ALOR SETAR - Seorang juruteknik Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) mati lemas manakala rakannya dalam keadaan kritikal ketika mereka menyelam di perairan Pulau Perak, berhampiran Pulau Langkawi hari ini.
Rosli Mohammad Isa, 32, dikatakan bersama rakannya Haris Abdullah, 44, menyelam kira-kira pukul 10 pagi sebelum tangki oksigen Rosli kehabisan gas.
Anggota Polis membawa mayat mangsa lemas, Rosli Mohammad Isa, 32, di jeti Kuala Kedah hari ini. - Foto Bernama |
Difahamkan Haris yang naik semula ke bot dan menyedari Rosli tidak naik ke permukaan dalam tempoh agak lama bertindak terjun semula ke dasar laut bagi mencari mangsa.
Haris berjaya membawa Rosli ke permukaan namun ketika itu mangsa sudah tidak bernafas manakala Haris pula dalam keadaan kritikal kerana timbul secara mengejut ke permukaan air. Rakan-rakan mangsa yang ketika itu memancing di atas bot terus memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan dari orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Katanya, bot dinaiki mangsa didaftarkan di Kuala Kedah dan membawa 10 orang penyelam dan pemancing keluar memancing di perairan Pulau Perak sejak Sabtu lepas.
Mayat Rosli yang berasal dari Gurun dibawa ke Jeti Kuala Kedah dekat sini oleh sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) manakala Haris dibawa ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu abang mangsa, Fazli Yusuf Mohammad Isa, 42, berkata adiknya kerap ke pulau tersebut untuk memancing dan menyelam bersama rakan-rakannya bagi menghabiskan masa terluangnya.
Katanya, dia agak terkejut apabila menerima panggilan dari salah seorang rakan mangsa sebelum datang ke Jeti Kuala Kedah bagi mengecam mayat mangsa.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang berusia dua dan enam tahun.
Mayat mangsa yang tiba di Jeti Kuala Kedah kira-kira 6.30 petang dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sebelum dituntut oleh ahli keluarga.
sumber- Bernama
0 comments:
Post a Comment