Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Friday, July 20, 2012

3 beradik lelaki mempunyai payudara seakan wanita

18SX: Kisah Sedih Dari Dominica, Tiga Beradik Lelaki Dihina Kerana Ada 'Payudara'

Mereka tidak minta dilahirkan begini, namun takdir menentukan ketiga-tiga beradik lelaki dari Dominica ini dikesan mempunyai ketidakstabilan hormon dalam tubuh badan mereka atau lebih dikenali dengan Gynecomastia.

Kesannya, kesemua mereka mempunyai payudara seperti seorang wanita.

Dek kerana fizikal mereka yang dikatakan aneh dan ganjil dari lelaki-lelaki lain, mereka sering dipukul, diganggu dan diejek oleh masyarakat sekeliling.

Namun, kini semuanya berubah apabila ‘payudara’ mereka telah pun dibuang melalui proses pembedahan di salah sebuah hospital di sana.


Gynecomastia atau Gynaecomastia adalah perkembangan tidak normal di mana kelenjar susu di bahagian payudara kaum lelaki membesar dan menyebabkan mereka mempunyai bentuk fizikal seperti wanita.

Keganjilan mempunyai payudara atau mempunyai hormon ini adalah mungkin disebabkan oleh keturunan atau pun memiliki hormon wanita yang diwarisi dari si ibu.

Golongan lelaki yang terdedah untuk mempunyai hormon tidak stabil ini adalah remaja dan golongan tua apabila mereka mengalami gangguan metabolisma.

Bagaimanapun, nisbah untuk mengalami ketidakstabilan hormon ini bukanlah disebabkan proses kegemukan atau obesiti bagi sesetengah individu.

Tetapi, pakar-pakar kajian masih lagi melakukan kajian mengenai proses hormon yang ganjil ini.

Pakar-pakar telah pun mengeluarkan kajian mereka dan mengatakan punca gynecomastia masih lagi tidak dapat disahihkan kepada satu-satu sebab walaupun ia disebabkan oleh kadar hormon sex hormone-binding globulin (SHBG) yang tinggi dalam tubuh badan kaum lelaki.

sumber- mynewshub

Jam komputer ganti jadual selaman


KEMAJUAN teknologi telah membolehkan komputer diaplikasikan hampir di mana-mana sahaja dan reka bentuk tidak lagi terhad pada komputer peribadi dan riba.

Baik dalam kereta, di daratan, dalam kapal terbang ketika penerbangan bahkan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), aplikasi komputer sememangnya cukup penting.

Bagi penyelam skuba, komputer selam merupakan gajet yang diperlukan saat menyelam. Bagi mereka yang aktif menyelam scuba, komputer selam merupakan gajet wajib yang perlu dipakai setiap kali turun ke dasar laut.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah fungsi komputer selam berbentuk jam tangan itu? Alat tersebut mempunyai beberapa fungsi penting seperti paparan waktu, altitud, tempoh masa di dalam laut dan pemberitahuan tentang hentian keselamatan.

Sesetengah model turut menawarkan pilihan pemancar (transmitter) yang boleh memantau tekanan tangki skuba serta baki udara yang tinggal secara dinamik mengikut kadar penggunaan udara semasa menyelam.

Persoalannya, mengapa kesemua maklumat itu penting ketika aktiviti menyelam skuba?

Dua elemen terpenting dalam aktiviti tersebut ialah kedalaman dan tempoh masa menyelam.

WALAUPUN mahal, Dive Comp merupakan satu pelaburan yang berbaloi kepada penyelam skuba.
Ia penting bagi mengelakkan penyelam mengalami penyakit dekompresi

atau decompression sickness (DCS).

Gangguan DCS disifatkan sakit sendi, lesi kulit, kesukaran bernafas dan tanda-tanda neurologik dialami oleh juruterbang pada altitud yang tinggi atau mereka yang bernafas dengan udara termampat.

Justeru, ketika mengikuti kursus skuba, penyelam diajar tentang kepentingan memahami dan menggunakan jadual selaman sebagai rujukan.

Untuk keselamatan

Jadual selaman digunakan bagi menentukan tempoh penyelam boleh berada di dalam air pada kedalaman tertentu untuk selaman pertama dan selaman yang berikutnya.

Sebagai seorang penyelam skuba, penulis sendiri sukar memahami jadual tersebut kerana ia turut melibatkan pengiraan.

Malah, bagi mereka yang tidak memahi jadual berkenaan, pasti sukar untuk merancang aktiviti selaman mereka.

Di sinilah letaknya kepentingan komputer selam atau lebih popular dengan panggilan Dive Comp. Ia mengambil alih semua tugas pengiraan secara dinamik berdasarkan kedalaman dan tempoh penyelam berada pada satu-satu kedalaman.

Ia turut mengingatkan penyelam dengan mengeluarkan bunyi sebagai tanda hentian keselamatan atau Safety Stop.

Safety Stop perlu dilakukan pada kedalaman tertentu.

DIVE COMP dapat memberikan data seperti kedalaman dan waktu menyelam semula dengan mudah.
Sebaik sahaja sesi selaman selesai, Dive Comp akan memberitahu selang waktu permukaan (surface interval) yang diperlukan sebelum selaman berikutnya boleh dilakukan.

Kegagalan mematuhi aturan itu boleh mengakibatkan penyelam mengalami simptom penyakit dekompresi termasuk nitrogen narkosis yang akan menyebabkan penyelam berasa khayal dan mempunyai potensi untuk melakukan perkara-perkara yang membahayakan diri sendiri.

Satu lagi kegunaan komputer selam adalah sebagai sumber rujukan penyelam bagi mengisi butiran selaman ke dalam buku log mereka.

Para penyelam tidak perlu bimbang lagi kerana maklumat direkodkan secara elektronik dan mereka hanya perlu menyalin semula maklumat yang diperlukan berbanding kaedah tradisional iaitu wajib menghafal semua butiran.

Terdapat pelbagai jenama dan model yang ditawarkan di pasaran. Penyelam boleh memilih pelbagai jenama popular seperti Suunto, Oceanic, Tusa, Cressi dan Mares.

Sungguhpun harganya agak tinggi sebagai contoh jenama Suuto sekitar RM1,587 hingga RM2,222, tetapi ia satu pelaburan yang amat berharga kerana mungkin boleh menyelamatkan nyawa anda suatu hari nanti!

sumber- Kosmo

Filem Terbaru Namewee Mengenai Pengalaman Di Kedai Kopi Datuknya

Hantu Gangster
Namewee berharap penonton dapat melihat mesej tersirat di sebalik elemen gangsterisme dalam filem terbarunya, Hantu Gangster.
PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon kontroversi Namewee berkata tema gengsterisme dalam filem terbarunya Hantu Gangster bukan bertujuan memartabatkan elemen negatif itu tetapi sebahagian besarnya adalah berdasarkan pengalaman ketika datuknya menguruskan kedai kopi di Muar, Johor.

Ia juga ada kaitan dengan mesej perpaduan kaum di negara ini yang ingin ditonjolkannya.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 29, berkata tema tersebut tidak buruk dan teruk seperti pandangan umum jika ia dinilai pada sisi berbeza kerana ia adalah simbolik kepada kelangsungan hidup manusia.

“Saya melihat gengsterisme sebagai asas kelangsungan hidup manusia. Saya sedar selama ini gengsterisme sinonim dengan elemen negatif dan tiada peradaban tetapi ia mempunyai sisi yang baik sebenarnya.

“Pada asalnya, konsep gengsterisme bertujuan melindungi kaum atau kumpulan tertentu tetapi kini ia menjadi lain kerana tujuan dan niat asal itu sudah diubahsuai kepada pergaduhan, buli dan pembunuhan,” katanya ketika ditemui pada tayangan previu filem itu di TGV Sunway Pyramid di sini.

Namewee berkata, dia mendapat ilham untuk mengetengahkan tema berkenaan berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan datuknya di Muar, Johor.

“Saya dapat ilham filem ini daripada kisah sebenar hidup datuk saya. Ketika muda dulu, dia menjalankan perniagaan kedai kopi yang sering dikunjungi kumpulan-kumpulan gengster.

“Menurut cerita datuk, kumpulan-kumpulan gengster ini wujud bagi melindungi kaum dan penduduk dan bukannya untuk menunjukkan kuasa atau bertindak jahat.

“Dalam filem ini, elemen itu hanyalah metafora atau simbolik kerana di sebaliknya saya mahu paparkan mesej perpaduan antara kaum,” katanya.

Hantu Gangster
Namewee bersama barisan pelakon (dari kiri) Abu Bakar Assiddiq, Mizz Nina, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Farid Kamil, penerbit Fred Chong, Amber Chia dan Dennis Lau.
Ditanya mengenai tekanan dan harapan terhadap filem kedua arahannya itu, Namewee berkata dia tidak peduli mengenai reaksi dan persepsi masyarakat tetapi berharap filem ini diterima baik apabila ditayangkan bermula 9 Ogos depan.

“Saya sudah tidak kisah dengan apa juga persepsi orang. Sejak kontroversi yang tercetus sebelum ini, saya seperti sudah terbiasa dengan reaksi orang pada saya.

“Apa yang saya harapkan, masyarakat memahami mesej yang diselitkan dalam filem ini,” katanya.

Hantu Gangster yang berlatarkan bandar Klang, Selangor pada era 1990-an mengisahkan perbalahan tiga kumpulan samseng daripada tiga kaum berbeza.

Tiga kumpulan ini yang hidup harmoni dan saling menghormati pada zaman bapa mereka bertukar menjadi musuh pada era anak masing-masing kerana konflik dan kepentingan peribadi.

Selain Namewee sendiri, filem ini turut dibintangi Farid Kamil, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk David Arumugam.

Ia terbitan Prodigee Media Entertainment dan bakal ditayangkan pada 9 Ogos depan bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya.

Filem pertamanya, Nasi Lemak 2.0 yang ditayangkan pada 8 September 2011 berjaya mencatat kutipan sebanyak RM7 juta.

Sebelum ini, Namewee menimbulkan kontroversi apabila dikatakan menghina negara melalui lagu Negaraku. Kes itu bagaimanapun ditutup selepas pihak polis berpuas hati dengan hasil soal siasat yang dijalankan.

sumber- MStar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...