Monday, July 30, 2012

Edar syabu, warga Iran ke tali gantung

warga Iran di hukum gantung
gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga telefon bimbit warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine atau syabu seberat 703.8 gram tahun lalu.

Dalam keputusannya, Hakim Kamardin Hashim berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, dan pembelaan Adel Zarabi, 40, hanyalah penafian semata-mata.

"Hanya satu hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dengan ini kamu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," kata Kamardin.

Lelaki Iran itu tidak menunjukkan sebarang reaksi sebaik hukuman dijatuhkan.

Adel didakwa mengedar dadah itu di hadapan Sri Putramas 2, Royal Domain Condo, Jalan Putra Mas, Sentul di sini pada kira-kira 8.05 malam, 20 Mac 2011.

Mengikut fakta kes, dia ditahan sepasukan polis ketika berjalan keluar dari kondominium itu dengan menjinjit satu beg plastik, dan cuba melarikan diri apabila polis yang menghampirinya memperkenalkan diri.

Polis menahan Adel berikutan satu pergelutan dan pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik berisi dadah daripada beg yang dibawa Adel.

Tertuduh diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan. 

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...