Wednesday, August 29, 2012

Mat Lejang Solo tersungkur

Mat Lejang Solo tersungkur
Abdul Majid (tengah) menunjukkan hasil rampasan dalam kes curi motosikal.
KLUANG - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dikenali sebagai Mat Lejang Solo yang aktif dalam kes curi motosikal di daerah ini berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) setelah terlibat dalam kes mencuri dan meleraikan motosikal sebelum menjualnya kepada mat-mat rempit 16 Ogos lalu.

Hasil maklumat serta risikan yang dibuat sebelum ini, polis menyerbu dan membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang terletak di Taman Layang-layang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan polis berjaya menemui pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan.

“Malah, komponen-komponen tersebut sedia untuk dijual kepada mat rempit yang ingin mengubah suai motosikal masing-masing.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati lelaki tersebut telah mengaku memiliki semua peralatan motosikal yang telah dileraikan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, antara peralatan yang telah dirampas adalah 12 karburetor motosikal, dua head enjin motosikal, sebuah blok enjin motosikal dan clutch motosikal.

Beliau berkata, suspek kini di siasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari setahun.

“Hasil tangkapan tersebut, pihak IPD Kluang telah berjaya menyelesaikan 12 kes curi motosikal yang berlaku di sekitar Pekan Layang-Layang dan Kluang,” katanya.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...