Friday, August 3, 2012

Rumah terbakar, suami isteri rentung

Kebakaran yang memusnahkan rumah mereka
Kebakaran yang memusnahkan rumah mereka 
SIMPANG PERTANG – Sepasang suami isteri warga emas rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di No.17, Felda Pasoh 1, dekat sini, pagi ini.

Mayat Zahari Hasan, 77, dan isterinya Mariam Abdul Latif, 67, dijumpai di ruang tengah rumah berkenaan oleh pasukan bomba yang memadamkan kebakaran itu.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Ahmad Nizam Sapaiee berkata dua jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang dan Sri Jempol ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.39 pagi.

“Semasa tiba di tempat kejadian, api sedang marak namun pasukan kami berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya pada pukul 5.30 pagi.

Selesai memadamkan api, kami menemui dua mayat yang rentung di tengah rumah,” katanya kepada Bernama.

Katanya mangsa kemungkinan cuba keluar dari rumah itu namun asap yang tebal menyebabkan kedua-dua mereka lemas dan gagal untuk keluar.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat, katanya.

Sepasukan anggota forensik polis dan bomba turut berada di tempat kejadian untuk menyiasat punca kejadian.

Jiran pasangan itu, Shariff Zakaria, 61, berkata beliau menyedari kejadian itu pada kira-kira pukul 4.15 pagi ketika bangun untuk bersahur.

“Masa tu saya lihat dari tingkap rumah, api masih kecil namun tidak lama lepas itu api marak dan saya segera hubungi bomba. Selepas itu, saya keluar rumah dan menjerit memanggil nama arwah supaya keluar rumah namun tiada jawapan.

Saya sukar untuk dekati rumah itu sebab api begitu marak,” katanya.

Anak bongsu mangsa, Muhammad Ghazali, 35, berkata kali terakhir beliau bertemu ayah dan ibunya pada Isnin lepas.

“Ayah dan ibu tinggal berdua saja di rumah ini dan mereka ke rumah anak-anak apabila ada kelapangan. Saya tinggal di Kajang dan saya ambil mereka pada Khamis lepas dan hantar balik ke sini Isnin,” katanya.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang datang ke tempat kejadian berkata Felda menyumbang RM3,300 untuk bantuan awal bagi keluarga mangsa.-

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...