|
BAHAGIA... pasangan Paul dan Claire Chalwin bersama anak kembar tiga. |
KELAHIRAN pasangan kembar tiga seiras di Buckinghamshire, London, baru-baru ini mencatat keunikan tersendiri apabila persamaan itu hampir-hampir tidak pernah diketahui berlaku dalam sejarah manusia.
Secara perbandingan, kelahiran seumpama itu adalah satu dalam 200 juta.
Adik-beradik Thomas, Edward dan Harry Chalwin dilahirkan secara pembedahan Caesarian selepas 34 minggu berada di dalam rahim ibu mereka, Claire, 13 April lalu.
Ketika dilahirkan di Hospital Stoke Mandeville, berat badan mereka kira-kira 1.8 kilogram saja.
Untuk tiga minggu pertama, ketiga-tiga bayi terbabit terpaksa bergantung kepada tiub untuk mendapat bekalan susu.
Namun, selepas empat bulan, bayi terbabit kini berada di rumah ibu bapa mereka di High Wycombe. Berat badan mereka juga meningkat kepada 5.4 kilogram.
Menurut Claire, 33, pada peringkat awal dia terpaksa mewarnakan kuku setiap satu anaknya untuk membantu membezakan setiap bayi.
Claire yang juga bekas jururawat berkata, dia menggunakan kaedah calitan warna berbeza bagi setiap seorang anaknya seminggu sekali.
“Kini saya tidak ada masalah untuk membezakan mereka,” katanya.
Claire berkata, dia bersama suami, Paul, terdesak untuk mendapat anak kedua selepas dia keguguran, Jun tahun lalu. Sebelum ini, Claire dan Paul dikurniakan anak lelaki, William, yang lahir tiga tahun lalu.
Kata Claire, selepas keguguran, mereka mencuba lagi untuk mendapatkan adik kepada William.
“Apabila diberitahu bakal mendapat anak kembar tiga, kami sangat teruja,” katanya.
Kadar kelahiran kembar tiga tak seiras melalui kehamilan semula jadi adalah satu bagi setiap 4,000 manakala kelahiran kembar tidak seiras hampir-hampir tidak pernah diketahui.
Kata Claire, kedatangan Thomas, Edward dan Harry adalah anugerah yang sangat indah dalam hidupnya.
“Saya berasa seperti dirahmati,” katanya.
sumber- HMetro