Pages - Menu

Wednesday, October 31, 2012

Treler masuk rumah

Treler rempuh rumah

PAPAR: Dua beradik yang tidur di ruang tamu rumah datuk mereka nyaris maut apabila sebuah treler membawa muatan besi merempuh kediaman itu di Kampung Kawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, kedua-dua beradik berkenaan dikenali sebagai Gabriel Goldi, 4, dan adik perempuannya, Adigel Goldi, setahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

lori treler langgar rumah
REMUK...kepala treler muatan besi remuk teruk selepas merempuh rumah, semalam.
Menurut datuk mereka, James Majanau, 59, ketika kejadian dia berada di pekan Donggongon membeli kelengkapan rumah manakala dua cucunya berada di rumah bersama seorang pembantu.

“Saya dihubungi menantu mengatakan rumah dirempuh treler. Sebaik mendengar berita itu, saya bergegas pulang ke rumah.

“Sebaik tiba saya melihat sebuah lori treler muatan besi terperosok dalam rumah. Sejurus masuk ke dalam rumah, saya lega melihat cucu saya selamat bersama pembantu rumah.

sumber- HMetro

Enam lagi terkorban dalam sengketa dua desa

perang desa

JAKARTA: Insiden pergaduhan yang semakin buruk antara dua desa di Lampung Selatan meragut sekurang-kurangnya enam lagi nyawa semalam selepas pertempuran Ahad lalu menyebabkan tiga orang terkorban, lapor tempo.com.

Bagaimanapun, jurucakap Polis Lampung, Adjutan Komisioner Sulistyaningsih memberitahu agensi berita Antara bahawa tiada penambahan korban jiwa daripada pertempuran Ahad lalu. Selepas mendapati tiga penduduk kampung terbunuh dan 10 lagi cedera dalam pertempuran Ahad lalu, penduduk Kalianda di Balinuraga yang berang memutuskan membalas dendam melakukan serangan lebih besar ke Desa Agom.

Kira-kira 2,000 anggota polis dan tentera dikerah ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan, termasuk menembak gas pemedih mata.

Bagaimanapun, kumpulan penduduk yang bersenjatakan bom botol dan senjata tajam merempuh sekatan polis dan membakar kenderaan tentera. Langkah ketat keselamatan dikerah bagi mengelak konflik lebih buruk selepas insiden itu, kata Ketua Polis Lampung Selatan, Adjutan Komisioner Kanan Tatar Nugroho. 

sumber- tempo.com

Bom 10 kilogram ditemui

bom dijumpai

JAKARTA: Sebutir bom buatan sendiri seberat 10 kilogram ditemui di pondok sebuah ladang ketika serbuan polis dan tentera di Desa Tamanjeka, Masani, di Sulawesi Tengah pagi kelmarin.

Bom itu dibungkus dalam plastik. Serbuk letupan dan bateri 12 volt serta bahan peledak turut dirampas.

Pondok itu dimiliki seorang lelaki di sebuah desa yang terletak 2,100 meter di atas paras laut dan digelar penduduk tempatan dengan nama Gunung Biru. Jurucakap Polis Sulawesi Tengah, Adjutan Komisioner Soemarno mengesahkan penemuan bom itu.

“Ia dibuat untuk tujuan mempertahankan diri,” katanya.

Polis mensasarkan desa Tamanjeka selepas berlaku beberapa siri keganasan di Poso, termasuk kes pembunuhan dua anggota polis di Poso. Kawasan itu disyaki digunakan sebagai tempat bersembunyi dan kem latihan. 

sumber- Jakarta Post

Arpan bangga ada 25 jari

BHOPAL: Seorang budak lelaki berusia empat tahun menarik perhatian ramai apabila dia memiliki 25 jari, lapor media semalam.

Arpan Saxena, dari Bhopal, mengalami dua kecacatan genetik yang jarang berlaku.

Satu daripadanya dikenali sebagai Polydactyl yang menyebabkan jari tangan dan kakinya mempunyai jari tambahan. Arpan juga mengalami Syndactyly yang menyebabkan jari tangan dan kakinya bercantum.

