Pages - Menu

Saturday, August 25, 2012

Biskut beras terbesar di dunia

Biskut beras terbesar di dunia
BEBERAPA ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia bergambar dekat biskut beras terbesar di dunia di wilayah Chiba, Tokyo
TOKYO - Sekumpulan peminat snek di Jepun semalam mendakwa mereka mencatat rekod untuk biskut beras terbesar di dunia.

Memiliki diameter 160 sentimeter, biskut itu jauh lebih besar daripada biskut beras biasa yang dikenali sebagai senbei.

Senbei yang diperbuat daripada tepung beras, dimakan dengan meluas di Jepun.

Michihiro Yamaguchi yang merupakan seorang ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia di bandar Kioroshi, timur Tokyo menganggap ia adalah detik kejayaan buat mereka.

"Kami berjaya melakukannya. Inilah dendam yang amat manis," katanya selepas gagal dalam percubaan untuk berada dalam buku rekod dunia pada bulan lalu selepas biskut yang dihasilkan itu kurang tiga sentimeter daripada sasaran mereka. 

sumber- AFP

Kisah Profesor Termuda Di Dunia

cara mendaftar IPTA secara online
ALIA SABUR memakai topi siswazah dan bergambar bersama alat muzik klarinet.
SEORANG gadis berumur 19 tahun, Alia Sabur memecah rekod dunia apabila menjadi profesor universiti paling muda di dunia.

Alia dilahirkan pada 22 Februari 1989 di New York City, Amerika Syarikat (AS) dan kebijaksanaannya mula terserlah apabila dia memasuki Universiti State New York di Stony Brook pada usia 10 tahun.

Dia kemudiannya diterima masuk sekolah siswazah ketika berumur 14 tahun apabila tamat pengajian dengan memperoleh kepujian tertinggi di universiti itu.

Kebolehan gadis berketurunan Iran itu bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi dia juga cemerlang dalam seni mempertahankan diri, taekwondo dan muzik.

Alia mendapat tali pinggang hitam taekwondo ketika berumur sembilan tahun dan pada usia 11 tahun dia juga pernah bermain alat muzik klarinet dalam satu konsert.

Selepas tamat pengajian di Universiti State New York, Alia melanjutkan pelajaran di Universiti Drexel di mana dia dianugerahkan ijazah sarjana pada 2006.

Gadis itu kini merupakan calon untuk ijazah doktor falsafah, (Ph.D) dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Bahan.

cara mudah untuk masuk ke UiTM
ALIA meniup klarinet.
Dia yang mula membaca buku fizik ketika berumur 10 tahun juga sedang menjalankan kajian untuk mencari kaedah merawat penyakit kanser dan Alzheimer.

Pada tahun 2007, Alia menjadi pensyarah sambilan di Universiti Southern di New Orleans selepas negeri itu dilanda Taufan Katrina.

Bagaimanapun, pada 19 Februari 2008, Guinness Book of World Records menamakan Alia sebagai profesor paling muda di dunia.

Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Colin Maclaurin sejak 1717 apabila dia dilantik sebagai profesor matematik ketika berumur 19 tahun dan tujuh bulan.

Alia dilantik sebagai profesor di Jabatan Penggabungan Teknologi Lanjutan di Universiti Konkuk di Seoul, Korea Selatan.

Kejayaan gadis itu dalam usia yang terlalu muda mengingatkan kembali kepada beberapa lagi kanak-kanak genius yang memilih jalan yang salah.

Seorang genius matematik, Sufiah Yusof diterima memasuki Universiti Oxford di Britain ketika berumur 13 tahun tetapi kini dia mengejutkan ramai pihak apabila menjadi pelacur.

Nasib genius muzik, Terence Judd yang mula mengadakan konsert piano ketika berumur 12 tahun lebih tragis apabila membunuh diri pada 1979 ketika berumur 22 tahun.

Bagaimanapun, Alia dilihat berlainan dan dia memberitahu bahawa ibu bapa dan Tuhan adalah faktor kejayaannya selama ini.

Alia berkata, ibunya yang merupakan bekas jurutera dan bapanya yang merupakan seorang wartawan penyiaran memberi galakkan berhubung apa yang ingin dilakukannya.

"Kami percaya apa yang kami peroleh selama ini adalah anugerah daripada Tuhan," katanya.

"Saya hanya mahu mengetahui bagaimana sesuatu benda itu berfungsi dan apakah sains sebenarnya?," katanya.

Ditanya apakan kelemahannya, gadis pintar itu mengakui bahawa dia tidak pandai bermain permainan bola keranjang.

"Saya suka mengajar kerana ia sesuatu yang boleh saya melakukan perubahan dan saya berpendapat saya boleh membantu orang ramai," katanya.

Alia yang akan mula bertugas di Seoul pada bulan ini memberitahu bahawa dia bakal mencatatkan satu lagi kemahiran yang dimilikinya iaitu fasih berbahasa Korea.

"Saya juga bersyukur kepada Tuhan kerana saya juga boleh berkomunikasi dalam bahasa matematik dan muzik," katanya. 

sumber- Kosmo

Cerut paling panjang di dunia

Cerut paling panjang di dunia
CERUT paling panjang di dunia dipamerkan di sebuah kubu lama Sepanyol di Havana, Cuba
HAVANA - Sebatang cerut yang sepanjang 81.8 meter dihasilkan oleh beberapa orang diketuai oleh penggulung cerut di Cuba, Jose Castelar.

Castelar berharap cerut itu akan mencipta rekod sebagai yang paling panjang di dunia.

