Monday, August 27, 2012

Pasaraya Mydin terbakar

Pasaraya Mydin terbakar
Bahagian hadapan Pasaraya Mydin yang terlibat kebakaran awal pagi semalam.
KOTA BHARU - Pasaraya Borong Mydin di Jalan Pintu Pong di sini, terbakar awal pagi semalam, sehingga memusnahkan sebahagian hadapan premis tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Abdullah Din Mohamed berkata, kejadian yang berlaku pada jam 2.40 pagi itu melibatkan kaunter simpanan barangan, sebuah kiosk jualan makanan dan pintu masuk serta keluar premis itu.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.52 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

“Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 45 minit dan hasil siasatan awal kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kiosk makanan yang terletak di hadapan pasar raya itu,” katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan, tetapi berdasarkan pemerhatian ia dianggarkan berjumlah RM150,000.

Abdullah berkata, operasi yang melibatkan seramai 28 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Darul Naim, Tunjong dan Pengkalan Chepa serta pasukan bomba sukarela itu turut melibatkan enam jentera.

Beliau berkata, selain itu operasi tersebut turut dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysiam (JPAM), Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, Pengurus Cawangan Mydin Kelantan, R Naidu berkata, kejadian tersebut diketahuinya selepas mendapat panggilan dari pihak bomba yang memaklumkan penggera keselamatan di premis berkenaan berbunyi pada jam 2.30 pagi.

“Terkejut dengan panggilan tersebut saya terus menghubungi pengawal keselamatan dan dimaklumkan olehnya bahawa terdapat kebakaran berlaku.

“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian api sedang marak, tetapi kecekapan dan ketangkasan anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran itu daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana kebakaran itu melibatkan bahagian hadapan pasar raya, operasi perniagaan akan dihentikan buat sementara waktu untuk kerja pembaikpulihan.

R Naidu berkata, ia mungkin akan mengambil masa beberapa hari dan pihaknya akan memaklumkan kepada pelanggan bila operasi akan bermula semula.

Menurutnya, pelanggan boleh terus membeli-belah di beberapa cawangan Pasaraya Mydin iaitu di Kubang Kerian, Jalan Padang Garong dan Rantau Panjang.

“Kami beri jaminan kepada pelanggan bahawa premis perniagaan kami selamat dikunjungi dan ia disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...