Monday, July 9, 2012

Ikan todak langgar Singapura

singapura dilanggar todak
TABIAT ikan todak yang suka melompat secara tiba-tiba pernah menyebabkan kematian nelayan.


CERITA Singapura atau dahulunya dikenali sebagai Temasek diserang sekumpulan ikan todak sememangnya cukup terkenal.

Kisah ini terdapat dalam teks Hikayat Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Karakter yang begitu dikenali ialah seorang budak lelaki yang pintar bernama Hang Nadim yang berjaya menyelamatkan negaranya daripada serangan ikan todak dengan cetusan ideanya.

Budak itu memberikan pendapatnya kepada Raja Temasik iaitu Sri Maharaja supaya menggunakan batang pisang sebagai ganti benteng manusia yang telah menyaksikan banyak kematian.

Hasilnya, batang pokok buah-buahan itu menyebabkan muncung spesies ikan laut dalam itu tersekat sebelum penduduk kampung bertindak mencincangnya dengan parang.

Versi kisah ini agak simbolik. Tindakan Sri Maharaja yang didakwa menghukum bunuh seorang ulama, Tun Jana Khatib yang cuba menyampaikan ajaran Islam di kepulauan itu menyebabkan malapetaka berlaku di kawasan pemerintahannya.

Tun Jana Khatib sebelum meninggal dunia memberi amaran akan berlaku bencana di Temasek kerana dirinya telah dizalimi. Malah, terdapat sisi misteri apabila jenazah ulama itu ghaib secara tiba-tiba sebelum sampai di kawasan perkuburan.

Anehnya, mayatnya ditemui penduduk kampung Pulau Langkawi, Kedah yang jaraknya beratus-ratus kilometer dari Temasek. Beberapa hari selepas peristiwa itu, beribu-ribu ekor ikan todak menyerang Singapura.

Ada beberapa pendapat yang mengatakan Tanjung Pagar, Singapura merupakan lokasi serangan itu.

Dikatakan perkataan ‘pagar’ itu diambil sempena kisah pembinaan pagar tembok daripada batang pisang itu bagi menghalang serangan ikan itu.

Kerana kebijaksaannya, Hang Nadim menerima pujian daripada Sri Maharaja termasuk diberikan anugerah kerana jasanya.

Namun, kepintaran itu jugalah yang menjadi punca nyawanya berakhir.

Kerana sifat dengki dan ingin menjaga status quo, terdapat segelintir pembesar yang tidak berpuas hati terhadap Hang Nadim.

Serangan

Akhirnya, mereka bersepakat menahan budak malang itu sebelum mencampakkannya ke dalam laut sehingga mati lemas.

Singapura dilanggar todak
TANJUNG Pagar dikatakan lokasi berlakunya serangan ikan todak di Singapura.
Ironi, Hang Nadim juga terkenal di Indonesia sehingga Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam didakwa dinamakan sempena nama budak pintar itu.

Pakar sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim memberitahu, walaupun ramai yang menganggap kisah itu sebagai mitos, ia sarat dengan unsur pengajaran.

“Cuma kisah ini memerlukan kajian yang lebih mendalam termasuk kajian arkeologi di lokasi kejadian kerana sumber kini hanya berdasarkan bukti bertulis tanpa gambar,” katanya kepada Jurnal.

Nik Safiah berkata, beliau tidak pasti sama ada betulkah kejadian itu berlaku di Tanjung Pagar.

“Mungkin ia berlaku di situ tetapi yang lebih penting ia penuh dengan unsur pengajaran iaitu golongan intelektual berperanan penting dalam memajukan sesebuah negara.

“Jika sebuah negara kehilangan atau tidak menghargai golongan ini, lama-kelamaan negara itu akan musnah walaupun ia pernah menjadi empayar besar serta mempunyai sumber alam yang banyak,” ceritanya.

Katanya, tidak lama kemudian selepas peristiwa serangan ikan todak itu, empayar Temasek lenyap sebelum digantikan dengan Kerajaan Melayu Melaka.

Bagi seorang pakar ikan, Affendi Yang Amri, ikan todak tidak bergerak secara berkumpulan berbanding spesies ikan laut lain.

“Ikan ini lebih bersifat menyendiri selain bergerak dalam radius beberapa meter daripada pasangannya.

“Sifat ikan ini sebenarnya tidak menyerang manusia. Mungkin ia menyerang apabila dikejar ikan besar yang lain.

“Bagaimanapun, tabiat melompat ikan ini yang agak membahayakan terutamanya kepada nelayan,” katanya.
Bagaimana pula dengan rasa dagingnya? Affendi memberitahu, dagingnya enak seperti ikan tongkol tetapi ramai yang tidak mengetahuinya.


sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...