Arpan Saxena
KEADAAN jari tangan Arpan (gambar atas) dan kakinya.
Dengan 13 jari tangan dan 12 jari kaki, Arpan seolah-olah selebriti di Bhopal apabila gambarnya terpampang di merata-rata tempat di bandar itu. Kata Arpan, dia seronok apabila ramai orang melihat dan mengambil gambarnya.

“Cuma, saya tak seronok kerana tidak boleh banyak berjalan disebabkan keadaan kaki ini menghalang saya berkasut,” katanya. Bapanya, Anil Saxena, 35, seorang penarik beca.

Kata Anil, ketika lahir, Arpan ada 26 jari dan semua orang terkejut dengan keadaan itu. “Saya tak pernah dengar ada orang dilahirkan dengan jari sebegitu banyak,” katanya.

Ekoran satu kemalangan ketika Arpan berusia dua tahun, satu daripada jarinya ‘putus.’ Kata Anil, Arpan sedang bermain apabila jarinya tercedera sebelum ia seolah-olah tertanggal.

Isteri Anil, Tanu, 30, berkata dia enggan membenarkan anaknya menjalani pembedahan bagi membuang lebihan jari itu walaupun banyak pihak menawarkan bantuan. “Semua ibu bapa mahu dikenali kerana anak mereka.

“Arpan kini terkenal di seluruh Bhopal dan kami mahu ia kekal begitu,” katanya.

Menurut Tanu, dia juga bimbang pembedahan akan memberi kesan kepada anaknya. Namun, kelebihan itu tidak membawa Arpan mencatat nama dalam rekod dunia. Pemegang rekod dunia bagi jari terbanyak ialah seorang lagi budak India, Akshat Saxena, yang memiliki 34 jari. 

sumber- TS

Ugut gunting telinga anak saudara

KOTA BHARU – Padah ugut mengunting telinga anak saudara, seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly terhadap Abdul Zaman Ismail, 29, dari Kampung Limau Kasturi, Gua Musang.

potong telinga
Tertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam.
Tertuduh sebelum itu mengaku mengugut Muhammad Zuhairi Nizar Ghazali, 18, dengan niat mendatangkan kecederaan dan kematian kepada mangsa di alamat Kampun Kubuk Pukol, Binjai di sini, pada jam 1.30 petang, 25 Oktober lalu.

Kejadian berpunca selepas permintaan tertuduh yang meminta duit daripada ibunya tidak diendahkan isi rumah termasuk mangsa yang berada di sana ketika itu.

Tertuduh yang sedang marah mengacukan gunting sambil memegang kepala Muhammad Zuhairi dan mengugut untuk mengerat telinga remaja terbabit.

Anak saudaranya yang tidak berpuas hati membuat laporan di balai polis sehingga membawa kepada penahanan tertuduh sehari selepas kejadian.

Hukuman terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

sumber- Sinar

Langgar lari: Pemandu dibelasah

IPOH – Seorang pemandu kereta berusia 40-an dibelasah orang ramai selepas merempuh enam penunggang dan pembonceng motosikal ketika cuba melarikan diri di persimpangan Jalan Mustafa Al-Bakri di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Camry itu dikatakan memecut kenderaan dari lokasi kejadian, namun dikejar lebih 10 penunggang motosikal yang melihat kejadian itu.

Mangsa kejadian, Norimi Mohamad, 30, berkata, kereta itu dipandu laju ketika keluar dari simpang berhampiran sebaik dia dan dua motosikal lain melepasi lampu isyarat.

langgar lari
Wati menenangkan anaknya, Norfan yang menangis kesakitan selepas dirempuh kereta yang dipandu lelaki mabuk, kelmarin.
“Saya melihat dua perempuan dan seorang lelaki di tepi saya terpelanting ketika dirempuh sebelum jatuh tertiarap di atas jalan. Motosikal mereka jenis Honda EX5 dan Yamaha dinaiki turut terseret lebih tujuh meter,” katanya.

