Pages - Menu

Sunday, August 12, 2012

Nama tasik terpanjang di dunia

Nama tasik terpanjang di dunia

Tasik Chaubunagungamaug atau juga dikenali sebagai Tasik Webster ini terletak di Webster, Massachusetts, Amerika Syarikat. Tasik ini sempadan kepada negeri Connecticut. Luas kawasan tasik ini adalah 5.83 km persegi.

Nama tasik terpanjang di dunia

Nama penuh bagi tasik ini ialah Tasik Chargoggagoggmanchauggagoggchaubunagungamaugg, 45 huruf. Nama tasik ini menjadi nama tasik paling panjang di dunia. Namun, orang ramai menyebutnya sebagai tasik Webster kerana nama sebenarnya terlalu panjang dan sukar untuk disebut.

Nama tasik terpanjang di dunia

Nama tasik ini berasal daripada bahasa tempatan kaum Nipmuck yang bermaksud "tempat memancing di sempadan". Ternyata memang banyak kawasan untuk memancing di tasik ini.

Nama tasik terpanjang di dunia

Nama kampung terpanjang di dunia

Nama kampung paling panjang di dunia

Dengan 58 huruf, kampung di United Kingdom menjadi satu-satunya kampung yang mempunyai nama terpanjang di dunia. Kampung ini dinamakan Llanfairpwllgwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch, dan sebelumya bernama Llanfair Pwllgwyngyll.

Seperti dilaporkan dari BBC, Sabtu (24/3/2012), Kampung ini terletak di Pulau Anglesey, Wales Utara. Kampung ini sengaja diubah namanya pada tahun 1860-an sebagai tarikan untuk pelancong asing. Idea ini ternyata berjaya kerana setelah diubah nama, ramai pelancong berpusu-pusu datang ke sini.

Selain namanya yang unik, disini juga terdapatnya stesen Victorian yang mempamerkan keretapi lama  berkuasa wap serta kedai cenderamata atau kraftangan daripada penduduk tempatan. Lebih menarik, di sini juga terletaknya gereja St. Tysilio peninggalan abad ke-15. 

Nama kampung ini turut menjadi popular selepas Putera William dan Kate Middleton membina rumah pertama mereka di sini. Putera William ditempatkan oleh tentera kebangsaan Britain di pulau ini, dan pusat latihan ketenteraan terletak 27 kilometer tidak jauh dari kampung ini.

Kebab terbesar di dunia

KEBAB gergasi seberat kira-kira satu tan yang diperbuat daripada tujuh ekor lembu di Turki, berjaya dinobatkan secara rasminya oleh Guinness World Record sebagai Kebab paling besar di dunia.

World’s Largest Kebab

Isi daging dengan berat 1,198kg dan setinggi 2.5m itu, dicatatkan dalam rekod dunia sebagai kebab paling besar di dunia.

Ia memerlukan sepuluh orang tukang masak dan terpaksa diangkat beransur-ansur menggunakan jentera pengangkut untuk diukur dan ditimbang secara rasmi.

Saiz dan berat kebab gergasi itu dilaporkan berjaya memecahkan rekod sekali ganda berbanding saiz kebab yang pernah mencipta rekod dunia sebelum ini di Australia pada tahun 2004.

World’s Largest Kebab

Piza Termahal Di Dunia

Piza Termahal Di Dunia


Anda jangan terkejut dengan harga sekeping piza ini.  Harganya adalah US$450 atau kira-kira RM1,451. Begitulah kenyataannya.

Oleh kerana harganya terlalu mahal, piza itu telah diisytiharkan sebagai piza termahal di dunia menurut ‘World Records Academy’.

Makanan yang berasal dari Itali itu dihasilkan oleh Steveston Pizza Co., iaitu sebuah syarikat rantaian makanan di British Clolumbia, Kanada.

Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan piza termahal di dunia itu adalah udang karang, ikan kod hitam Alaska dan kaviar Russian Osetra (telur ikan yang dimasinkan dari spesis sturgeon).

Ikan kod hitam Alaska itu hanya boleh didapati di perairan Alaska atau Lautan Pasifik dan diakui sebagai ikan yang paling enak oleh ramai chef di dunia.

Jika ada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan piza itu, mereka dikehendaki untuk membuat tempahan sehari lebih awal.

Tidak mengejutkan jika piza itu hanya baru dipesan sekali sahaja oleh pelanggan syarikat rantaian makanan itu.

“Piza ini khasnya adalah untuk golongan yang bertaraf elit,” kata Nader Hatami, pemilik syarikat berkenaan.

sumber- Boyzonne

Penjenayah letupkan mesin ATM di Masjid Tanah

atm machine
gambar hiasan
MELAKA - Sungguhpun dengan menggunakan bahan letupan, namun sekumpulan perompak gagal dalam cubaan mereka melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Masjid Tanah di sini awal pagi ini.
   
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam kejadian 3.20 pagi itu, sejenis bahan letupan dipasang pada salah sebuah mesin ATM di bank tersebut yang menempatkan dua mesin ATM dan satu mesin deposit wang (CDM).

Beliau berkata letupan itu bukan saja mengakibatkan kerosakan teruk pada mesin ATM itu malah menyebabkan cermin bahagian hadapan bank tersebut pecah selain keretakan pada dinding dan siling bangunan itu.
   
"Polis menerima panggilan jam 3.40 pagi. Menurut saksi perbuatan itu dilakukan empat lelaki yang menaiki dua motosikal namun mereka gagal melarikan wang daripada mesin ATM tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Beliau berkata jenis bahan letupan yang digunakan masih dalam siasatan. 

sumber- Bernama

Wanita Nigeria ugut bunuh diri halang kekasih ditahan Imigresen

Wanita Nigeria ugut bunuh diri halang kekasih ditahan Imigresen
Sebahagian warga asing yang ditahan di Bandar Kinrara 9, Puchong awal pagi tadi.
PUCHONG – Demi kerana cinta seorang wanita warga Nigeria sanggup mengugut untuk menikam dirinya apabila kekasihnya diberkas oleh Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di Bandar Kinrara 9 di sini, awal pagi tadi.

Pada awalnya, wanita berkenaan dikatakan memeluk kekasihnya, namun bertindak meluru ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong sayur apabila diberitahu pasanganya perlu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Wanita terbabit kemudian mengacukan pisau ke perutnya, namun cubaan bunuh diri itu gagal apabila anggota penguat kuasa bertindak pantas merampas senjata tajam itu.

Pasangan wanita berkenaan adalah antara  49 warga asing yang ditahan dalam dua operasi berasingan di Bandar Kinrara dan Taman Putra Perdana Puchong.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen 1 Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Abd Malik Bujang berkata, 116 warga asing membabitkan pelbagai negara termasuk Nigeria, Tanzania dan Myanmar diperiksa dari rumah ke rumah.

