan tentera laut Pengawal Revolusi Iran dalam kenyataan dalam laman web rasminya berkata, pesawat drone AS yang melakukan rondaan di perairan Teluk Parsi ditawan ketika memasuki ruang udara negara ini. 

sumber- AFP

Tanam janin dalam semak

tanam janin

SUBANG JAYA: Satu janin berusia lima bulan ditemui cuba ditanam seorang lelaki dalam semak berhampiran Taman Subang Mas, di sini, semalam.

Janin yang cukup sifat dipercayai lelaki itu ditemui 5.40 petang selepas seorang lelaki berusia 20-an memaklumkannya kepada anggota polis yang melalui tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, janin berkenaan yang dibungkus dalam kain ditanam seorang lelaki yang melarikan diri sebaik anggota polis tiba.

Katanya, polis mendapat maklumat daripada seorang lelaki berusia 20-an yang mengesyaki seorang lelaki menanam sesuatu dipercayai bayi dalam semak.

“Hasil siasatan forensik mendapati janin berkenaan baru ditanam di kawasan itu,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, janin berkenaan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

sumber- HMetro

Budak cedera Blackberry meletup

Kian McCreath

LONDON: Seorang budak lelaki terpaksa menanggung parut pada kaki seumur hidup apabila telefon Blackberry baru milik abangnya meletup ketika dia tidur.

Kian McCreath, 11, menjerit kesakitan di awal pagi apabila kepingan plastik cair dari telefon itu melekat pada kakinya.

Katil McCreath juga terbakar akibat letupan itu. Budak sekolah dari Coventry itu berkata, dia berlari keluar dari bilik tidur sambil menjerit sekuat hati kerana terkejut serta sakit.

“Nasib baik ibu saya cepat sedar dan segera memadamkan api di katil,” katanya. Ibu McCreath, Sarah, 39, berkata dia terjaga kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin apabila terdengar jeritan anaknya. Budak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Coventry dan dirawat kerana kesan melecur pada kedua-dua kakinya. Blackberry itu kepunyaan abang McCreath, Mason, 13, dan baru saja dicabut dari pengecasnya sejurus sebelum meletup.

Sementara itu, jurucakap pengeluar Blackberry berkata, kes itu diberi perhatian serius.

“Kami menjadikan siasatan insiden itu sebagai keutamaan,” katanya. 

sumber- TS

Wanita mati diserang harimau

BANGKOK -  Seorang wanita penoreh getah terbunuh akibat serangan harimau di Tumbon Aiyerweng, Betong, Yala, hari ini.

Pranee Mahasuk, 43, yang cedera parah di kepala dan muka mati di Hospital Betong.

harimau
gambar hiasan
Suaminya Boontham Mahasuk berkata mereka sedang menoreh getah pada awal pagi bila dia terdengar isterinya menjerit dan mendapati seekor harimau Benggala berada dekat isterinya.

"Saya memanjat pokok dan menembak harimau itu lima kali tetapi binatang itu masih berjalan sekeliling. Saya tembak lima kali lagi," katanya.

Beliau turun dari pokok beberapa jam kemudian bila harimau itu telah pergi.

Polis Betong mengesahkan kejadian itu dan berkata polis dan orang kampung cuba menangkap harimau berkenaan yang dipercayai cedera terkena tembakan.

sumber- Bernama