Dia dan pekerja-pekerjanya mula menghasilkan cerut itu pada penghujung April lalu dan ia berjaya disiapkan kelmarin.

Sebelum ini, Castelar, 67, mencipta rekod dunia kerana dia menggulung cerut sepanjang 45 meter pada 2008.

Cerut itu kini menunggu pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan Guinness World Records di London untuk disahkan sebagai yang paling panjang di dunia.

sumber- Agensi

Bebola Daging Terbesar Di Dunia

Restoran hasil bebola daging gergasi
MATTHEW MITNITSKY (tengah) bergambar bersama bebola daging gergasi terbesar dunia di Concord, New Hampshire
CONCORD - Seorang pemilik restoran di pantai timur Amerika Syarikat (AS), Matthew Mitnitsky boleh berbangga setelah disahkan menghasilkan bebola daging terbesar di dunia, lapor sebuah akhbar.

Pemilik restoran Itali bernama Nonni itu memberitahu, bebola daging seberat 101 kilogram itu dengan rasminya disahkan sebagai terbesar di dunia oleh beberapa pegawai Guinness Book of World Records.

Rekod bagi kategori sama sebelum ini ialah 90 kilogram dan dicatat lebih sebulan sebelum itu selepas seorang hos rancangan perbualan AS, Jimmy Kimmel berikrar untuk memecahkan rekod lama yang dicatat di Mexico.

Bebola daging yang dihasilkan di Mexico itu memiliki berat cuma 50 kilogram.

Mitnitsky berkata, dia berazam mengembalikan catatan rekod bebola daging ke pantai timur AS kerana ia merupakan tempat asal makanan tersebut. 

sumber- Agensi

Kedai hampir 10 kali dipecah masuk

Kedai hampir 10 kali dipecah masuk
Abdul Rahman dan anaknya menunjukkan rak rokok yang kosong.
PENDANG - Seorang peniaga sebuah kedai runcit di Simpang Tiga Bukit Raya di Jalan Tokai menanggung kerugian  lebih RM2,000 apabila kedainya dipecah masuk kira-kira jam 2 hingga 4 pagi semalam.

Peniaga, Abdul Rahman Mat Isa, 59, berkata, dia yang tinggal berhampiran kedai terbabit tidak mendengar sebarang bunyi memandangkan ketika kejadian itu hujan renyai.

Menurutnya, kejadian itu hanya diketahui ketika anaknya Mubarak Abdul Rahman, 25, membuka kedai pada jam 7.30 pagi dan terkejut melihat barang niaga berselerak serta dua almari berisi rokok kosong.

“Kejadian itu menyebabkan saya kerugian apabila pencuri itu bukan sahaja mencuri semua rokok yang disusun dalam almari itu tetapi turut mencuri beberapa botol syampu, bateri bersaiz 3A dan 2A serta kad tambah nilai telefon bimbit.

“Saya tidak menyangka pencuri memasuki kedai melalui dinding  yang dibina menggunakan zink. Pencuri  dengan bertindak memotongnya walaupun kedudukan kedai itu bersebelahan jalan utama.

"Malah, lampu kedai dipasang bukan sahaja dalam kedai tetapi  kawasan luar kedai,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia banyak menghabiskan wang  melakukan penambahbaikan kedainya itu supaya tidak dimasuki pencuri kerana sebelum ini hampir 10 kali kedai terbabit dipecah masuk melalui bumbung, tingkap, lubang dan beberapa bahagian lain.

“Saya juga pernah menangkap beberapa pelanggan yang cuba mencuri ketika sedang berniaga.

"Saya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera,” katanya kepada Sinar Harian.

sumber- Sinar

Pengasuh mengaku tak bersalah

Pengasuh mengaku tak bersalah
Sarojh
BUTTERWORTH - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal ke atas bayi yang berada di bawah jagaannya lapan hari lalu.

G Sarojh, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Pendaftar Mahkamah Butterworth, Ahmad Faid Mohd Zain semalam.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 18 hingga 24 tahun didakwa berbuat demikian pada 15 Ogos 2012 antara jam 10 hingga 10.30  pagi di Flat Mak Mandin, Butterworth di sini.

Sarojh dituduh di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan dia boleh didenda RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Isteri kepada pemandu lori itu sebelum ini direman dua hari yang berakhir semalam selepas ibu bapa bayi malang itu membuat laporan polis kerana tak berpuas hati dengan kecuaiannya ketika mengasuh anak mereka.

Dalam kejadian itu, mangsa, Y Meysshvin anak tunggal pasangan A Yogeshwaran dan Ranjita Kaur, masing-masing 30-an, yang dijaga suspek mengalami kecederaan parah terbakar 70 peratus badannya.

Kejadian itu berlaku semasa mangsa ditinggalkan berseorangan tidur dalam buaian di rumah suspek di tingkat empat flat berkenaan.    

Semasa kejadian suspek dikatakan turun ke kedai membeli barangan dapur dan hanya menyedari rumahnya terbakar selepas dimaklumkan jiran.

Bagaimanapun tindakan pantas jiran memadam api yang dikatakan berpunca dari tokong kecil di dalam rumah suspek, berjaya menyelamatkan bayi malang itu dari mati terbakar.