Serbuan mengejut dilakukan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung gangguan oleh warga asing terbabit.

Menurutnya, penduduk tempatan mendakwa kebanyakkan warga asing membuat bunyi bising selain mendakwa wujudnya kegiatan jenayah komersial dan juga berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah dihuni warga asing dan kebanyakkan yang ditahan didapati tiada dokumen sah selain tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

“Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963,” katanya.

sumber- Sinar

Derita liang roma ditumbuhi kuku

Shanyna Isom
Kulitnya menjadi berkuku susulan sel-sel kulit tumbuh sehingga 12 kali ganda pertumbuhan kulit normal.
BALTIMORE - Penyakit seorang pelajar universiti dilabelkan sebagai berprofil tinggi dan penuh misteri selepas menghidap sejenis penyakit aneh di mana seluruh liang roma kulit badannya ditumbuhi kuku-kuku kecil.

Sejenis alahan dialami Shanyna Isom, 28, sejak tiga tahun lalu itu menyukarkannya melakukan kerja-kerja harian kerana tidak selesa dan terpaksa memakai rambut palsu.

Menurut Shanyna, dia terpaksa melindungi kepalanya yang botak selepas ditumbuhi kuku dengan skarf dan rambut palsu selain menunggu penawar yang belum ditemui.

Jelas doktor, kulit Shanyna menghasilkan 12 kali ganda sel-sel kulit biasa di setiap liang romanya sehingga menjejaskan  keadaan kulitnya.

"Pada September 2009 lalu, saya mengambil ubat penahan sakit steroid kerana diserang asma, dan selepas beberapa jam saya seluruh tubuh saya berasa sangat gatal," katanya kemudian menambah keseluruhan kakinya turut diselaputi  benjolan kehitaman.

Kini, kumpulan pakar bertungkus lumus mengkaji penyakit misteri Shanyna dan hanya mampu mengawal simptom daripada merebak.

sumber- Sinar

Labah-labah menginap lima hari dalam telinga

Menakutkan, labah-labah berkenaan dapat dilihat menerusi rakaman endoskopi yang dimasukkan ke dalam telinga mangsa.
Menakutkan, labah-labah berkenaan dapat dilihat menerusi rakaman endoskopi yang dimasukkan ke dalam telinga mangsa.
BEIJING – Labah-labah dijadikan sebagai makanan sampingan segelintir masyarakat dunia adalah perkara biasa yang sering dilihat, tetapi pernahkah anda mendengar labah-labah berada di dalam telinga manusia selama lima hari?

Di sebuah perkampungan jauh dari bandar Beijing, China, seorang wanita tidak menyangka telinganya telah dihuni oleh seekor labah-labah kecil sejak lima hari lalu.

Menurut doktor, kes berkenaan bermula apabila wanita malang itu mendapatkan rawatan kegatalan telinga di Hospital Besar Changsha kemudian mereka menemukan haiwan invertebrata pemangsa itu di dalam saluran telinganya.

“Dia amat bernasib baik kerana serangga itu tidak mencakar dinding saluran telinga serta bertelur di dalamnya,” kata Dr Liu Sheng yang berjaya mengeluarkan labah-labah itu bersama kumpulan perubatan lain dengan menggunakan larutan salina ke dalam telinga mangsa.

Jelas Liu, mereka tidak dapat menarik keluar serangga itu kerana bimbang ia akan menggigit telinga mangsa.

sumber- Sinar

Nabi palsu di Russia

Faizrakhman Satarov
Faizrakhman Satarov
Kazan: Pihak berkuasa Russia membongkar satu kumpulan ajaran sesat berhenti berhubung dengan dunia luar selepas hidup di ruang bawah tanah sejak 10 tahun lalu.

Pendakwa berkata, 27 daripadanya ialah kanak-kanak yang hidup dalam bilik tanpa alat pemanas dan bergelap. Mereka sudah dibebaskan dan ibu bapa mereka akan didakwa atas tuduhan mendera kanak-kanak. Pegawai kesihatan mendedahkan, ada kanak-kanak itu berusia satu hingga 17 tahun, tidak pernah melihat matahari. 
Mereka dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum tinggal di rumah anak yatim buat sementara waktu, kata seorang doktor, Tatyana Moroz.

Pengasas kumpulan berkenaan, Faizrakhman Satarov, 83, yang mengisytiharkan dirinya nabi didakwa mengabaikan tanggungjawab sebagai pemimpin ‘Muammin’, kata timbalan pendakwa raya Kazan, Irina Petrova.

Perkataan Arab ‘muammin’ bermaksud ‘pengikut.’ Namun, pihak berkuasa, tidak menahan pengikut Satarov.

Kumpulan radikal 

Kanak-kanak itu ditemui minggu lalu selepas anggota polis memeriksa kawasan tempat tinggal kumpulan itu ketika menyiasat pembunuhan seorang pendakwah Islam Tatarstan dipercayai oleh kumpulan radikal yang semakin ramai pengikut di wilayah Volga River.

Satarov adalah bekas imam di wilayah berdekatan, Bashkortostan. Dia mengisytiharkan kediamannya di luar Kazan sebagai negara Islam. Dia juga mengarahkan 70 pengikutnya tinggal dalam ruang bawah tanah di bawah bangunan tiga tingkat yang mempunyai menara kecil berbentuk bulan.

Nabi kedua

Hanya beberapa pengikutnya dibenar keluar kerana menjalankan perniagaan di sebuah pasar tempatan. Rumah Satorov itu dibina tanpa kelulusan dan akan dirobohkan.

“Mereka akan datang dengan jentolak dan senapang tetapi mereka perlu bunuh kami sebelum musnahkan rumah ini,” kata ahli kumpulan itu, Gumer Ganiyev di saluran televisyen Vesti. Satarov memilih Ganiyev sebagai ‘nabi kedua’, lapor media tempatan. 

sumber- Agensi/AP

6 askar AS mati ditembak

6 askar AS mati ditembak

Seorang lelaki Afghanistan menembak mati tiga askar Amerika Syarikat semalam, meningkatkan angka korban askar negara itu kepada enam dalam tempoh sehari, kata pegawai, semalam. 

Kejadian berlaku Jumaat lalu, pada hari yang sama seorang anggota polis Afghanistan menembak mati tiga Marin Amerika dalam serangan berasingan di selatan negara itu. Taliban mendakwa bertanggungjawab atas kejadian berkenaan di wilayah Helmand. 

