PEMBANTU Perawatan Kesihatan HKL, Mazlan Mohd. Amin sedang menguruskan jenazah yang tidak dituntut oleh waris sebelum dikebumikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di HKL baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR – Sebanyak 97 mayat dengan 41 daripadanya beragama Islam terbiar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini selepas tidak dituntut oleh keluarga atau waris masing-masing sepanjang tahun lalu.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2010 apabila terdapat sebanyak 72 mayat tidak dituntut di hospital itu.
Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood (gambar kecil) berkata, peningkatan jumlah mayat yang tidak dituntut itu bagaimanapun satu fenomena biasa berikutan pertambahan jumlah penduduk.
Katanya, bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini, kira-kira 50 hingga 60 mayat tidak dituntut selepas dua minggu kematian didaftarkan.
“Jika dalam tempoh ditetapkan tiada juga waris datang menuntut, mayat akan disempurnakan mengikut pegangan agama masing-masing,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HKL baru-baru ini.
Mohd. Shah memberitahu, kebanyakan mayat yang tidak dituntut merupakan kes kematian tanpa pengenalan diri, reput atau terbakar hingga sukar untuk membuat pengecaman.
“Pesakit yang meninggal di dalam wad tidak mempunyai masalah dituntut oleh keluarga. Bagaimanapun, kes tidak dituntut biasanya mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan polis seperti mayat yang dijumpai di dalam semak dan sebagainya,” jelasnya.
sumber- Kosmo
0 comments:
Post a Comment