Bayi malang itu kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 manakala peguam tertuduh, A Ashok memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan keluarga anak guamnya tidak berkemampuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.

sumber- Sinar

Murid Tahun Empat putus dua jari akibat mercun bola

Murid Tahun Empat putus dua jari akibat mercun bola
Wan Muhammad Anas Amar Moh Rosyam, 10, putus ibu jari, jari telunjuk dan patah pergelangan tangan kiri serta mengalami kecederaan. - Foto Bernama
SUNGAI PETANI - Seorang murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil dekat sini putus dua jari tangan kiri setelah mercun bola yang dibakarnya meletup sebelum dia sempat membalingnya.

Dalam kejadian 5 petang Rabu lepas, Wan Muhammad Anas Amar Moh Rosyam, 10, putus ibu jari, jari telunjuk, patah pergelangan tangan kiri selain cedera pada tapak tangan kanan serta kedua-dua mata dan muka.

Bapanya, Moh Rosyam Hanafiah, 39, berkata akibat kejadian itu juga penglihatannya anaknya kini kurang jelas.

"Saya selalu nasihatkan Anas jangan bermain mercun dan dia sememangnya tidak pernah bermain mercun. Tak sangka pula kejadian ini boleh berlaku ke atasnya," kata Moh Rosyam ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim Shah, di sini hari ini.

Katanya beliau difahamkan anaknya terjumpa mercun tersebut ketika bermain seorang diri.

"Saya berada di rumah jiran ketika kejadian dan dimaklumkan oleh rakan Anas menyebabkan saya meluru dan mendapati dia terbaring dengan tangan berlumuran darah," katanya. 

sumber- Bernama

18 menyamar wartawan seludup RM21 juta ke Nicaragua

Polis Nicaragua
Polis Nicaragua menunjukkan kepada media 18 orang, dipercayai rakyat Mexico, yang menyeludup RM21 juta dengan menyamar sebagai wartawan, semalam. - Foto ihsan boston.com/AP
MANAGUA - Polis Nicaragua menemui wang tunai AS$7 juta (RM21 juta) yang diseludup dalam beberapa van oleh sekumpulan 18 orang, dipercayai rakyat Mexico, yang menyamar sebagai wartawan membuat liputan kes bunuh.

Mereka membawa wang tunai itu dalam van-van yang menggunakan nama rangkaian televisyen Mexico, Televisa.

Seorang yang ditahan merupakan pegawai polis dari negeri Durango.

Ketua Polis Nicaragua, Aminta Granera berkata, wang itu ditemui di tiga daripada enam van dinaiki mereka.

Laporan Associated Press menyebut bahawa suspek itu mahu menyeludup wang tunai itu ke Costa Rica melalui Nicaragua.

Kumpulan itu ditahan di Honduras, utara Nicaragua ketika mereka mendakwa berada di lokasi kejadian untuk membuat liputan perbicaraan pembunuhan penyanyi Facundo Cabral tahun lalu.

Perbicaraan itu melibatkan penggubahan wang secara besar-besaran.

Sejurus selepas ditahan, rangkaian Televisa menafikan pihaknya ada menghantar wartawannya ke Nicaragua untuk membuat liputan.

Kedutaan Mexico di sini mengesahkan bahawa 18 suspek yang ditahan merupakan warganegaranya.

sumber- Sinar

Anak hilang selepas keluar beraya

tragedi gadis diculik
Rusly bersama isterinya menunjukkan laporan polis dan gambar Mariam yang hilang sejak 2 Syawal lalu.
KUALA LANGAT - Seorang ibu tidak sangka kain yang dihadiahkan kepada anak perempuannya untuk belajar menjahit baju merupakan pakaian terakhir yang dilihat dipakai sebelum anak gadisnya  menghilangkan diri sejak lima hari lalu.

Mariam Aainaa Rusly, 13, dari Kampung Bukit Changgang dilaporkan menghilangkan diri pada 20 Ogos lalu ketika umat Islam sibuk menyambut hari raya kedua.

Ibunya, Asmawati Amat Jiman, 43, berkata, anaknya keluar rumah jam 10 pagi dengan memaklumkan dia mahu beraya ke rumah rakan.

Menurutnya, dia  yang tidak mengesyaki apa-apa dan hanya membenarkan anak kelima daripada enam beradik itu keluar bersama rakannya yang turut beraya di rumah.

“Saya bimbang kerana dia tidak mempunyai telefon bimbit malah duit raya bernilai RM50 yang diberikan oleh ayahnya ditinggalkan di dalam bilik tetapi hanya berpakaian baju kurung bercorak bunga biru tua yang dijahit sendiri.

“Apabila malam, saya mula risau apabila Mariam masih belum pulang selain percayai dia langsung tidak membawa wang bersamanya dan tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pekan Banting, semalam.

Bapanya, Rusli Abdullah, 47, berkata, dia turut menghubungi dua lagi rakannya yang dimaklumkan turut bersama Mariam ketika keluar dari rumah namun nombor telefon bimbit mereka tidak berjawab.

Katanya, dia bertambah runsing apabila salah seorang rakan Mariam turut memaklumkan anaknya keluar dengan seorang lelaki selepas berjumpa dua rakan perempuannya.

“Sehingga hari ini, telefon rakan-rakan Mariam masih gagal dihubungi dan tidak menerima sebarang jawapan termasuk di peti simpanan pesanan suara,” katanya yang turut membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis KLIA dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Rusly  berkata, dia sudah mencari anaknya di beberapa kawasan berhampiran termasuk Nilai, Putrajaya, Banting, Bagan Lalang tetapi masih gagal ditemui.

Dia yang bekerja sebagai juruelektrik bimbang keselamatan Mariam kerana sebelum ini anaknya tidak menunjukkan perubahan dan semasa hari raya pertama, dia nampak ceria seperti biasa.