Serangan terhadap askar asing semakin bertambah yang meningkatkan rasa tidak percaya antara askar, polis tempatan dengan askar asing yang melatih mereka. 

sumber- AP 

Digantung kerja gara-gara burung

Daging burung merpati dikatakan kaya dengan protin dan rendah lemak.
Daging burung merpati dikatakan kaya dengan protin dan rendah lemak.
Buenos Aires: Seorang pegawai wilayah di Argentina digantung tugas Rabu lalu, selepas mencadangkan agar kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah diberi makan daging burung merpati bagi menangani ledakan populasi haiwan itu.

Gabenor wilayah Cordoba, Jose Manuel de la Sota, dalam satu kenyataan berkata Oscar De Allende, seorang pegawai kementerian alam sekitar hidupan liar digantung tugas berikutan ‘cadangan kontroversi memakan daging burung merpati’.

De Allende mencadangkan program pengedaran makanan dan pakaian kepada pelajar miskin dikenali Paicor, turut menghidangkan daging burung merpati di sekolah awam.

“Kami menganggarkan ada 600 juta burung merpati di Cordoba. Kita patut mempertimbangkan merpati sebagai sumber makanan yang banyak dan bukan perosak. Kami sedang bekerjasama dengan Paicor untuk memulakan projek menjadikan burung merpati sebagai makanan,” katanya.

sumber- AFP

Berbuka ketika siang

Berbuka ketika siang

Dubai: Buat pertama kalinya dalam masa beberapa puluh tahun, Ramadan tahun ini berlangsung ketika musim panas yang dianggap paling sukar hingga ada tempat penduduk Islam hanya berbuka selepas 20 jam. 

Selain musim panas kali ini disifatkan sebagai paling panas, ia juga menyebabkan tempoh berpuasa lebih panjang setiap hari. 
Di bandaraya pelabuhan barat laut Russia, Murmansk, penduduk Islam di sana berpuasa dan berbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan. 

Murmansk ketika ini disinari cahaya matahari selama 24 jam, bermakna tidak ada waktu yang jelas bagi penduduk Islam di negara itu untuk mula berpuasa dan berbuka. 

Imam Besar Dubai, Dr Ali Mashael berkata, penduduk di wilayah berkenaan perlu berpuasa mengikut waktu yang sama dengan negara paling hampir kepada mereka yang mempunyai waktu siang dan malam yang jelas. 

Ikut negara paling hampir 

Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi seperti ini penduduk kawasan terbabit perlu mengikut waktu Imsak, Subuh dan Maghrib di negara yang paling hampir kepada mereka sebagai sumber rujukan. 

Di bahagian lain di dunia turut menyaksikan umat Islam berpuasa 20 jam sehari terutama mereka yang tinggal di Reykjavik, Iceland. Sama dengan ibu negara Denmark, Copenhagen di mana penduduk Islam yang menjadi masyarakat minoriti berpuasa selama lebih 19 jam. 

Di bandaraya berjiran Scandinavia, Helsinki, Finland tempoh berpuasa di sana juga hampir 19 jam manakala Holland dan London masing-masing adalah 18 dan 17 jam. 

Dr Mashael berkata, walaupun puasa selama 17 hingga 20 jam disifatkan sebagai terlalu lama tetapi umat Islam tiada pilihan selain mengikut waktu matahari terbit dan terbenam di tempat masing-masing untuk berbuka atau bersahur. 

Pendapat cara berbuka 

Katanya perkara itu dijelaskan dalam Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga maghrib.” 

Bagi negara atau bandaraya di mana waktu siang atau malam mereka adalah 24 jam, Dr Mashael berkata, ada dua pendapat mengenainya. Pertama seperti yang diterangkan dalam ayat suci itu manakala kedua mengikut waktu berpuasa Tanah Suci Makkah dan Madinah. 

Ia berbeza dengan penduduk di Buenos Aires, Sydney dan Cape Town yang paling pendek tempoh berpuasa iaitu 12 jam manakala di Comodoro Rivadavi, Argentina, tempoh berpuasa adalah 11 jam. 

sumber- Agensi

180 dipercayai maut, 1,300 cedera gempa bumi di Iran

gempa bumi Tehran Iran, 180 mati

TEHRAN: Dua gempa bumi kuat menggegarkan kawasan perkampungan dan merosakkan kediaman di barat laut Iran menyebabkan sekurang-kurangnya 180 orang maut dan 1,350 lagi cedera, lapor stesen televisyen.

Beribu-ribu penduduk terpaksa bermalam di luar rumah mereka selepas gempa bumi melanda kawasan mereka, semalam. 

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa pertama berlaku pada kira-kira jam 4.53 petang waktu tempatan berukuran 6.4 magnitud dan berlaku pada 60 kilometer timur laut bandar Tabriz dengan kedalaman 9.9 kilometer. 
Ketua Jawatankuasa Bencana Alam tempatan, Khalil Saei berkata, pusat gempa ialah di antara bandar Ahar dan Haris kira-kira 500 kilometer barat laut Tehran.

Sementara itu, gempa bumi kedua berukuran 6.3 magnitud berlaku pada 11 minit kemudian dengan pusat gempa 48 kilometer di timur laut Tabriz pada kedalaman 9.8 kilometer.

Gempa bumi berkenaan melanda bandar Ahar, Haris dan Varzaqan di wilayah Timur Azerbaijan. Sekurang-kurangnya enam perkampungan musnah dan 60 lagi mengalami kerosakan teruk antara 50 dan 80 peratus. 

sumber- AP

Mariam menangis dihadiahkan kereta

aksi mak cik
KERETA jenis Ford Fiesta pemberian anak Mariam kepadanya.
TENAGA Mariam Abdul masih kuat meskipun usianya sudah melebihi 70 tahun. Dia juga bersyukur kerana tidak menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

Lututnya juga sihat, tidak seperti kebanyakan wanita yang seusianya.

“Alhamdulillah saya boleh melakukan urusan harian dan beribadat seperti biasa,” ujar beliau.

Kehidupan ibu tunggal ini boleh dikatakan lengkap serba-serbi.

Malah, mungkin ramai yang kagum melihat nenek kepada lapan orang cucu ini memandu sebuah kereta baharu yang sporty.

Kereta jenis Ford Fiesta berwarna merah berharga lebih RM80,000 itu merupakan pemberian anaknya pada awal tahun ini.

“Anak sulung bersungguh-sungguh minta saya datang ke rumahnya.

“Dia mengajak saya untuk makan tengah hari tetapi dia berikan kereta pula.

“Saya menangis dan berasa sangat bersyukur semasa dia memberikan kunci kereta itu kepada saya,” cerita Mariam yang ditemui di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor.

