Friday, June 29, 2012

Sebelah badan lumpuh dirempuh babi hutan


KUALA TERENGGANU: “Kami sekeluarga tidak putus berdoa supaya dia segera sembuh dan dapat berjalan semula,” kata Hashim Nawi, 48, bapa kepada Mohd Nursyahid Hashim, 20, yang lumpuh bahagian kanan badannya akibat dirempuh seekor babi hutan dalam kejadian di Kampung Pengkalan Berangan, Marang pada 6 Jun lalu.

Hashim yang ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kelmarin berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu berlaku apabila anaknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Kampung Temala Dilir, Marang.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba seekor babi hutan keluar dari semak berhampiran lalu merempuhnya menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal dan tercampak di atas jalan raya.

Katanya, dia yang baru pulang dari tempat kerjanya di Kerteh, Kemaman, bergegas ke HSNZ sebaik diberitahu rakan mengenai kemalangan menimpa anaknya itu.

“Di hospital, saya diberitahu anak dalam keadaan koma kerana kepalanya terhempas pada jalan sebaik dirempuh babi hutan berkenaan.

“Doktor terpaksa menjalankan pembedahan segera ke atasnya kerana tempurung kepala bahagian kiri Mohd Nursyahid retak dan dia ditempatkan selama seminggu di Unit Rawatan Rapi,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, walaupun keadaan Mohd Nursyahid kini dilaporkan stabil, kesan kecederaan pada otak kiri menyebabkan bahagian kanan badan anaknya lumpuh selain patah tulang selangka.

sumber-Harian Metro

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...