“Kami tidak pernah berselisih faham dan saya juga tidak mengetahui sama ada dia mempunyai teman lelaki atau tidak.

“Malah Mariam tidak pernah keluar rumah bersendirian tanpa ditemani ibu atau bapanya,” katanya.

Rusly turut meminta siapa yang terjumpa anaknya segera menghubunginya di talian 017- 6945855 atau datang balai polis berhampiran.

Jurucakap polis IPD Kuala Langat, ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan laporan polis turut dibuat berhubung kes berkenaan.

sumber- Sinar

Ayam terlebih 2 kaki di punggung

bontot ayam pelik
Hasnah menunjukkan ayam pelik yang dibelinya mempunyai empat kaki.
TUMPAT – Seorang suri rumah nyaris memasak kari ayam berkaki empat apabila dia terbeli ayam pelik yang mempunyai empat kaki.

Dua daripada kakinya tumbuh di bahagian punggung ayam tersebut.

Hasnah Yahya, 48, berkata, dia membeli ayam pelik itu di sebuah gerai menjual ayam di Chabang Tiga Berangan di sini, untuk dijadikan kuah roti jala pada hari raya kedua lalu.

“Saya ke gerai ayam itu membeli dua ekor ayam untuk dijamu kepada sanak saudara.

“Masa membeli ayam ini memang saya tidak perasan ia mempunyai empat kaki.

“Mungkin masa itu ramai pelanggan, beratur panjang juga saya untuk mendapatkan dua ekor ayam ini, cuma seekor sahaja yang berkaki empat,” katanya.

Bagaimana pun Hasnah berkata, dia menyedarinya selepas menyediakan rempah di dapur untuk memasak kari ayam dan ketika menyiang ayam terbabit dia terpegang kaki ayam itu.

“Terkejut saya seketika dengan penemuan ayam pelik ini kerana seumur hidup saya ini pertama kali saya melihat ayam berkaki empat.

“Tetapi sayang ia sudah disembelih, kalau tidak mungkin ayam ini akan dipelihara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun sebelah kaki ayam itu terpotong, dia tidak meneruskan hasratnya untuk memasak kari ayam pada hari tersebut.

“Saya batalkan niat untuk memasak kari ayam berkaki empat ini kerana khuatir tidak berselera untuk menjamah.

Ayam pelik ini seberat dua kilogram yang dibeli dengan harga RM10 diberikan kepada saudaranya dan sehingga kini masih disimpan di dalam peti sejuk,” katanya.

sumber- Sinar

Gaduh: 4 cedera, 7 ditahan

Gaduh: 4 cedera, 7 ditahan
Keadaan kedai makan terbabit masih berselerak selepas berlaku pergaduhan, pada malam empat Syawal lalu.
KOTA BHARU- Empat orang tercedera dalam pergaduhan yang melibatkan 19 lelaki di sebuah kedai makan di hadapan Sekolah Kebangsaan Long Ghafar di sini pada malam empat Syawal lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian yang berlaku pada jam 3 pagi itu didakwa bermula apabila seramai sembilan lelaki daripada satu kumpulan  (A) menegur perbuatan salah seorang kumpulan yang lain (B) yang terdiri daripada 10 ahlinya.

"Teguran itu dibuat apabila salah seorang lelaki dari kumpulan B meletakkan kaki di atas kerusi yang diduduki oleh salah seorang ahli kumpulan A.
Akibat daripada perbuatan tersebut pemilik kepada kedai makan itu telah menegur supaya tidak bergaduh di dalam kedai tersebut dan jika ingin melakukannya biarlah di luar kedai," katanya.

Menurutnya, mengeruhkan keadaan lagi apabila pemilik kedai tersebut dikatakan mengeluarkan sebilah kelewang dan diambil oleh salah seorang ahli kumpulan B sehingga menimbulkan kekecohan.

Beliau berkata, pada masa yang sama terdapat empat lagi kelewang dikeluarkan oleh ahli kumpulan B sehingga menyebabkan ahli kumpulan A bertindak mempertahankan diri menggunakan kerusi yang terdapat di kedai makan itu.

Azham berkata, disebabkan kejadian tersebut, tiga ahli kumpulan A dan pemilik kedai makan mengalami kecederaan sehinggakan ada di antara mereka yang mengalami kecederaan di lengan, putus jari telunjuk kanan dan jari manis hampir terkulai.

"Kesemua mereka yang berusia 20an itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), manakala pemilik kedai makan pula cedera di kepala, tangan, bahu dan betis.

"Kejadian itu berlarutan apabila ahli kumpulan B turut memecahkan cermin dapur serta menyelerakkan barangan di dalam kedai tersebut dan mengambil sebuah komputer riba milik pemilik kedai makan itu," katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai tujuh termasuk pemilik kedai makan itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai Osman, 35, berkata, semasa kejadian berlaku dia sedang berehat berhampiran dengan kedai makan tersebut.

"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi bising dan ternampak seorang lelaki yang jarinya terputus lari dan kemudian datang sebuah kereta mengambilnya. Beberapa minit kemudian datang sebuah kereta lagi mengambil seorang lelaki yang tangannya cedera," katanya.