Sebelum ini, Mariam menggunakan kereta Proton Wira sahaja.

“Ia memang selesa dan laju berbanding kereta sebelum ini. Jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur memerlukan saya pergi ke beberapa tempat pada kadar segera.

Duniawi

“Selain itu, mudah untuk saya ke surau dan masjid bagi mengikuti kelas pengajian agama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Rasa seperti orang muda pun ada,” katanya ketawa.

Kru Jurnal sempat menaiki kereta bergear automatik itu sambil dipandu Mariam.

Ternyata, gaya pemanduan Mariam seperti orang muda yang dapat mengawal stereng dengan kemas. Adakalanya dia memecut melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan penulis kecut perut.

“Orang lama macam saya suka mendengar lagu-lagu lama di stesen radio Klasik Nasional,” cerita Mariam.

Sebenarnya, kereta baharu itu tidak pernah diminta oleh Mariam. Pada penghujung usia sekarang, dia menganggap hubungan dan kasih sayang ibu-anak adalah sumber kegembiraan sejati yang melebihi daripada segala kebendaan duniawi.

Daripada pengamatan penulis, wanita ini sememangnya bahagia dengan kehidupannya walaupun dia terpaksa bergelar ibu tunggal selama kira-kira 30 tahun.

Mariam yang berasal dari Sungai Petani, Kedah bercerai dengan suami setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga. Dia berkahwin semasa berumur 25 tahun.

Dia tidak menyalahkan bekas suami atas keruntuhan mahligai perkahwinan mereka sebaliknya menganggap ia dugaan Tuhan untuk menjadikannya lebih matang dan kuat.

Ibu tunggal

“Sebelum bercerai, saya sudah cuba hidup bermadu selama empat tahun tetapi akhirnya saya tidak mampu meneruskannya lagi. Namun begitu, selepas bercerai saya dan bekas suami sepakat dalam soal penjagaan dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Empat orang anak Mariam kesemuanya boleh dikatakan berjaya dalam kerjaya sekarang termasuk menjadi ahli perniagaan.

“Zuriat yang kita peroleh sebenarnya amanah daripada Allah, begitu juga dengan diri kita sendiri.

“Sementara ada kesempatan kita mesti menjaga dan mendidik mereka secukupnya agar seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya.

Tidak lama selepas bergelar ibu tunggal, Mariam menubuhkan Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur.

“Setakat ini, kami memperoleh 200 orang ahli yang rapat antara satu sama lain,” cerita Mariam.

Kebiasaannya, ahli persatuan ini akan berkumpul di Dewan Flat Pusat Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Danau Kota, Kuala Lumpur untuk aktiviti bersama.

“Kami sering menganjurkan ceramah undang-undang dan perniagaan, kelas memasak dan ceramah motivasi.

“Sebenarnya, nasib ibu tunggal di negara ini telah banyak berubah hasil keprihatinan kerajaan. Malah, ramai yang berjaya termasuk menjadi tukang urut, pembuat kek, peniaga kedai runcit dan bergelar usahawan,” ujarnya.

Tegas Mariam, dia tidak ingin ibu tunggal sekadar merayu-rayu bantuan.

“Mereka perlu berusaha sebaik mungkin tanpa perlu meraih simpati orang lain bagi mendapatkan pertolongan,” katanya.

Mariam tidak menolak ada dalam kalangan ibu tunggal yang menjadi mangsa perlakuan ganas bekas suami.

“Ada yang disimbah asid di muka kerana meminta cerai. Kemudian, proses mahkamah pula mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

“Tetapi sekiranya terdapat campur tangan pihak media dan orang politik, masalah mereka lebih cepat selesai,” ujarnya.

sumber- Kosmo

Penghijrahan Nurul Syuhada

tetek Nurul Syuhada
Personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain kini sudah bertudung.
KEHADIRAN Ramadan ternyata membawa seribu makna buat personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain, yang kini sudah bertudung.

Penampilan terbarunya itu dapat dilihat ketika mengacarakan program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI).

Ternyata penghijrahan Nurul Syuhada yang dicungkil bakatnya melalui rancangan Malaysian Top Host ini mendapat sokongan peminat.

Di laman Twitter, peminat memuji dan menyokong imej barunya yang kelihatan lebih manis.

Sebelum ini, penyanyi remaja, Shila Amzah, turut membuat keputusan bertudung pada 15 Ramadan.

sumber- Sinar

Bapa pelakon Fouziah Gous meninggal

fouziah gous
Fouziah Gous
RAMADAN kali ini menjadi detik duka buat selebriti Fouziah Gous yang kehilangan bapanya Mohd. Gous Ghulam, 76, hari ini.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh aktres berkenaan menerusi laman sosial Twitternya. Bagaimanapun, kerana masih terkejut dan bersedih, Fouziah enggan ditemu bual media.

Namun menerusi pengurusnya, Noza, Allahyarham meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Arwah sememangnya menghidapi beberapa penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi. Beberapa jam sebelum Fouziah meninggalkan rumah untuk ke lokasi penggambaran, tidak ada apa-apa perubahan pada arwah.

"Tapi kira-kira jam 11 pagi, kami menerima berita sedih ini dan Fouziah sememangnya amat terkejut apatah lagi dengan Lebaran yang akan menjelang tujuh hari lagi," jelasnya menerusi khidmat pesanan ringkas.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sajadi Ibrahim, 58 dan lima anak termasuk Fouziah.

sumber- Sinar

Ingin tidur lama petanda ajal

Ingin tidur lama petanda ajal
Hamzah (kiri) melihat motosikal mangsa yang digunakan suspek untuk mengheret mangsa daripada lokasi kejadian ke rumah mangsa di Kampung Tajin.
KAMPUNG TAJIN - "Hanya linangan air mata mengiringi sebaik sahaja melihat anak saya terbaring di hadapan rumah. Tambah memilukan apabila dia pergi menghadap ILAHI kerana dibunuh di saat kita semua bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi."

Itu luahan Rohana Muda, 47, yang tidak menyangka sikap rajin anak sulungnya, Ahmad Tarmimi Johari, 25, atau lebih mesra dengan panggilan Abang, Selasa lalu mengemas katil dan memberitahu ingin tidur lama tanpa ada sesiapa mengejutkannya menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

"Hanya ALLAH tahu perasaan saya ketika itu apabila melihat dia pengsan dengan keadaan hidung berdarah dan cedera di kaki sebaik sahaja diberitahu anak bongsu saya, Fathanatul Huda, 13 yang keluar rumah untuk ke sekolah.

