Sarojh |
BUTTERWORTH - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal ke atas bayi yang berada di bawah jagaannya lapan hari lalu.
G Sarojh, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Pendaftar Mahkamah Butterworth, Ahmad Faid Mohd Zain semalam.
Ibu kepada tiga anak berusia antara 18 hingga 24 tahun didakwa berbuat demikian pada 15 Ogos 2012 antara jam 10 hingga 10.30 pagi di Flat Mak Mandin, Butterworth di sini.
Sarojh dituduh di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan dia boleh didenda RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Isteri kepada pemandu lori itu sebelum ini direman dua hari yang berakhir semalam selepas ibu bapa bayi malang itu membuat laporan polis kerana tak berpuas hati dengan kecuaiannya ketika mengasuh anak mereka.
Dalam kejadian itu, mangsa, Y Meysshvin anak tunggal pasangan A Yogeshwaran dan Ranjita Kaur, masing-masing 30-an, yang dijaga suspek mengalami kecederaan parah terbakar 70 peratus badannya.
Kejadian itu berlaku semasa mangsa ditinggalkan berseorangan tidur dalam buaian di rumah suspek di tingkat empat flat berkenaan.
Semasa kejadian suspek dikatakan turun ke kedai membeli barangan dapur dan hanya menyedari rumahnya terbakar selepas dimaklumkan jiran.
Bagaimanapun tindakan pantas jiran memadam api yang dikatakan berpunca dari tokong kecil di dalam rumah suspek, berjaya menyelamatkan bayi malang itu dari mati terbakar.
Bayi malang itu kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 manakala peguam tertuduh, A Ashok memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan keluarga anak guamnya tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment