Saturday, July 14, 2012

Remaja maut tercampak atas bumbung kereta

PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat mangsa di atas bumbung kereta.
PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat mangsa di atas bumbung kereta.
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menemui ajal di atas bumbung kereta apabila motosikal ditunggangnya berlanggar sebuah kereta di hadapan Masjid Al-Taqwa, Paya Bemban, Jalan Hospital, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Elfie Farhan Mohd Nasir, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke Kota Bharu sebelum berlanggar sebuah kereta Proton Saga BLM menyebabkan mangsa tercampak ke atas bumbung kereta itu.

Bagaimanapun, rakan mangsa cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku apabila kereta dari arah lampu isyarat Berek 12 menghala lampu isyarat Kampung Cherang secara tiba-tiba membelok ke kanan sebelum motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian hadapan kereta itu.

“Mangsa tercampak di atas bumbung kereta dan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Nasir Zaminuddin, 39, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh anak sulungnya ketika dalam perjalanan untuk berniaga di pasar.

“Saya berpatah balik menuju tempat kejadian untuk melihat anaknya.




“Pada mulanya saya ingatkan ia kemalangan biasa, tetapi apabila tiba di tempat kejadian saya lihat anak saya terbaring di atas bumbung kereta dan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di HUSM, semalam.

Menurutnya, dia dan anak kedua daripada empat beradik itu rapat seperti rakan karib.

“Kami rapat dan masih terngiang-ngiang hasrat arwah yang mahu menyambung pelajarannya selepas memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian. Pemergiannya amat dirasai, tetapi saya reda,” katanya.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...