Pages - Menu

Thursday, December 6, 2012

Banduan gemuk tersekat ketika melarikan diri

Hajat seorang banduan dari Brazil untuk melarikan diri tidak kesampaian apabila dia tersekat pada lubang yang digunakan. Kejadian berlaku di sebuah penjara di Ceres, berdekatan Goiania. Dikatakan perutnya terlalu besar sehinggakan dia tidak muat untuk memasuki lubang tersebut.

foto lucu banduan larikan diri

Dalam kejadian yang sama, seorang banduan lain berjaya meloloskan diri melalui lubang itu sebelum diikuti rakannya yang terlebih had muatan ini. Dia kemudiannya ditinggalkan dan mengerang kesakitan ketika cuba memaksa diri untuk keluar dari lubang itu.

"Tubuhnya terlalu besar dan tinggi," kata Leftenan Tiago Costa, anggota bomba tempatan. Beberapa banduan lain cuba menolaknya ketika tersekat. Namun, jeritannya disedari beberapa pengawal.

Pegawai penjara berasa geli hati dengan adegan melarikan diri tersebut dan kemudiannya menghubungi pihak bomba bagi meminta bantuan.

Ibu gila gigit kemaluan anak hingga putus

Seorang ibu tunggal telah menggigit kemaluan anak lelakinya yang berusia 9 tahun sehingga putus. Kejadian berlaku di Yibin, sebuah bandar di barat daya wilayah Sichuan, China.

rawatan di hospital

Keadaannya tidak lagi kritikal selepas diberi rawatan tetapi disahkan mengalami kecacatan seumur hidup. Doktor mengambil masa 2 jam bagi menyelamatkan nyawanya manakala saudara-maranya pula gagal mengesan kemaluannya yang putus digigit.

Ibu kanak-kanak tersebut dimasukkan ke hospital selepas berkelakuan tidak siuman dan bercakap sendirian setelah menyerang anaknya pada Ahad lalu. Wanita ini dikatakan tidak pernah berkahwin dan mendapat anak hasil hubungan dengan kekasihnya.

"Mangsa perlu menjalani terapi dalam jangka masa yang panjang bagi menghilangkan trauma atas kecederaan fizikal yang dialami. Apabila membesar, keinginan seksualnya sama seperti lelaki normal. Namun kecacatan tersebut membataskannya," kata doktor.

Kanak-kanak malang tersebut kini dijaga oleh saudara-maranya.

Lady Gaga beli pakaian MJ

LOS ANGELES - Bintang pop Lady Gaga membeli 55 barangan kepunyaan mendiang penyanyi Michael Jackson (MJ) berharga keseluruhan lebih AS$5 juta (RM15 juta), pada jualan lelong di Beverly Hill, Amerika Syarikat.

Sarung tangan MJ
Sarung tangan milik MJ antara barangan yang dilelong ketika jualan amal di Beverly Hill, Amerika Syarikat.
Penganjur berkata, kutipan jualan itu akan didermakan kepada badan amal.

"Dia membeli jaket bernilai AS$240 ribu (RM730 ribu), sarung tangan putih AS$192 ribu (RM580 ribu) dan jaket dipakai MJ ketika menjayakan iklan minuman ringan berharga AS$68 ribu (RM206 ribu),” katanya. 

sumber- AP

Kenderaan angkasa kedua Marikh

WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) kini dalam perancangan menghantar sebuah kenderaan angkasa baru ke Marikh.

kenderaan Marikh
Nasa akan membina kenderaan angkasa berdasarkan rekaan Curiosity.
Pengumuman dibuat sejurus Nasa menerima keputusan pertama mengenai ujian terhadap tanah planet merah itu melalui Curiosity.

Pengurusan Nasa, Charles Bolden dalam kenyataan memberitahu, Curiosity telah menjumpai beberapa kesan sebatian seperti air dan oksigen pada tanah berkenaan.

Menurut beliau, kenderaan angkasa baru itu akan direka berdasarkan Curiosity bagi mengurangkan kos serta risiko masalah kejuruteraan.

"Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, mahu AS menjadi peneraju utama program penjelajahan ini dan kita akan menghantar manusia pada 2030 ke Marikh," kata Bolden. 

sumber- AP

Tentera Israel melampau roboh masjid

BAITULMAQDIS - Kebiadaban Israel terhadap penduduk Palestin masih berterusan menyaksikan tentera rejim merobohkan Masjid Al-Mefqara di perkampungan Yatta, Hebron, kelmarin.

pokok zaitun Palestin
Pendatang Yahudi turut mencabut pokok zaitun yang sebelum ini menjadi sumber rezeki masyarakat Palestin.
Penyelaras jawatankuasa menentang perkampungan haram Yatta, Rateb Al-Jbour berkata, sepasukan tentera Israel dilihat mengelilingi masjid sebelum merobohkannya dengan jentolak.