“Sejak suami meninggal lebih 10 tahun lalu, dialah banyak membantu terutamanya melibatkan kerja-kerja berat memandangkan dia anak tunggal lelaki serta anak sulung daripada lima beradik. Dia juga sering membantu saya berniaga kuih akok di kedai, depan rumah ini.

“Selasa lalu, dia bukan sahaja bergurau dengan saya mengatakan ingin tidur lama tanpa ada orang akan mengejutkannya. Ketika itu dia mengemas katilnya, malah turut menyatakan perkara sama pada rakannya yang membantunya mengubah kedudukan katil dalam biliknya untuk dikemas," katanya.

Menurut Rohana, sikap anaknya itu berbeza sejak akhir-akhir ini kerana begitu ringan tulang, tidak seperti biasa kerana selalu berdalih sekiranya melakukan sesuatu perkara disuruh.

"Sikapnya sungguh berbeza malah dia langsung tidak menunjukkan semangat menyambut Aidilfitri tahun ini dan memberitahu tidak akan membeli baju raya ataupun mengadakan sebarang persiapan berkaitan hari raya.

"Rupanya itu semua petanda yang dia benar-benar tidak akan berhari raya kali ini,” katanya.

Kata Rohana, kali terakhir dia bertemu anaknya itu malam Rabu lalu kira-kira jam 12 tengah malam apabila arwah pulang ke rumah seketika mengambil rokok selepas keluar dari rumah selepas berbuka puasa.

“Dia pulang tidak sampai lima minit, selepas mengambil rokok dia terus keluar semula. Pastinya saya benar-benar terkejut dan sedih keesokan paginya melihat dia terbaring atas simen di hadapan rumah, sedangkan malam itu saya melihatnya masih sihat.

“Walaupun masih bersedih dengan pemergiannya, namun saya reda kerana ini semua dugaan-Nya untuk saya. Jenazahnya juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tajin selepas solat Asar semalam (kelmarin),” katanya.

Mangsa dipercayai dihentak dengan objek keras

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Terengganu memberitahu, mangsa meninggal dunia kerana kecederaan di bahagian kepala dipercayai dihentak dengan objek keras setelah terlibat dalam satu pergaduhan.

Menurutnya, terdahulu kira-kira jam 9.45 malam, Selasa lalu (7 Ogos), mangsa dipercayai berselisih faham dengan salah seorang suspek di satu lokasi di Kampung Tajin dan bertindak menampar suspek.

“Oleh kerana rasa tidak puas hati, suspek berkenaan telah mengajak dua rakannya dipercayai untuk membalas dendam. Sewaktu pergaduhan kira-kira jam 1.30 pagi, mangsa dipercayai dihentak dengan objek keras.

“Hentakan itu menyebabkan mangsa pengsan lalu diseret atas sebuah motosikal sejauh kira-kira 700 meter ke hadapan rumahnya sebelum ditemui salah seorang ahli keluarganya kira-kira jam 6.30 pagi hari sama," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi. Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat dihentak objek keras di bahagian kepala,” katanya.

Hamzah berkata, dalam masa dua jam lebih, pihaknya berjaya menangkap ketiga-tiga suspek berumur 20, 21 dan 23 tahun yang bekerja sebagai buruh di rumah masing-masing di Kampung Tajin serta Kampung Bukit Gemuruh.

“Kesemua suspek ditangkap ini mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan dan direman bermula hari ini (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis percaya motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham serta dendam,” katanya.

sumber- Sinar

Ingin temu empat anak

BELAJAR... Nur Haina (dua dari kanan) bersama penghuni Rumah Solehah dibimbing tenaga pengajar.
BELAJAR... Nur Haina (dua dari kanan) bersama penghuni Rumah Solehah dibimbing tenaga pengajar.
KUALA LUMPUR: “Setiap kali Ramadan, saya rindukan anak. Saya harap sangat dapat bertemu mereka menjelang Aidilfitri, walaupun sekali, sebelum saya menghembuskan nafas terakhir,” kata Nur Haina Muhammad, 59 (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Rumah Solehah, sebuah pusat penjagaan penghidap Aids di sini, baru-baru ini.

Haina yang lima tahun disahkan menjadi pembawa HIV berkata, dengan usia makin lanjut dan sampai di penghujung, dia berharap sangat untuk bertemu empat anak kandungnya bagi melepaskan rindu.

“Sudah terlalu lama saya tak jumpa anak, saya minta mereka jangan lupakan saya.
“Saya tak pasti umur masih panjang atau tidak. Dengan penyakit dihidapi, saya takut kalau sampai masanya tak dapat berjumpa mereka.

“Tambahan pula dua rakan saya yang juga penghidap Aids sudah dijemput Ilahi, menyebabkan saya kini menghitung hari menunggu detik hilang nyawa,” katanya yang berasal dari utara Semenanjung.

sumber- HMetro

Bagai dalam ketuhar (monorel terkandas)

PERLAHAN_LAHAN...penumpang monorel keluar dari gerabak monorel menggunakan tangga dan TTL sambil dipantau Bomba.
PERLAHAN_LAHAN...penumpang monorel keluar dari gerabak monorel menggunakan tangga dan TTL sambil dipantau Bomba.
KUALA LUMPUR: “Kami bagaikan berada dalam ketuhar dan sukar bernafas,” kata Mohd Muhaimi Azraie, 15, menceritakan detik cemas dia dan 182 penumpang terperangkap lebih sejam dalam gerabak KL Monorel yang terkandas berhampiran Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Brickfields di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga penumpang termasuk seorang wanita hamil berusia lewat 30-an tercedera dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk rawatan susulan kerana sesak nafas serta terkena serpihan kaca.

Menceritakan pengalamannya, Muhaimi berkata, gerabak itu yang dalam perjalanan dari KL Sentral ke pusat bandar raya tiba-tiba terkandas menyebabkan semua penumpang terperangkap.

“Ada beberapa penumpang menjerit apabila monorel terhenti tiba-tiba dan saya dapat rasakan gerabak itu senget.”

“Pada masa itu, saya lihat pemandu monorel itu sibuk memeriksa kerosakan, tapi selepas lebih 20 minit, dia masih gagal membaikinya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin buruk apabila ada penumpang menangis dan mengalami sesak nafas malah ada yang pengsan.
“Kami bernasib baik apabila anggota bomba dan penyelamat datang membantu mengeluarkan kami,” katanya.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.19 petang memaklumkan ada mangsa terperangkap dalam gerabak monorel.

Berikutan itu, katanya, sepasukan 47 anggota bomba bersama enam jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Tindakan pertama kami ialah menghantar anggota ke atas untuk memecahkan tingkap gerabak bagi membolehkan udara masuk dan mengurangkan kepanasan.

