KUANTAN - Malang buat petugas sukarelawan yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sebuah taman perumahan di sini apabila dia dibelasah dua lelaki selepas didakwa mahu memecah masuk rumah penghuni kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi semalam itu, Kamarudin Abdul Karim, 24, cedera teruk di muka dan kepala selepas ditumbuk, dipijak dan disepak dua lelaki di kawasan perumahan di Indera Mahkota 2, di sini.
"Selepas selesai membuat rondaan SRS, saya berjalan kaki pulang ke rumah, tiba-tiba didatangi dua lelaki yang menuduh saya yang berjalan sendirian ketika itu bertujuan untuk memecah masuk rumah penghuni kawasan itu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Selepas dibelasah, dia kemudiannya pulang ke rumah sebelum dibantu ibunya, Sufiyah Osman, 53, dan Pengerusi Rukun Tetangga kawasan berkenaan, Ramli Karim, 58, yang membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di balai Polis Indera Mahkota.
"Saya berharap mereka yang membelasah saya tanpa belas kasihan dan penuh prejudis itu dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.
Kamarudin berkata dia yakin kedua-dua lelaki terbabit juga merupakan penduduk di kawasan terbabit tetapi tidak menyertai skim SRS itu.
Sementara itu ibu kepada mangsa, Sufiyah berkata tindakan dua lelaki berkenaan yang membelasah anaknya itu tidak sepatutnya berlaku.
"Mereka sepatutnya mempunyai bukti yang kukuh dan bukannya membuat tindakan yang lebih berburuk sangka," katanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu: " Pihak polis masih menyiasat kes berkenaan, pihak polis sedang memburu dua suspek berkenaan," katanya.
sumber-Bernama
0 comments:
Post a Comment