KEADAAN sebuah traktor yang menghempap Nor Azman di Kampung Palas, Jitra semalam. |
JITRA – Anak lelaki kepada tok dalang wayang kulit terkenal di negeri ini maut akibat dihempap traktor yang digunakan untuk membersihkan sebuah kebun getah di Kampung Palas, Jalan Lahar di sini petang kelmarin.
Mangsa, Nor Azman Abdul Majid, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman termasuk patah pinggang.
Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa cuba menaikkan semula traktor seberat enam tan tersebut selepas ia tergelincir ke dalam sebuah parit.
Bagaimanapun, traktor milik bapa saudaranya itu terbalik ketika ia cuba naik ke tebing menyebabkan mangsa dihempap jentera tersebut.
Mangsa ditemui terbenam di dalam tanah lumpur di bawah jentera dengan stereng traktor itu menghempap dadanya.
Kejadian ngeri itu disaksikan sendiri adiknya, Shahzual Suhaili, 15, yang berada tidak jauh dari tempat kejadian. Shahzual kini trauma serta enggan menceritakan kejadian itu.
Menurut bapa mangsa, Abdul Majid Mohd. Noh, 62, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan perkara itu oleh seorang saudaranya kira-kira pukul 8 malam.
“Saya pergi ke kebun getah itu dan nampak anak saya sudah tidak bernyawa di bawah traktor yang terbalik dengan empat tayarnya berada di atas.
“Usaha mengeluarkan arwah sukar dilakukan kerana traktor itu terlalu berat. Ia hanya dapat dialihkan dengan bantuan bomba yang menggunakan tiga jentolak kira-kira pukul 11 malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kunluang, Asun di sini semalam.
sumber- Kosmo
0 comments:
Post a Comment