“Seterusnya, kami menggunakan tangga cakera putar (TTL) untuk menurunkan mangsa dari landasan pada ketinggian kira-kira 25 meter.

“Operasi ini sebagai berjaya kerana tidak mengalami sebarang kesukaran, malah pihak pengurusan monorel turut memberi kerjasama,” katanya.

Katanya, seramai 63 mangsa dikeluarkan anggota bomba, manakala 120 penumpang lagi dipindahkan ke Stesen Monorel Tun Sambanthan yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian oleh Pasukan Kecemasan KL Monorel.

“KL Monorel mempraktikkan segala prosedur kecemasan yang dipelajari dalam latihan bersama kami sebelum ini bagi menghadapi kemungkinan,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari masalah teknikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan tiga penumpang cedera dan dihantar ke HKL bagi mendapatkan rawatan.

“Dua penumpang cedera terkena serpihan kaca tingkap yang dipecahkan ketika usaha membawa mereka keluar dari gerabak,” katanya.

sumber- HMetro

Pantau kes tipu pengguna

AS'ARI (tiga dari kiri) menyampaikan kit kecemasan kepada seorang pemandu teksi sambil diperhatikan oleh Saharuddin (dua dari kiri) selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan 2012 di Plaza Tol Gombak dekat Kuala Lumpur semalam.
AS'ARI (tiga dari kiri) menyampaikan kit kecemasan kepada seorang pemandu teksi sambil diperhatikan oleh Saharuddin (dua dari kiri) selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan 2012 di Plaza Tol Gombak dekat Kuala Lumpur semalam. 
Kuala Lumpur - Seramai 2,000 sukarelawan skuad pemantau Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dikerah memantau dan mengambil aduan kes penipuan ke atas pengguna sempena musim perayaan tahun ini.

Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, skuad pemantau itu yang dilancarkan pada 1 Ogos lalu akan menjadi mata dan telinga LPKPM berkaitan apa sahaja perkara yang melibatkan kerugian kepada pengguna.

Beliau berkata, pihaknya akan meletakkan pasukan itu di kawasan tumpuan orang ramai seperti hentian bas dan kompleks beli-belah bagi membanteras pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan serta menipu pengguna.

"Apabila menerima aduan daripada pengguna berkaitan masalah mereka, skuad pemantau ini akan mengambil tindakan serta-merta bersama agensi kerajaan yang berkaitan," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan 2012 di Plaza Tol Gombak dekat sini semalam.

Kempen tersebut dilancarkan oleh Setiausaha Politik Menteri Kerjaya Raya, Datuk As'ari Ibrahim.

sumber- Kosmo

Sabri Yunus si tukang karut

Sabri Yunus

BUTIR tawanya sudah cukup untuk memperkenalkan Sabri Yunus. Dia lelaki yang berjaya menggeletek rakyat negara ini dengan gaya dan lenggok berpaksikan negeri kelahirannya.

Bermula dari zaman Santan Berlada, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sehinggalah Salam Pantai Timur dan kini tunjang kepada Karoot Komedia X, Sabri sudah dianggap sebagai pelawak otai. Uniknya, dia mengekalkan lidahnya untuk basah dalam dialek yang likat berbau budu. Dialek 'Kelate' sudah lama bersatu membentuk nama Sabri Yunus.

Seperkara lagi, nakal, bersahaja dan spontan barangkali tiga sifat hakiki yang menjadikan Sabri seorang seniman rakyat - seniman yang berjaya mengangkat dikir barat daripada sebuah hiburan kampung menjadi hiburan kegemaran ramai di sebuah stesen satelit.

"Elemen dikir karut dalam Karoot Komedia dan Karoot Komedia X sebenarnya sudah jadi versi ketiga yang saya aplikasikan dalam program televisyen. Kali pertama dalam Satira (TV3), kemudian dalam Salam Pantai Timur (RTM) dan sekarang Karoot Komedia (Astro). Konsepnya tidak banyak beza cuma pendekatan sedikit berlainan.

"Dikir barat ada komposisi tertentu, saya cuma ambil bahagian karut untuk dimasukkan dalam program, jadi saya tidak terikat dengan komposisi yang harus dihormati dalam dikir barat. Orang Kelantan boleh terima karut itu terpisah daripada dikir barat," katanya persis sang budayawan, sedikit terkeluar dari lingkaran Sabri yang selama ini dikenali menerusi sifat lucunya.

Jiwa Kelantan Sabri masih menebal walaupun sudah berhijrah Kuala Lumpur sejak berusia 21 tahun.

Masuk tahun 2012, dia sebenarnya lebih lama tinggal di KL berbanding di Kelantan.

sumber- Kosmo

Lirik Nadia Othman

NADIA OTHMAN
NADIA OTHMAN mempertaruhkan single perdana yang bertajuk Tragedi nukilan Sharon Paul dan lirik oleh dirinya
BAKAT gadis berusia 18 tahun ini dihidu dan dikenal pasti oleh komposer Aidit Alfian sewaktu Nadia mengikuti sebuah pertandingan nyanyian di Johor Bahru, Johor.

Bertitik tolak daripada pertandingan tersebut, Nadia Amira Othman atau nama komersialnya Nadia Othman sering bertanya khabar dengan komposer tersebut di laman Facebook.

"Aidit Alfian beritahu saya, dia memang mencari artis untuk label Indah Karya. Saya juga waktu itu sedang cuba-cuba menyanyi dan akhirnya saya bernaung di bawah Indah Karya," ujar Nadia yang masih mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

"Single perdana saya bertajuk Tragedi adalah nukilan Sharon Paul manakala lirik adalah nukilan saya sendiri. Saya memang mahu menjadi penulis lirik. Bila Sharon gambarkan lagu tersebut sedih dan bercerita tentang gadis yang kematian tunang, saya gambarkan perasaannya dengan penggunaan secara metafora," kata anak kelahiran Johor itu.

Dia menegaskan bahawa ingin menjadi penyanyi yang juga penulis lirik. Lagu Tragedi adalah taruhan pertamanya dan selepas Tragedi, dia akan muncul dengan single nukilan Aidit Alfian pula.

"Saya suka bercerita dan menulis tentang banyak kisah. Salah satu caranya dengan mengekspresikan dengan penulisan, sebuah inspirasi," katanya.

"Lirik Tragedi tidak ada kena mengena dengan hidup saya. Saya cuma bayangkan kesedihan dan tulis tentang sebuah kehilangan. Mungkin selepas raya, lagu ini akan berkumandang di radio," ujar Nadia yang bercuti selama 10 hari sempena hari raya.

sumber- Kosmo

Saya sayangkan dia - Johan As'ari

Johan As'ari dengan Nabila Huda
JOHAN dan Nabila sudah mengakui saling mempunyai perasaan yang kuat antara satu sama lain.
KISAH hubungan istimewa yang terjalin antara pelakon Johan As'ari dengan Nabila Huda kini bukan lagi rahsia setelah kedua-duanya mengaku saling menyayangi antara satu sama lain.