Dia berkata, tidak lama selepas itu, empat buah kereta datang dan mereka yang menaiki kereta tersebut membawa sikul dan memecahkan barangan di dalam kedai makan tersebut.

sumber- Sinar

Bayi 10 bulan nyaris maut

Bayi 10 bulan nyaris maut
Orang ramai bertanyakan keadaan bayi yang terselamat dalam kejadian tersebut.
UKAY PERDANA - Seorang bayi berusia 10 bulan terselamat daripada maut dalam nahas jalan raya apabila kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbalik dua kali ketika menuruni bukit dari Ukay Perdana berhampiran Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam itu menyebabkan kecederaan ringan kepada bayi tersebut dan kedua-dua ibu bapanya.

Bapa mangsa dan juga pemandu, Azrami Aris berkata, keretanya menghadapi masalah ketika membelok di selekoh dan melanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, semasa melepasi selekoh terbabit, stereng keretanya didapati menghadapi masalah, menyebabkan dia tidak dapat mengawal kenderaannya lalu berpusing beberapa kali.

“Alhamdulillah, saya bersyukur isteri dan bayi saya selamat dalam insiden ini serta dua anak lain bernasib baik kerana menaiki kereta lain bersama saudara yang ketika itu berada di belakang kereta saya,” katanya.

Akibat insiden tersebut, Azrami mengalami kecederaan di kakinya.

Bayi dan isterinya dihantar ke Hospital Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.

Azrami berkata, dia amat bersyukur apabila dua lagi anaknya tidak menaiki kereta terbabit bersamanya ketika itu kerana mungkin kejadian lebih teruk boleh berlaku.

Menurutnya, kereta jenis Avanza yang dipandunya itu adalah milik keluarganya di Kedah.

Sinar Harian difahamkan mangsa dan keluarganya ingin pergi bersiar-siar sebelum kejadian malang tersebut berlaku selepas hujan berhenti.

sumber- Sinar

Tertidur di pesawat, penumpang 'makan angin' 18 jam

Tertidur di pesawat, penumpang ‘makan angin’ 18 jam
Pakistan International Airlines (PIA).
LAHORE - Gara-gara tertidur, seorang penumpang Pakistan International Airlines (PIA), yang sepatutnya turun di Paris terpaksa patah balik ke Lahore sebelum meneruskan penerbangan ke ibu negara Perancis itu.

Penumpang itu hanya tersedar dari tidur apabila pesawat hendak mendarat di Lahore, tempat dia berlepas pada hari sebelumnya.

Patrice Christine Ahmed, seorang warganegara Perancis, berlepas dari Lahore menggunakan PIA, Selasa lepas dan sepatutnya terbang ke Paris melalui Milan, Itali.

Setibanya di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, dia sedang tidur dan tidak dikejutkan oleh krew penerbangan semasa pesawat melakukan singgah selama dua jam.

Apabila tersedar, dia mendapati dirinya kembali ke Lahore.

Patrice, yang berkahwin dengan lelaki Pakistan, tidak memberitahu krew kabin mengenai situasinya dan kesilapan itu hanya dapat dikesan apabila pegawai imigresen mendapati visanya telah tamat setibanya di Lahore pada pagi Rabu.

Dia telah mengembara selama 18 jam dan melalui perjalanan sejauh 12,000 kilometer.

Berikutan itu, keluarga wanita tersebut merancang semula perjalanannya ke Paris tetapi menggunakan syarikat penerbangan berbeza.

Jurucakap syarikat penerbangan sedang menyiasat kejadian itu, tetapi menjadi tanggungjawab penumpang untuk mendarat di destinasi mereka.

sumber- Sinar

5 penjenayah pecah kondo ditahan

5 penjenayah pecah kondo ditahan
JAUTEH (dua dari kiri) menunjukkan peta panduan perjalanan dan barang rampasan geng pecah rumah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah semalam.
KOTA KINABALU - Hanya berpandukan peta panduan perjalanan, lima penjenayah menggunakan kemudahan itu menyamar sebagai pelancong dan melakukan kegiatan pecah rumah membabitkan kondominium dan apartmen di bandar raya ini sejak sebulan lalu.

Antara lokasi jenayah membabitkan lima suspek termasuk dua wanita itu tertumpu di Kondominium Gress Garden, Kondominium Kristal, Kondominium Signal Hill dan dua apartmen iaitu Noble Court dan Millenium.

Dalam tempoh sebulan lalu, kumpulan tersebut dipercayai sudah terlibat dalam 14 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM439,000.

Empat suspek berasal dari Semenanjung manakala seorang suspek wanita merupakan warga China dipercayai teman wanita kepada salah seorang anggota geng tersebut.

Modus operandi kumpulan tersebut mudah, iaitu mereka hanya mengetuk pintu rumah mangsa secara rambang sebelum menanyakan rumah rakan mereka yang kononnya tinggal di kawasan tersebut.

Setelah mangsanya menjawab pertanyaan tersebut, suspek yang biasanya bergerak antara dua dan tiga orang terus mengeluarkan pemutar skru dan mengugut mangsa menyerahkan barangan bernilai milik mereka.

Selain itu, kumpulan penjenayah tersebut turut menggunakan pemutar skru untuk mengumpil rumah lain yang tiada penghuni.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kelima-lima suspek berusia 34 hingga 53 tahun diberkas di dua bilik sebuah hotel di sini pukul 4.50 pagi, 22 Ogos lalu.

"Hasil pemeriksaan di dalam dua buah bilik hotel didiami suspek menemui wang bernilai RM847, sebuah iPad, enam buah telefon bimbit termasuk jenis Nokia dan Sony Ericsson, 15 dompet dan beg tangan pelbagai jenama, beberapa barangan kemas seperti cincin dan rantai emas, buku panduan perjalanan dan sejumlah mata wang asing.

