Monday, July 9, 2012

Tiga beranak bungkus ganja ditangkap

GEORGETOWN: Pakatan jahat anak-beranak yang bersekongkol mengedar dadah berakhir apabila tiga sekeluarga ditahan ketika leka membungkus ganja di rumah mereka di sebuah flet di Ayer Itam, di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, sepasang suami isteri berusia lingkungan 40-an ditahan bersama anak lelaki mereka berusia 18 tahun.

Menurut sumber, ketika serbuan tiga sekeluarga berkenaan sedang sibuk membungkus ganja yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan ini.

“Siasatan awal mendapati pasangan berkenaan bersekongkol mengajar anak mereka membabitkan diri melakukan aktiviti jenayah berkenaan bagi mendapatkan wang mudah.

“Selain itu, anak lelaki mereka juga ditugaskan sebagai ‘pegawai pemasaran’ dengan menyasarkan golongan remaja sebagai pelanggan untuk membeli bekalan ganja terbabit,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati keluarga terbabit baru beberapa bulan menjalankan aktiviti berkenaan dan polis melakukan serbuan hasil intipan dan juga maklumat daripada orang awam.

“Polis tidak menolak kemungkinan keluarga ini bekerja dengan sindiket dadah tertentu atau mereka mungkin melakukan kegiatan ini secara persendirian.



“Hasil pemeriksaan awal ujian air kencing mendapati suspek lelaki yang juga ketua keluarga berkenaan positif dadah dan setakat ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes terbabit,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tiga kilogram ganja, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah seperti alat penimbang, gunting dan juga bungkusan beg.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.


sumber- Metro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...