Menurutnya, kereta itu terus memandu laju sambil buat aksi drift dan hampir menggilis mangsa yang terbaring di atas jalan.

“Saya cuba bangun, namun terpaksa merangkak ke bahu jalan akibat cedera di lutut dan pergelangan kaki kiri. Isteri, Wati dan anak, Norfan (5 tahun) cedera di siku dan tangan,” katanya.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 20, berkata, penunggang motosikal yang menyaksikan kejadian langgar lari itu bertindak mengejar kereta berkenaan.

Katanya, lelaki itu terpaksa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah sebelum dikepung oleh kumpulan penunggang motosikal.

“Dia keluar dalam keadaan mabuk dan dibelasah oleh penunggang motosikal yang geram dengan tindakan lelaki itu. Lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota peronda polis sebelum dibawa ke Balai Polis Ipoh,” katanya.

Dua gadis dan seorang lelaki berusia awal 20-an yang cedera dirempuh itu segera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan mendapati kereta yang dipandu suspek tidak sempat berhenti ketika keluar simpang selepas makan malam.

“Dia yang berasal dari Puchong, Selangor dalam perjalanan menuju ke sebuah hotel dikatakan terlanggar seorang mangsa bernama Mohd Ismawi Ismail, 32.

“Manakala, sebuah lagi motosikal tidak sempat brek terlanggar kereta menyebabkan mangsa cedera di tangan dan kaki. Butiran sebuah lagi motosikal masih tidak diketahui,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada tangkapan dibuat, namun polis sudah merakam percakapan individu itu sebelum tindakan lanjut diambil di bawah Seksyen 3 (2) (b) Akta Pengangkutan Jalan.

sumber- Sinar

Objek misteri ganggu penduduk

KOTA BHARU - Kemunculan objek misteri yang dipercayai datang dari udara meresahkan sebuah keluarga di Kampung Kemumin, di sini.

Ilhami Amir Ismail, 32, berkata, objek mengeluarkan api kemerahan berbentuk payung terjun mini itu jatuh menimpa bumbung rumahnya dan hampir memusnahkan rumah yang didiami sejak beberapa tahun lalu.

“Ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya di tempat kerja sebelum dimaklumkan isteri tentang kejadian aneh itu.

Objek misteri
Objek misteri yang sempat dirakam Ilhami.
“Saya yang terkejut dan kebingungan bergegas pulang sebelum mendapati bahagian bumbung hangus,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Sinar Harian di sini, kelmarin.

Ilhami berkata, objek dipercayai terdiri daripada besi dan gentian kaca kabel tahan panas yang memungkinkan rumahnya hangus jika lambat bertindak.

“Nasib baik juga isteri dan anak-anak berada di rumah, jika tidak, mungkin kami kehilangan harta paling bernilai, sedangkan ia kesilapan dan kecuaian orang lain,” katanya.

Menurutnya, dia berharap akan ada pihak-pihak tertentu tampil bertanggungjawab kerana jika diperhatikan objek tersebut dibuat dengan ciri-ciri berteknologi.

“Apa yang diharapkan pihak terlibat tampil dan memberi penjelasan serta bertanggungjawab di atas kejadian di luar jangkaan itu, selain menanggung kerugian yang terpaksa dialami kesan daripadanya,” katanya.

sumber- Sinar

Google translate yang nakal

google translate buat kelakar

Jika diterjemahkan perkataan Makanan dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris menggunakan google translate, ianya membawa maksud Food. Tiada apa yang pelik disitu kerana jika dirujuk pada kamus dewan pun tetap membawa maksud yang sama. Namun, apakah yang akan terjadi jika perkataan Makanan tersebut dikalihkan pada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu?


google translate buat lawak

Jangan terkejut jika terjemahan perkataan Makanan bermaksud Samy Vellu. Siapalah yang nakal sangat buat kerja macam ni? Apa kena mengena makanan dengan Samy Vellu?