Sementara itu, sekumpulan pendatang Yahudi bersama tentera rejim, tanpa rasa hormat mencabut lebih 200 pokok zaitun di Al-Jab'a, barat Bethlehem, dengan alasan ia kawasan pertikaian. 

sumber- PNN

Wanita tertinggi dunia meninggal dunia

Yao Defen

BEIJING: Seorang wanita China yang disahkan sebagai tertinggi di dunia meninggal dunia, kata seorang pegawai dari bandar kelahirannya semalam.

Yao Defen dari wilayah Anhui di timur China disenaraikan sebagai wanita tertinggi di dunia oleh Rekod Dunia Guinness pada 2010 dengan ketinggian 2.33 meter (7 kaki 8 inci), menurut laman web badan rekod dunia itu. “Yao Defen meninggal dunia pada pertengahan bulan lalu,” kata jurucakap pentadbiran majlis perbandaran Shucha, tempat Yao tinggal kepada media. Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak pasti mengenai punca kematian wanita terbabit.

Yao direkodkan sebagai wanita yang ketiga tertinggi di dunia yang masih hidup sebelum ini, berusia 40 tahun ketika dia meninggal.

Ketinggiannya dilaporkan berpunca daripada tumor dalam kelenjar pituitarinya. Akhbar Anhui melaporkan bahawa dia meninggal pada 13 November lalu dengan ketinggian mencecah 2.36 meter sambil menambah ketinggiannya sudah pun melebihi dua meter ketika dia berusia 15 tahun. 

sumber- AFP

Aksi ular sawa Afrika Selatan telan anak seladang dirakam

ular sawa telan anak seladang

JOHANNESBURG: Aksi seekor ular sawa Afrika cuba menelan seekor haiwan liar dirakam pegawai taman haiwan semalam.

Kelihatannya mata ular itu lebih besar daripada perutnya ketika ia ditemui di kawasan semak di Afrika Selatan ketika cuba untuk menelan haiwan itu.

Foto penemuan mengerikan itu dirakam di taman haiwan Welgevonden, Afrika Selatan oleh pengurusnya, Rudi Hulshof.

ular sawa sedang telan mangsa

Hulshof, 35, berkata: “Ini kali pertama saya menyaksikan sesuatu seperti itu dan saya sudah bekerja sebagai renjer taman ini selama 15 tahun di Afrika Selatan, selain berkunjung ke negara Afrika lain.

“Ini pemandangan yang amat jarang berlaku dan setahu saya yang pertama direkodkan, jauh sekali rakaman foto dan dokumentari memaparkan ular sawa Afrika Selatan menangkap mangsa sebesar anak seladang.

“Memang perkara biasa untuk ular sawa menangkap mamalia hidup, tetapi selalunya terdiri daripada spesies lebih kecil seperti arnab, kambing impala, antelop, tupai, burung dan tikus. “Namun, menangkap sesuatu sebesar ini tidak pernah terlintas di fikiran. Dapat dilihat bagaimana ular sawa itu membuka mulutnya sebesar-besarnya dan cuba untuk menelan mangsanya,” katanya. “Saya lihat ular itu hanya diam di atas tanah. Apabila mendekatinya saya nampak ia sedang menelan anak seladang yang berusia dua bulan.

“Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya saksikan sebelum berlari ke jalan raya secepat mungkin. Saya perlu mendapatkan kamera saya dan merakam foto itu serta membenarkan pengunjung turut merakamnya sebelum matahari terbenam dalam tempoh beberapa minit lagi,” katanya.

sumber- HMetro

Anggota polis gemuk Indonesia diarah bersenam

TANGERANG, Indonesia - Anggota-anggota polis yang gemuk di Indonesia telah diarahkan untuk bersenam sebanyak dua kali seminggu bagi menurunkan berat badan mereka.

anggota polis gemuk lelaki dan perempuan berlari untuk kuruskan badan
SEBAHAGIAN anggota polis berlari untuk menguruskan badan.
Mereka juga perlu mengikuti latihan senaman aerobik dan tekan tubi bagi mengurangkan beberapa kilogram berat badan masing-masing.

Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto semalam berkata, anggota polis yang mempunyai berat 100 kilogram (kg) ke atas diwajibkan mengikuti program menurunkan berat badan.

Beliau berkata, jumlah anggota polis yang gemuk semakin bertambah.

Katanya, tekanan, gaya hidup yang tidak aktif dan makanan segera telah membuatkan anggota polis di pusat bandar mengalami peningkatan berat badan.

Pendaftaran program penurunan berat itu yang bermula pada minggu lalu itu telah menerima kira-kira 300 peserta yang mempunyai berat badan berlebihan.

sumber- Agensi

Suami isteri tinggal dalam pembetung

MEDELLIN, Colombia - Seorang lelaki, Miguel Restrepo tinggal di dalam sebuah saluran pembetung bersama isterinya, Maria Garcia di sini lebih 30 tahun lalu.

 tinggal dalam pembetung
KEADAAN di dalam pembetung itu yang dihuni Restrepo (kiri) dan Garcia bersama anjing mereka. 
Restrepo, 62, turut tinggal di dalam pembetung tersebut dengan seekor anjing.

