JUMPA... anggota Rela dan polis mengangkat mayat Drahman yang ditempui nelayan di seberang Sungai Kampung Medang. |
BELADIN: “Kami sekeluarga anggap kejadian ini sebagai ujian Allah dan tidak menyimpan dendam mahupun memburu buaya yang membaham suami saya,” kata Latifah Nen, 53, isteri kepada Drahman Chali, 55, mangsa serangan buaya di tebing Sungai Medang, Khamis lalu.
Pendirian Latifah turut disokong keenam-enam anaknya, Nor Hasiah Derahman, 24; Norafidah, 22; Mohd Asrul 20; D Ramlee, 19; Mohd Qusyairi Arifin, 7, dan Jamalludin, 1.
Bersyukur kerana akhirnya sebahagian jasad arwah suaminya ditemui jam 7 pagi semalam, Latifah berkata, tiada gunanya mereka berdendam pada buaya kerana itu takdir Allah.
“Sampai bila manusia dan buaya mahu saling berdendam, sebaik-baiknya kita sama-sama berdoa supaya tiada lagi manusia menjadi mangsa serangan buaya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.
Latifah menafikan laporan mengatakan dia mahu mendapatkan khidmat bomoh seperti disiarkan beberapa akhbar, semalam..
Menurutnya, mereka sekeluarga juga tidak pernah terfikir mahu mengupah bomoh buaya seperti didakwa akhbar terbabit.
Katanya, sebagai umat Islam, beliau percaya kepada qada dan qadar Allah serta apa yang menimpa keluarganya ditakdirkan.
“Biarpun mayatnya tidak sempurna dan separuh badan hilang dibaham buaya, saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada kuburnya untuk kami sekeluarga ziarah selepas ini,” katanya.
Mayat Drahman yang diserang Bujang Saribas, Khamis lalu, ditemui jam 7 pagi semalam oleh dua nelayan di tebing Sungai Medang, Saribas, enam kilometer dari lokasi kejadian di Tanjung Lilin, Pusa, jam 8 pagi Khamis lalu.
sumber- HMetro
0 comments:
Post a Comment