"Turut ditemui pemutar skru dan pemotong besi," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Menurut beliau, kesemua barang rampasan tersebut bernilai RM150,000.

sumber- Kosmo

Jualan rokok tiruan berleluasa di Kota Kinabalu

Jualan rokok tiruan berleluasa di Kota Kinabalu
SALAH seorang penjual rokok haram dan tiruan melakukan kegiatan itu secara terbuka di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
KOTA KINABALU - Kegiatan penjualan rokok haram dan tiruan di bandar raya ini semakin berleluasa sehingga mencetuskan rasa kurang senang orang ramai.

Dengan menjadikan kawasan perhentian bas, kaki lima dan jalan sebagai lokasi berniaga, peniaga rokok tiruan yang terdiri daripada kanak-kanak dan golongan wanita licik mencari pelanggan mereka malah tinjauan Kosmo! turut mendapati, kebanyakan daripada peniaga itu terdiri daripada warga asing dan mereka berniaga seawal pukul 6 pagi hingga larut malam.

Seorang penjual kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali Azim mengaku menjual rokok haram dan tiruan sejak dua tahun lalu.

Katanya, hasil jualan sehari adalah antara RM50 hingga RM100 dan jumlah itu akan bertambah pada hujung minggu.

"Dalam sehari, boleh dapat untung RM30 dan ia sudah cukup besar memandangkan perniagaan ini banyak persaingan," katanya yang turut mengaku tidak pernah bersekolah.

Jelas Azim, rokok berjenama yang biasanya dijual pada harga RM10 sekotak boleh dibeli dengan harga RM2 hingga RM4 sahaja.

Selain itu, turut dijual pelbagai rokok keretek yang diseludup dari Indonesia.

Apa yang pasti, modus operandi kumpulan itu cukup licik iaitu menyembunyikan semua rokok tersebut di sebalik pintu, tangga, bawah kereta dan belukar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Paling penting, kumpulan itu juga mempunyai seorang 'mata-mata' yang bertindak mengesan kehadiran pihak berkuasa.

sumber- Kosmo

97 mayat tidak dituntut di HKL

97 mayat tidak dituntut di HKL
PEMBANTU Perawatan Kesihatan HKL, Mazlan Mohd. Amin sedang menguruskan jenazah yang tidak dituntut oleh waris sebelum dikebumikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di HKL baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Sebanyak 97 mayat dengan 41 daripadanya beragama Islam terbiar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini selepas tidak dituntut oleh keluarga atau waris masing-masing sepanjang tahun lalu.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2010 apabila terdapat sebanyak 72 mayat tidak dituntut di hospital itu.

Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood (gambar kecil) berkata, peningkatan jumlah mayat yang tidak dituntut itu bagaimanapun satu fenomena biasa berikutan pertambahan jumlah penduduk.

Katanya, bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini, kira-kira 50 hingga 60 mayat tidak dituntut selepas dua minggu kematian didaftarkan.

“Jika dalam tempoh ditetapkan tiada juga waris datang menuntut, mayat akan disempurnakan mengikut pegangan agama masing-masing,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HKL baru-baru ini.

Mohd. Shah memberitahu, kebanyakan mayat yang tidak dituntut merupakan kes kematian tanpa pengenalan diri, reput atau terbakar hingga sukar untuk membuat pengecaman.

“Pesakit yang meninggal di dalam wad tidak mempunyai masalah dituntut oleh keluarga. Bagaimanapun, kes tidak dituntut biasanya mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan polis seperti mayat yang dijumpai di dalam semak dan sebagainya,” jelasnya.

sumber- Kosmo

Jurunikah diserang asma, pengantin bernikah di hospital

Jurunikah diserang asma, pengantin bernikah di hospital
HARUN menikahkan pasangan pengantin Faris Marwan dengan Nurul Adina di Hospital Pakar Kuala Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang jurunikah, Harun Nuh yang dimasukkan ke Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini, kerana diserang asma tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai jurunikah apabila menikahkan sepasang pengantin ketika dia sedang dirawat di hospital tersebut petang semalam.

Harun, 85, yang berasal dari Bukit Tunggal di sini, dimasukkan ke KTS kira-kira pada pukul 12 tengah malam kelmarin dan dinasihatkan oleh doktor supaya berehat selama dua hari di hospital tersebut selepas dia diserang penyakit asma.

Menurut Harun, sebelum dimasukkan ke hospital, dia telah menyatakan persetujuan untuk menikahkan satu pasangan pada pukul 4 petang semalam di rumah pengantin perempuan di Kampung Tok Jembal di sini, namun malangnya dia yang diserang asma telah ditahan di wad.

"Justeru, saya telah memaklumkan kepada mereka untuk datang ke hospital untuk dinikahkan kerana masih belum mendapat pelepasan daripada pihak hospital," kata bapa kepada 12 orang anak itu ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, bakal pengantin tersebut, Faris Marwan Abdul Rahman, 22, dengan pasangannya, Nurul Adina Khaled, 25, bersetuju dengan cadangan itu dan telah datang ke hospital untuk melangsungkan upacara akad nikah.

Harun yang mempunyai pengalaman selama hampir 30 tahun sebagai jurunikah memberitahu, semalam merupakan pengalaman pertama dia menikahkan pasangan pengantin di hospital kerana sebelum ini majlis akad nikah di masjid, rumah atau surau.

"Ini merupakan satu pengalaman baharu yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat apabila terpaksa mengendalikan upacara akad nikah di hospital," katanya.