Polis China gigit chopstick untuk belajar senyum

polis gigit chopstick

BEIJING: Polis China dikenali sebagai antara pasukan keselamatan paling terlatih dalam dunia.

Disebabkan kesukaran dan cabaran dihadapi dalam latihan itu, anggota polis terbabit mungkin sukar untuk tersenyum.

Bagi mengatasinya, mereka diajar bagaimana untuk mempamerkan senyuman kepada orang ramai. Justeru, pasukan polis di Dalian di wilayah Liaoning baru-baru ini mengadakan kursus khas bagi mengajar anggota mereka teknik tersenyum yang betul.

Untuk mencapai matlamat itu, peserta diberi sebatang penyepit makanan dan mereka dikehendaki menggigitnya sambil tersenyum.

Menurut jurucakap polis Liaoning, kurus itu diadakan untuk mendedahkan kakitangan mereka kepada “senyuman seragam.

“Kursus ini juga dapat meningkatkan kemahiran anggota polis di wilayah Liaoning ketika mereka berurusan dengan orang ramai supaya nampak lebih mesra,” katanya. 

sumber- DM

Lamunan nak kahwin

kena tipu dengan jantan

KUALA LUMPUR: Cinta mendalam, apatah lagi selepas dijanji untuk dijadikan isteri menyebabkan seorang wanita kerugian RM40,000 selepas diperdaya teman lelaki yang baru dikenalinya dalam tempoh sebulan.

Mangsa yang berusia 29 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada penghujung Julai lalu dan bermula Ogos hingga September lalu, dia memohon lima pinjaman peribadi daripada bank serta syarikat wang berlesen untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada teman lelakinya.

Sumber polis berkata, selain wang tunai, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta turut menyerahkan beberapa barangan berharga termasuk sebuah motosikal kepada lelaki berusia 30-an itu.

“Selepas menerima wang dan pelbagai barangan yang keseluruhannya bernilai RM40,000, suspek menghilangkan diri. Menyedari dia ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya, Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat mangsa memberitahu suspek berjanji untuk mengahwininya menyebabkan dia percaya lelaki terbabit menyintainya.

sumber- HMetro

Kreatif! Keranda dilengkapi sistem karaoke

MANILA - Sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke dihasilkan oleh beberapa pekerja di sebuah kilang di wilayah Pampanga, utara bandar raya ini semalam.

Pemilik kilang itu, Robert Nogoy mengeluarkan keranda tersebut sempena sambutan Hari Halloween.

karaoke pelik
SEORANG pekerja menguji sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke di kilang milik Nogoy di wilayah Pampanga semalam.
Nogoy menggantikan bahagian dalam keranda itu dengan sistem karaoke bagi memberi kejutan kepada para tetamu parti Halloween.

Para tetamu parti Halloween kerap memakai pakaian seperti ahli sihir dan hantu.

sumber- Agensi

Jual Udara Segar Dalam Tin

China sememangnya dikenali dengan masalah pencemaran udaranya. Dalam masa yang sama, pemimpin di negara tersebut hanya menutup mata tanpa mengambil sebarang tindakan. Seorang jutawan China, Chen Guangbiao mempunyai caranya tersendiri.

Udara Segar Dalam Tin

Lelaki yang lebih mesra dipanggil  'Brother Biao' ini menjual udara segar dalam tin dengan harga USD 0.80. Ianya dijenamakan sebagai "Chen Guangbiao: Nice Guy" lalu dipasarkan di beberapa wilayah China seperti Jinggang Mountain, Provinsi Jiangxi dan juga beberapa daerah minoriti Taiwan. Udara segar yang ditinkan ini berasal dari pelbagai wilayah di China dan juga Taiwan.

"Pengguna hanya perlu membuka tin, mendekatkan pada hidung, dan menghirup udara segar yang terdapat dalam tin tersebut," katanya.

Biao menjelaskan bahawa di dalam tin tersebut terdapat chip yang akan menutup ketika ion oksigen negatif mencapai jumlah maksimum. Menurutnya, udara di dalam tin itu juga tidak mudah keluar kerana telah dipadatkan.