Pembetung setinggi 1.4 meter itu mengandungi sebuah dapur, televisyen, katil dan kipas.

Restrepo yang tidak mempunyai rumah memasuki dan keluar dari pembetung itu melalui sebuah lubang. 

sumber- Agensi

Permata unik dipamerkan

WASHINGTON - Permata akuamarin potongan tunggal terbesar di dunia akan dipamerkan bermula di Muzium Sejarah Semula Jadi di sini mulai hari ini.

Aquamarine Dom Pedro
PERMATA akuamarin yang berbentuk seperti tiang dipamerkan di Muzium Sejarah Semula Jadi, Washington pada hari ini.
Dilombong di Brazil pada tahun 1980-an dan dinamakan sempena dua maharaja pertama negara itu, batu Akuamarin Dom Pedro bakal menjadi kebanggaan muzium tersebut yang merupakan sebahagian daripada Institut Smithsonian di Amerika Syarikat.

"Kualiti kristal asal, saiz dan warna biru hijau serta potongan tersendiri menjadikan ia permata yang jarang sekali ditemui," kata pihak muzium itu menerusi satu kenyataan.

Berbentuk seperti tiang dan direka bentuk oleh pereka barang kemas terkenal Jerman, Bernd Munsteiner, panjang permata itu ialah 35.5 sentimeter manakala beratnya mencecah dua kilogram (10,363 karat).

"Akuamarin Dom Pedro merupakan kombinasi kristal yang amat jernih dan kaya dengan warna serta digarap dengan kemahiran unik seorang tukang permata yang terkemuka," kata kurator koleksi permata muzium berkenaan, Jeffrey Post.

Koleksi permata dan mineral Institut Smithsonian itu merupakan antara yang terbesar di dunia.

sumber- AFP

274 maut akibat taufan Bopha di selatan Filipina

NEW BATAAN, Filipina - Jumlah kematian akibat taufan Bopha yang melanda negara ini meningkat kepada 274 mangsa semalam.

taufan Bopha
SEORANG mangsa taufan Bopha membawa kotak minuman daripada celah runtuhan gerainya di Lembah Compostela, selatan Filipina semalam.
Selain itu, ratusan mangsa lagi masih tidak ditemui manakala beberapa pasukan penyelamat sedang berusaha untuk tiba ke beberapa kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

Taufan Bopha membadai selatan kepulauan Mindanao pada hari Selasa lalu sekali gus menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan menerbangkan ribuan buah rumah dengan kelajuan angin 210 kilometer sejam sebelum menghala ke Laut China Selatan.

Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos berkata kepada wartawan, bahawa seramai 253 mangsa maut di sekitar kawasan pergunungan di New Bataan dan Monkayo ekoran taufan itu. 

sumber- Agensi

Jururawat ditipu penyampai radio

LONDON - Sebuah hospital yang merawat isteri Putera William, Catherine semalam mengaku pihaknya menjadi mangsa panggilan telefon palsu daripada sebuah stesen radio Australia.

King Edward VII hospital
HOSPITAL King Edward VII di London yang menjadi lokasi Kate dirawat.
Catherine yang lebih mesra dengan panggilan Kate Middleton dimasukkan ke hospital King Edward VII di sini pada minggu ini selepas dia mengalami loya yang teruk akibat kehamilannya.

Beberapa penyampai stesen raido 2Day FM dari Sydney yang menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan ayahanda William, Putera Charles berjaya bercakap dengan seorang jururawat yang memberikan butiran terbaharu tentang keadaan Kate.

Jururawat tersebut memberitahu, Kate sudah tidak mengalami rasa loya yang teruk seperti ketika dia dimasukkan ke hospital itu pada Isnin lalu.

Pihak pengurusan hospital King Edward VII yang kesal dengan insiden tersebut mengesahkan bahawa jururawat terlibat telah mendedahkan butiran perkembangan Kate, 30, kelmarin.

"Ia merupakan panggilan jenaka biadab yang kami kesali," kata ketua eksekutif hospital itu, John Lofthouse.

"Kami amat mementingkan hak peribadi pesakit kami dan kami kini menyemak semula protokol panggilan telefon hospital ini," tambahnya.

Kate diserang sindrom rasa loya yang teruk, hyperemesis gravidarum.

Sindrom tersebut menyerang purata seorang dalam setiap 200 ibu yang mengandung.

Berita tentang kehamilan Kate pada Isnin lalu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pewaris kepada takhta diraja Britain itu yang tercetus selepas beliau berkahwin dengan William pada April 2011.

Tanpa mengira jantina, bayi mereka pasti akan menjadi pewaris takhta diraja Britain susulan satu persetujuan pada tahun lalu untuk menamatkan amalan yang cuma mengiktiraf lelaki sebagai pewaris takhta.

William merupakan pewaris kedua takhta diraja Britain selepas ayahandanya.

sumber- Agensi