Jurunikah diserang asma, pengantin bernikah di hospital
HOSPITAL Pakar Kuala Terengganu.
Ketika majlis akad nikah dilangsungkan, Harun kelihatan masih menggunakan tiub yang disambungkan pada hidungnya bagi mendapatkan bantuan oksigen namun lafaz akad yang disebutnya lancar.

Dia yang merupakan bekas imam dan mengajar al-Quran di kampungnya turut melahirkan kesyukuran kerana majlis akad nikah tersebut dapat dilangsungkan dengan lancar.

Dalam majlis yang cukup sederhana itu, hanya dengan sekali lafaz pengantin lelaki, Faris Marwan sah bergelar suami kepada Nurul Adina.

sumber- Kosmo

Digigit buaya waktu buang air

Digigit buaya waktu buang air
PAIE dirawat di Hospital Umum Sarawak kerana cedera di punggung akibat digigit buaya di Sungai Santubong, Kuching semalam.
KUCHING – Kejadian serangan buaya di Sarawak berterusan apabila seorang lagi mangsa hampir dibaham reptilia ganas tersebut di Sungai Santubong, Pending Industrial Estate di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, seorang buruh binaan warga Indonesia yang dikenali sebagai Paie, 32, terpaksa bergelut selama satu minit dengan seekor buaya dipercayai daripada speses jejulong sebelum berjaya melepaskan diri.

Lebih malang, lelaki yang berasal dari Kepulauan Jawa itu dikatakan sedang mencangkung di tebing sungai untuk membuang air besar, namun belum sempat melepaskan ’hajat’, punggungnya telah digigit buaya sepanjang kira-kira dua meter.

Paie yang ditemui di Hospital Umum Sarawak memberitahu, sebelum kejadian, dia berseorangan turun ke tebing sungai berhampiran rumah kongsi untuk membuang air besar.

“Saya baru mencangkung dan tiba-tiba terasa ada sesuatu menerkam punggung saya dari arah belakang dengan begitu kasar sekali.

“Selepas menyedari ia seekor buaya, saya berpaut pada sebatang besi dan cuba meronta-ronta bagi melepaskan diri,” katanya.

Akibat serangan reptilia berkenaan, Paie mengalami kecederaan dan luka di punggung kanan dan rusuk sebelah kiri.

Digigit buaya waktu buang air
BUAYA jenis jejulong yang menyerang Paie ketika sedang membuang air besar di Sungai Santubong, Kuching semalam. - Gambar hiasan
Paie memberitahu, dia bernasib baik dapat berpaut pada batang besi di sebelahnya dan bertahan ketika cuba ditarik buaya ke dalam sungai.

Katanya, mungkin disebabkan rontaan dan pautan pada besi menyebabkan buaya tersebut mengalah dan melepaskan gigitan sebelum dia melompat ke daratan bagi menyelamatkan diri.

“Meskipun saya dapat menyelamatkan diri, luka akibat gigitan buaya menyebabkan saya tidak berdaya ekoran kehilangan banyak darah sebelum rebah.

sumber- Kosmo

Peraga kasut sejauh 2.819km

Peraga kasut sejauh 2.819km
GAMBAR menunjukkan seorang wanita memperagakan kasut di Pelabuhan Darling, Sydney semalam.
SYDNEY - Syarikat dari Scandinavia, ECCO mencipta rekod dunia apabila model-modelnya berjalan sejauh 2.812 kilometer (km) untuk memperagakan kasut di sekitar Pelabuhan Darling di sini.

Model-model itu memperagakan pelbagai jenis kasut keluaran syarikat tersebut.

Mereka mencipta rekod untuk kategori peragaan jarak paling jauh di dunia.

Rekod itu mengatasi 2.69km yang dibuat di Turki pada tahun 2011. 

sumber- AFP

10 orang ditembak di New York

10 orang ditembak di New York
SATU mayat ditutup dengan kain di luar bangunan Empire State di New York semalam.
NEW YORK - Dua maut dan lapan lagi cedera dalam kejadian tembakan di luar Bangunan Empire State di bandar raya ini semalam, kata polis.

Bangunan pencakar langit itu merupakan antara lokasi pelancongan popular di bandar raya ini.

Antara yang maut ialah lelaki yang melepaskan tembakan tersebut.

Menurut polis, lelaki itu dikenali sebagai Jeffrey Johnson, 53, bekas pekerja syarikat Hazan.

Seorang saksi pula berkata, lelaki bersenjata itu bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam.

Serangan itu berlaku pada waktu pagi di luar bangunan mercu tanda tersebut ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.

Stesen televisyen tempatan, NY1 melaporkan empat mangsa yang terkena tembakan tidak mengalami luka serius.

Punca kejadian masih belum diketahui.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menjelaskan, beberapa mangsa mungkin terkena tembakan peluru polis. 

sumber- Agensi

Bas terbalik akibat taufan Tembin

Bas terbalik akibat taufan Tembin
SEBUAH bas terbalik di sebatang jalan raya di daerah Pingtung, selatan Taiwan semalam. - AFP
TAIPEI - Beberapa buah bas dan kenderaan terbalik ekoran angin kencang yang dibawa taufan Tembin di sebatang jalan raya di daerah Pingtung, selatan Taiwan semalam.

Taufan itu menyebabkan sejumlah pokok tumbang, bumbung rumah ditiup angin dan ribuan penduduk dipindahkan.