Walaupun agak tidak masuk akal, Biao menyatakan dia yakin produknya ini akan berjaya dipasaran. 100,000 udara yang telah ditinkan mula dipasarkan dan akan ditambah dari masa ke semasa.

Sebahagian dari hasil penjualannya akan disumbangkan kepada ketenteraan China yang ketika ini sedang mempertahankan Pulau Diayou.

Chen Guangbiao: Nice Guy

Biao turut berjanji jika pembeli tidak berpuas hati dengan produknya, mereka boleh menyimpan tin tersebut. Biao akan membelinya semula setelah genap 10 tahun dengan harga USD7 untuk setiap tin.

Pesawat lama dijadikan tadika

RUSTAVI, Georgia - Pihak pengurusan sebuah tadika membeli sebuah pesawat lama, Yakovlev Yak-42 di bandar ini.

Pesawat itu diubah suai untuk dijadikan sebuah tadika yang mempunyai 15 kanak-kanak.

tadika yang menarik
SEBAHAGIAN kanak-kanak yang belajar di dalam pesawat Yakovlev Yak-42.
Menurut Reaktor Institut Hubungan Sosial Ukraine-Georgia, Gari Chapidze, pesawat kecil tersebut akan menjadikan kanak-kanak itu berasa seronok untuk belajar di tadika.

Chapidze berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bermain dengan menekan 1,500 butang di kokpit pesawat berkenaan.

Institut itu menguruskan pentadbiran tadika tersebut.

Pihak institut berkenaan mengenakan bayaran sebanyak 70 euro (RM276.72) sebulan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Pesawat itu dibina syarikat Saratov Aviation Plant, Rusia. 

sumber- Agensi

Ngeri! Tangan hancur tersepit mesin

KUCHING - Malang menimpa seorang pekerja kilang papan apabila tangan kirinya hancur selepas tersepit mesin pemotong kayu di Sejingkat di sini semalam.

Tangan hancur tersepit mesin
SEORANG pekerja kilang papan tidak sedarkan diri selepas cedera parah apabila tangan kirinya hancur tersepit pada mesin pemotong papan di Sejingkat, Kuching semalam.
Kejadian pukul 10 pagi itu berlaku apabila pergelangan tangan pemuda yang belum dikenal pasti identitinya itu tersangkut pada mesin berkenaan ketika sedang mengendalikan alat tersebut bersendirian.

Sumber memberitahu, kejadian itu hanya disedari pekerja lain selepas mendengar jeritan mangsa.

"Salah seorang pekerja kilang kemudian bertindak menutup suis mesin pemotong itu.

"Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Umum Sarawak selepas tangannya dapat dikeluarkan beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, mangsa tinggal di asrama kilang tersebut kini berada dalam keadaan stabil walaupun kecederaan yang dialaminya agak serius.

sumber- Kosmo

Bieber, Gomez berpisah?

LOS ANGELES - Penyanyi pop sensasi remaja, Justin Bieber dilaporkan telah berpisah dengan kekasihnya, aktres Selena Gomez.

Perkara itu timbul selepas Bieber menyiarkan gambarnya di laman sosial Twitter dalam keadaan sedih berserta keterangan gambar yang tertulis ‘Lingse’.

Selena Gomez hot
Selena Gomez
Beberapa pihak berpendapat, perkataan itu membawa maksud Single atau kembali bersendirian.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 18 tahun itu kemudiannya memadam gambar tersebut dan menyiarkan gambar lain.

Dalam pada itu, Gomez dilaporkan tidak aktif dalam Twitternya sejak 23 Oktober lalu.

Aktres itu kini sibuk menjalani penggambaran siri televisyen edisi khas Wizards of Waverly Place, manakala Bieber sedang mengadakan siri konsert jelajahnya.

Pasangan tersebut bertemu buat kali pertama pada Februari 2011 dan sejak itu mereka digelar sebagai pasangan selebriti remaja paling secocok di Hollywood.

sumber- AGENSI