Mohd Yusuf (kiri) menenangkan isterinya, Rojiha semasa menunggu gerakan mencari dan menyelamat anak mereka yang dikhuatiri lemas dijalankan di pantai Kuala Muda di sini semalam. |
KEPALA BATAS - Seorang pekerja kilang dipercayai lemas ketika sedang mencari kepah bersama kembar dan dua rakannya di perairan Kuala Muda di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Amran Mohd Yusuf, 28, bersama kembarnya, Amir, rakannya, Shahrulnizam A Rani, 39, dan Azly Firdaus, 13, dari Taman Mahsuri, Padang Serai, Kulim mula mencari kepah di kawasan kejadian.
Amran anak kedua pasangan Mohd Yusuf Ahmad, 54, kakitangan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kulim dan Rojiha Sabar, 52, suri rumah, difahamkan tidak pandai berenang hilang ditelan ombak selepas gagal diselamatkan dalam kejadian itu.
Mangsa maut dipercayai lemas selepas selepas tidak menyedari air laut mula pasang.
Bagaimanapun kembar dan dua rakannya bernasib baik selepas kesemua mereka diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang menyedari kejadian itu semasa pulang dari laut menuju ke jeti pendaratan ikan berdekatan kawasan berkenaan.
Mangsa dan kembarnya dikatakan kali pertama mencari kepah di kawasan berkenaan dan kehadiran mereka ke situ hanya diketahui oleh ibu bapa mereka selepas menerima berita malang itu dari polis sejurus kejadian itu berlaku.
Gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Kuala Muda, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta nelayan tempatan dijalankan sebaik kejadian itu diketahui umum.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Yusuf yang ditemui di lokasi kejadian berkata, anak kembarnya itu tidak memaklumkan hasrat mencari kepah kepada dia dan isterinya sehinggalah berita malang itu dimaklumkan polis.
“Anak kembar saya ini memang meminati aktiviti memancing dan ini merupakan kali pertama mereka berdua mengikuti rakan mencari kepah.
“Tak sangka aktiviti ini merupakan insiden hitam buat kami sekeluarga,” katanya.
Ibu mangsa yang turut berada di lokasi kejadian gagal ditemubual kerana masih bersedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
Difahamkan dia telah beberapa kali pengsan hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarganya yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim yang ditemui mengesahkan kejadian dan berkata gerakan mencari dan menyelamat mangsa giat dilaksanakan.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment