Saturday, July 7, 2012

Misteri debu di sekeliling bintang hilang

gambar bintang
LAKARAN artis menunjukkan sejumlah debu mengelilingi bintang TYC 8241 2652.
WASHINGTON - Beberapa saintis terkejut dan hairan apabila mereka menyaksikan sejumlah debu kosmik yang bersinar di sekeliling sebuah bintang didapati telah hilang.

Menurut salah seorang saintis itu, Ben Zuckerman, debu kosmik yang mengelilingi bintang biasanya akan membentuk planet berbatu-batan.

"Kewujudan debu kosmik berdekatan sebuah bintang menandakan terdapat proses pembentukan planet. Namun, debu itu hilang dengan tiba-tiba," katanya.

Bercakap menerusi telefon dari Universiti California-Los Angeles, Zuckerman berkata, ahli astronomi biasa melihat peristiwa di alam semesta yang berlaku lebih beberapa juta atau bilion tahun dahulu.

Justeru, katanya, adalah pelik untuk melihat debu itu hilang dalam tempoh kurang tiga tahun atau bersamaan sekelip mata dalam konteks ilmu astronomi.

Penemuan tersebut disiarkan dalam jurnal Nature kelmarin.


Terdiri daripada bahan panas, debu angkasa lepas itu boleh dilihat dengan menggunakan teleskop yang memiliki fungsi cahaya infra merah.

Debu itu pada awalnya ditemui pada tahun 1983 oleh Satelit Astronomi Infra Merah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan di sekitar sebuah bintang muda, TYC 8241 2652.

Lingkaran tersebut bersinar selama 25 tahun sebelum hilang dalam tempoh dua setengah tahun.

Bintang TYC 8241 2652 berada sekitar 450 juta tahun cahaya dari Bumi ke arah gugusan bintang Centaurus.

Satu tahun cahaya bersamaan 10 trilion kilometer atau jarak perjalanan cahaya selama satu tahun.

sumber-Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...