Tuesday, July 17, 2012

Inkuiri Suhakam: Saksi dakwa dipukul sekumpulan polis

Bersih 3.0
Perhimpunan Bersih 3.0
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja swasta, Suhaimi Suratman mendakwa dipukul sekumpulan polis beruniform, tidak beruniform dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di bangunan OUB berhampiran DBKL selepas membantu beberapa peserta Bersih 3.0 lain, yang terkena gas pemedih mata dengan menggunakan air paip berdekatan kawasan itu.

Suhaimi yang didakwa dipukul melibatkan hampir 10 orang mengakui ditumbuk sehingga mengalami kecederaan patah hidung.

“Saya ditumbuk dan ditendang berkali-kali oleh sekumpulan polis. Setiap seorang darinya memukul dengan dua pukulan bergilir,” katanya dalam sidang pendengaran awam berhubung perhimpunan Bersih 3.0 di ibu pejabat Suhakam, semalam.

Dia turut mengakui melihat seorang unit Amal Pas dikasari oleh sekumpulan polis yang sama sehingga menyebabkan anggota unit Amal tersebut dalam keadaan lemah apabila di bawa ke balai Polis.

Jelas Suhaimi lagi, dia yang berada di tempat kejadian perhimpunan mengaku mengalami perasaan takut ekoran perkara yang dilihatnya.



Menurutnya, semasa dia dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol), pada kira-kira jam 5.30 petang, semasa perjalanan dengan trak, beliau di pukul sekali lagi oleh Polis berkenaan.

Katanya, dia tidak melawan kerana menyedari jika membalas akan membuatkannya melanggar etika dan undang-undang negara.

“Saya hanya mengikut arahan mereka walaupun saya dipukul dan menerima cemuhan dari mereka,” katanya.

Selain itu seorang lagi saksi, pekerja bahagian komputer di Subang Jaya, Adrian Low berkata, dia juga mengalami kecederaan tisu yang serius di bahagian pinggang belakang badannya akibat dipukul sekumpulan polis beruniform.

Menurutnya, dia menerima pukulan selepas gas pemedih mata dilepaskan dan dipukul berkali-kali di bahagian badan, kepala dan leher.

“Saya hanya berdiri di tengah jalan berhampiran jalan berhampiran Masjid Jamek. Tetapi saya telah ditarik sekumpulan polis. Dua orang dari mereka menumbuk dua pukulan sebelum terus menjatuhkan saya di atas jalan,” katanya ketika menjawab soalan ahli panel memberitahu bagaimana keganasan yang dilakukan ke atasnya.

Suhaimi dan Adrian merupakan saksi keenam dan  ketujuh yang memberi keterangan kepada panel dianggotai Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dan Detta Samen.

Seramai 17 lagi saksi akan dipanggil dalam sidang pendengaran yang akan disambung semula pada 23 julai ini.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...