Ironinya, perasaan sayang dan cinta yang diluahkan oleh Johan menerusi laman sosial Twitter miliknya itu dilakukan sebaik sahaja dia pulang dari Mekah selepas menjalani penggambaran dan mengerjakan umrah baru-baru ini.

Johan yang ditemui sewaktu rakaman program Singgah Sahur di Muar, Johor pada 5 Ogos lalu mengakui bahawa dia sangat menyayangi anak kepada penyanyi rock Amy Search itu.

Bagaimanapun, buat masa ini juga dia tidak mahu terlalu terburu-buru membicarakan perkara perkahwinan, memandangkan kerjaya lakonannya yang kini semakin meningkat dan berserah kepada Allah berkenaan soal jodoh.

Kosmo!: Apa yang membuatkan Johan secara tiba-tiba meluahkan rasa isi hati kepada Nabila menerusi laman Twitter?

JOHAN: Semasa berada di hadapan Kaabah sewaktu mengerjakan umrah tempoh hari, banyak berdoa supaya diberikan kesejahteraan dalam kehidupan dan berharap agar ditemukan dengan jodoh yang sesuai.

Kemudian apabila kembali semula ke tanah air, saya ambil keputusan untuk berterus terang mengenai perasaan saya yang sebenar terhadapnya. Lagipun tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan kerana saya memang menyayangi dirinya.

Johan tidak kisah berkahwin dengan seorang wanita yang bergelar janda?

Bagi saya status seseorang itu bukan satu masalah yang besar kerana isteri Rasulullah, Siti Khadijah pun merupakan seorang janda. Lagipun kalau niat mahu mendirikan masjid, status sepatutnya tidak menjadi halangan.

Tidak dinafikan memang ada segelintir pihak yang menasihati saya supaya tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan Nabila. Namun, kalau memang benar dia merupakan jodoh saya, sudah tentu saya tidak akan menolaknya.

Bagaimana pula penerimaan keluarga Johan terhadap hubungan dengan Nabila?

Sebenarnya saya dah berterus terang dengan ibu dan mengatakan kepadanya bahawa saya amat menyayangi Nabila. Ibu ada memberi nasihat kalau memang benar saya sayangkan Nabila, dia menyuruh saya terus berusaha dan fokus dalam bidang yang diceburi sekarang supaya kehidupan saya menjadi lebih stabil.

Jadi, saya akan ikut nasihat ibu saya itu dan sekarang saya berharap kerjaya lakonan saya semakin meningkat. Malah, ibu turut berpesan dengan cara itu juga menjadi tanda yang saya memang menyayangi Nabila.

Apakah yang membuatkan Johan boleh tertarik dengan Nabila?

Sepanjang kami bersahabat baik, saya dapati dia merupakan seorang wanita yang baik hati, sentiasa mengambil berat dan pandai memasak. Memandangkan dia lebih berpengalaman dalam dunia hiburan, dia yang banyak mengajar saya mengenai selok-belok dalam bidang ini.

Adakah Johan sudah mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga?

Sekarang ini saya belum lagi terfikir ke arah itu kerana mahu fokus kepada kerjaya terlebih dulu. Memang saya akui sangat menyayangi Nabila, tetapi tidak terlintas untuk melamarnya dalam tempoh terdekat.

Apakah aktiviti terbaharu Johan sekarang?

Pada bulan puasa ini saya masih lagi terbabit dengan penggambaran drama Syahadat Cinta sehingga 16 Ogos ini. Selepas itu saya akan bercuti untuk sambutan Aidilfitri selama sembilan hari dan akan menyambung semula penggambaran drama yang sama.

sumber- Kosmo

Justin, Jessica kahwin bulan ini

JUSTIN TIMBERLAKE and JESSICA BIEL
JUSTIN TIMBERLAKE dan JESSICA BIEL
PENYANYI Justin Timberlake dan teman wanitanya Jessica Biel diberitakan bakal mengakhiri zaman solo mereka di sebuah resort peribadi di Montana, Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Cerita yang disampaikan oleh sumber rapat pasangan itu kepada Celebuzz menjelaskan bahawa mereka akan melangsungkan upacara itu pada bulan ini juga.

Resort ski dan golf mewah yang berkeluasan 54 kilometer persegi itu menjadi lokasi yang dipilih golongan kaya dan berpengaruh termasuklah Justin yang memiliki rumah sendiri di kawasan itu.

Sebelum ini, tempat rahsia itu pernah menjadi lokasi pasangan itu meraikan tahun baharu bersama-sama 40 rakan terdekat dan ahli keluarga.

"Justin dan Jessica selalu menjadikan tempat itu sebagai lokasi percutian pada musim panas dan sejuk. Mereka benar-benar menyukai tempat itu.

"Tempat itu jauh daripada kesesakan dan kesibukan Hollywood. Mereka akan berkahwin di situ," kata sumber rapat tersebut.

Justin dan Jessica mula menjalinkan hubungan cinta sejak 2007. Jessica turut mengaku bahawa dia tidak melakukan sebarang persiapan untuk hari bersejarah itu kerana segala-galanya telah tersedia.

sumber- Kosmo

Pesawat kedua Airbus A380 tiba di KLIA

Malaysia Airlines
PESAWAT kedua Airbus A38O milik  Malaysia Airlines (MAS) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor semalam. 
KUALA LUMPUR - Pesawat kedua Airbus A380 Malaysia Airlines (MAS) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Toulouse, Perancis pada pukul 3.32 petang semalam.

Ia sekali gus membolehkan syarikat penerbangan nasional itu menawarkan perkhidmatan penerbangan A380 antara Kuala Lumpur dan London setiap hari bermula hari ini.

"Pesawat pertama kami daripada enam pesawat A380 telah beroperasi di laluan ini tiga kali seminggu sejak 1 Julai lalu.

"Dengan ketibaan pesawat kedua ini, kami akan menawarkan penerbangan harian A380 bagi laluan Kuala Lumpur-London," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

sumber- Kosmo

4.7 juta rakyat Malaysia merokok

budak sekolah merokok
Pelajar sekolah dikenal pasti ketagih menghisap rokok seludup yang lebih murah. - Gambar hiasan 
KUALA LUMPUR - Statistik terbaharu mengenai ketagihan merokok di negara ini begitu menggerunkan apabila jumlah perokok meningkat kepada 4.7 juta orang pada tahun lalu berbanding 3.1 juta orang pada 2007.