Setakat ini tiada angka kecederaan dan kematian didedahkan pihak berkuasa. 

sumber-Agensi

Mahkamah putuskan Samsung tidak tiru iPhone

iphone vs samsung
GAMBAR menunjukkan iPhone 4S (kiri) dan telefonbimbit Galaxy keluaran Samsung.
SEOUL - Mahkamah Daerah Tengah Seoul semalam memutuskan syarikat Samsung tidak meniru telefon bimbit syarikat Apple dari Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, hakim di mahkamah itu memutuskan Samsung menceroboh teknologi Apple berhubung dengan skrin sentuh pada telefon bimbit.

Mahkamah tersebut mengarahkan sebahagian penjualan produk Apple termasuk komputer teblet iPad dan telefon bimbit daripada kedua-dua syarikat itu dihentikan.

Namun, keputusan itu tidak menjejaskan generasi terbaharu telefon bimbit keluaran Apple.

Keputusan itu hanya melibatkan pasaran di Korea Selatan.

Mahkamah mengarahkan Apple tidak menjual telefon iPhone 3GS, iPhone 4, iPad 1 dan iPad 2 di negara ini.

Menurut mahkamah, produk itu melanggar dua daripada lima paten Samsung.

Mahkamah juga mengarahkan setiap syarikat saling membayar ganti rugi.

Samsung diarah membayar Apple sebanyak 25 juta won (RM68,324).

Apple pula perlu membayar kepada Samsung sebanyak 40 juta won (RM109,335).

sumber - AP

Tiga maut jejambat runtuh di China

SEBUAH trak terbalik di jejambat yang runtuh.
SEBUAH trak terbalik di jejambat yang runtuh.
BEIJING - Tiga orang terbunuh dan lima lagi cedera apabila jejambat sebanyak lapan lorong runtuh di timur laut China semalam, sembilan bulan selepas siap dibina, lapor agensi berita China News Service.

Jejambat itu merupakan sebahagian daripada laluan ke sebuah lapangan terbang di bandar Harbin.

Ia dibuka pada November tahun lalu selepas dua tahun siap dibina dengan kos AS$300 juta (RM930.39 juta).

BEBERAPA buah kenderaan terhumban dari sebuah jejambat yang runtuh di Harbin semalam.
BEBERAPA buah kenderaan terhumban dari sebuah jejambat yang runtuh di Harbin semalam.
Dua orang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati kemudian.

Pihak berkuasa akan menyiasat reka bentuk dan ciri-ciri pembinaan semasa melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.

Ribuan orang memberi komen tentang runtuhan itu di laman Sina Weibo.

"Cuba bayangkan beberapa pegawai korup mengambil empat perlima daripada dana projek," kata seorang pengguna laman itu. 

sumber- AFP

Pembunuh kejam dipenjara 21 tahun

BREIVIK
BREIVIK
OSLO, Norway - Seorang pembunuh kejam, Anders Behring Breivik tersenyum angkuh apabila sebuah mahkamah di sini semalam mendapati dia waras semasa melakukan pembunuhan dan dihukum penjara selama 21 tahun.

Breivik membunuh 77 orang dalam kejadian tembakan dan serangan bom di Norway pada 22 Julai tahun lalu.

Ketika memasuki ruang mahkamah selama beberapa minit sebelum hukuman dijatuhkan, Breivik sempat menunjukkan tumbukannya menerusi tangan kanannya.

Breivik, 33, yang merupakan anak seorang diplomat didakwa melakukan kejadian itu kerana menentang imigrasi penduduk Muslim yang menyebabkan penduduk Eropah berpecah-belah. - Agensi

Temuduga untuk jadi calon isteri lelaki kaya

Temuduga untuk jadi calon isteri lelaki kaya
SEBAHAGIAN wanita berbual semasa mereka menunggu giliran untuk ditemu duga oleh dua kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di Beijing pada Ahad lalu.
BEIJING - Sejumlah wanita muda di China yang bergaya dengan pelbagai fesyen dan kasut duduk di atas bangku dan memegang dokumen mengandungi maklumat tentang berat badan serta ketinggian mereka.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 wanita yang menghadiri proses tapisan kendalian para kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di sini untuk menjadi 50 calon yang dibenarkan berkenalan dengan 32 lelaki kaya.

Lelaki kaya itu mungkin bakal menjadi suami mereka.

Seorang peserta wanita menyatakan, dia sanggup menangis di dalam sebuah kereta BMW daripada duduk di tempat duduk belakang basikal.

Terdapat juga seorang lagi peserta wanita yang mahu meminta wang sebanyak AS$31,000 (RM96,069) sebagai syarat untuk berjabat tangan dengan seorang lelaki.

Wanita-wanita itu perlu berumur 20 hingga 28 tahun, mempunyai ketinggian 165 sentimeter, cantik dan lemah lembut dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan kolej.

Pada Ahad lalu, wanita-wanita itu dinilai oleh pihak pengendali temu duga seperti bagaimana mereka mengendalikan tekanan dan apakah yang mereka mahu daripada seorang lelaki.

Kelab itu mengenakan syarat kepada para lelaki kaya yang mahu menyertai proses pencarian jodoh itu perlu mengesahkan kekayaan mereka dan membayar yuran sebanyak AS$31,000. 

sumber- AFP

Pertandingan muka terhodoh

muka perempuan paling hodoh
WAJAH hodoh yang dilakukan seorang peserta wanita.
BILBAO, Sepanyol - Sejumlah peserta menghadiri pertandingan muka terhodoh di sini kelmarin.

Pertandingan itu dikendalikan oleh kumpulan yang dikenali sebagai rakan-rakan konsert dan bar.

Ia diadakan sejak tahun 1978. 

sumber- Reuters