Seorang jutawan dari China sanggup bekerja sebagai tukang cuci semata-mata untuk mengajar anaknya supaya bekerja keras. Yu Youzhen, 53, mempunyai 17 buah pangsapuri dan memiliki banyak harta di China.
Namun begitu, dia langsung tidak dibuai dengan kekayaannya. Dalam enam hari seminggu, dia akan bangun seawal subuh untuk menyapu, menggosok dan mengosongkon tong sampah di sepanjang dua kilometer jalan raya yang sibuk di bandar Wuhan, China.
"Saya mahu menjadi model contoh untuk anak-anak saya. Saya tidak mahu mereka leka dan menghabiskan harta yang ada," kata Yu.
Tegasnya, dia tidak mahu memberi tanggapan kepada anak-anaknya bahawa menjadi orang kaya dan tidak perlu berbuat apa-apa adalah perkara yang mudah. "Gaya hidup sebegitu pasti akan membahayakan mereka dalam jangka masa yang panjang."
Kedua-dua anak Yu memperoleh pendapatan bergaji. Anak lelakinya bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan bulanan kira-kira RM987 manakala anak perempuannya memperoleh gaji kira-kira RM1,480 dengan pekerjaan yang tidak menentu. Yu sendiri memperoleh pendapat bulanan kira-kira RM641 sahaja. Yu mula bekerja sebagai tukang cuci kira-kira satu dekad dahulu selepas bosan dengan gaya hidup yang penuh dengan kemewahan.