Peningkatan mendadak jumlah perokok dalam tempoh kira-kira lima tahun itu berlaku disebabkan fenomena lambakan rokok seludup pelbagai jenama yang dijual pada harga sangat rendah di pasaran.

Purata perokok di Malaysia membelanjakan sebanyak RM178.80 sebulan untuk membeli rokok.

sumber- Kosmo

13 maut dipanah petir selepas tarawih

petir
Gambar hiasan
SYLHET, Bangladesh - Sekurang-kurangnya 13 orang maut dan 20 yang lain cedera akibat dipanah petir di luar sebuah masjid selepas selesai menunaikan solat sunat tarawih.

Ketua Polis daerah Sylhet, Bayes Ahmed memberitahu, semua mangsa dipanah petir ketika mereka mahu keluar dari bangunan masjid.

Ada mangsa yang mati di tempat kejadian, sementara mangsa lain meninggal dunia sewaktu dikejarkan ke hospital.

Imam yang mengetuai solat tarawih pada malam itu turut maut.

Sylhet terletak kira-kira 192 kilometer dari ibu negara Bangladesh, Dhaka.

sumber- Agensi

Tentera Syria dan Jordan bertempur di sempadan

SEKUMPULAN warga Syria berjalan menuju ke kem pelarian al-Zaatri di bandar Mafraq Jordan yang terletak berhampiran dengan sempadan Syria.
SEKUMPULAN warga Syria berjalan menuju ke kem pelarian al-Zaatri di bandar Mafraq Jordan yang terletak berhampiran dengan sempadan Syria. 
AMMAN, Jordan - Pertempuran di antara tentera Syria dan Jordan tercetus di sempadan kedua-dua buah negara lewat hari Jumaat, sekali gus menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa perang saudara di Syria boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih serius.

Sumber dari Jordan dan Syria bagaimanapun mengesahkan tiada yang terkorban dalam kejadian tersebut. Ia merupakan insiden terburuk sejak kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad 17 bulan lalu.

Pertempuran berlaku di Tel Shihab-Turra, kira-kira 80 kilometer dari Amman apabila pelarian Syria cuba masuk ke Jordan.

"Tentera Syria menembak ke arah Jordan pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) untuk menghalang pelarian memasuki Jordan. Tentera Jordan kemudian membalas tembakan. Ia berlangsung selama sejam," kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Abdallah.

Sementara itu, sumber dari Jordan yang enggan dikenali berkata: "Tentera Syria memulakan tembakan di sempadan sebelum pertempuran tercetus."

Sejak kebangkitan rakyat berlaku, berpuluh-puluh ribu warga Syria menyeberangi sempadan menuju ke Jordan.

sumber- Reuters 

Hos CNN digantung kerja

Fareed Zakaria

NEW YORK - Hos stesen televisyen CNN yang juga editor undangan majalah Time, Fareed Zakaria (gambar) digantung kerja mulai Jumaat lalu selepas mengaku memplagiat sebuah artikel mengenai kawalan senjata api yang ditulis oleh seorang penulis lain.

Time menyatakan, pihaknya menggantung Zakaria selama sebulan sambil menunggu perkembangan selanjutnya. CNN juga mengambil langkah sama tanpa meletakkan tempoh khusus penggantungan Zakaria.

Tindakan itu dibuat selepas Zakaria menyatakan permohonan maaf secara terbuka kerana memplagiat esei tulisan Jill Lepore dari New Yorker untuk kolumnya di majalah Time terbitan minggu ini.

"Para wartawan menyatakan bahawa beberapa perenggan dalam kolum tulisan saya di majalah Time mempunyai banyak persamaan dengan esei yang ditulis oleh Jill Lapore untuk isu 23 April akhbar New Yorker. Mereka betul. Saya mengaku telah melakukan satu kesilapan yang amat besar," kata Zakaria dalam permohonan maafnya.

Jurucakap Time, Ali Zelenko memberitahu, pihaknya menerima permohonan maaf Zakaria, walaupun perbuatan tersebut telah merosakkan standard semua kolumnisnya.

Menurut CNN, penggantungan Zakaria dibuat kerana tulisannya dalam blog CNN.comm adalah sama seperti yang disiarkan di majalah Time.

Lelaki kelahiran India itu pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Yale dan Harvard. Dia merupakan editor urusan majalah Foreign Affairs dan editor majalah Newsweek International selama sepuluh tahun sebelum berhijrah ke CNN serta menjadi hos rancangan Fareed Zakaria GPS pada tahun 2010.

sumber- Reuters

Barangan perkampungan Olimpik London dijual

PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge duduk di atas sebuah katil sambil diperhatikan oleh datuk bandar perkampungan Olimpik London, Charles Allen. Semua barangan di perkampungan atlet di Olympic Park seperti lampu tidur dan kerusi pengadil akan dijual mulai hari ini.
PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge duduk di atas sebuah katil sambil diperhatikan oleh datuk bandar perkampungan Olimpik London, Charles Allen. Semua barangan di perkampungan atlet di Olympic Park seperti lampu tidur dan kerusi pengadil akan dijual mulai hari ini. 
LONDON - Lebih sejuta barangan termasuk daripada perkampungan atlet di Olympic Park sudah mula dijual.

Para pembelinya boleh mendapatkan barangan tersebut sebaik sahaja Sukan Paralimpik berakhir pada awal September depan.

Laman web Remains of the Games menawarkan pelbagai barangan termasuklah landskap Oliympic Park termasuk kerusi pengadil berwarna biru dan merah jambu dijual pada harga AS$312 (RM982) seunit.

Tidak terhad kepada kerusi sahaja, orang ramai juga boleh mendapatkan barangan yang lebih 'peribadi' seperti lampu tidur pada harga AS$30 (RM94).

Sekiranya ada yang mahukan kerusi atau 'bean bag', ia dijual pada harga AS$23.50 (RM74) sebuah. Terdapat sebanyak 6,500 unit bean bag untuk dijual.

Para pembeli tidak akan diberitahu atlet mana yang pernah menggunakan barangan tersebut.

Jadi, setiap orang berpeluang untuk memiliki lampu yang mungkin pernah digunakan oleh pelari sensasi dari Jamaica, Usain Bolt atau perenang Amerika Syarikat (AS), Micheal Phelps.

Semua barangan itu bagaimanapun tidak disahkan secara rasmi.

Namun terdapat pelekat yang bertulis: "Produk ini dibuat dan dibekalkan untuk Olimpik London 2012 dan Sukan Paralimpik." 

sumber- Agensi