Thursday, September 20, 2012

Remaja terpaksa tanggung kesakitan kaki terperosok dalam lubang

Remaja terpaksa tanggung kesakitan kaki terperosok dalam lubang
Norbaini (kanan) dan seorang lagi wakil Pejabat Parlimen Kuantan menunjukkan lantai yang pecah dan berlubang setelah dipijak remaja terbabit.
KUANTAN - Niat seorang remaja yang ingin bersiar-siar di sekitar kawasan India Town terbantut apabila dia cedera di bahagian lutut setelah lantai kaki lima bangunan kedai, di situ, pecah sebaik sahaja dipijak.

Remaja berkenaan, Lim Yu Xin, 19, berkata, kejadian berlaku Jumaat lalu semasa dia keluar berjalan-jalan melalui lorong pejalan kaki di kawasan terbabit.

Menurutnya, ketika melalui satu kawasan berhadapan sebuah anak tangga, secara tiba-tiba mozek yang dipijak pecah menyebabkan kakinya terperosok ke dalam lubang.

“Dari pandangan biasa, lantai mozek itu kelihatan elok dan tiada sebarang kerosakan, tetapi sebaik sahaja dipijak ia terus pecah. Sebelah kaki saya termasuk ke dalam lubang menyebabkan saya kesakitan dan cedera di lutut.

"Sepatutnya di bahagian bawah mozek itu ditampal dengan simen, tetapi saya tidak tahu kenapa ia kosong dan keadaan itu sangat berbahaya kepada orang awam. Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berwajib," katanya kepada media ketika menunjukkan lokasi kejadian, di sini, semalam. 

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis, termasuk memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Pahang, Norbaini Abu Bakar berkata, remaja terbabit ada membuat aduan kepada pihaknya dan berdasarkan tinjauan terdapat banyak lagi lantai yang rosak di kaki lima berkenaan.

“Mangsa ada membuat aduan kepada PBT, tetapi ia bukan tanggungjawab PBT kerana ia sebenarnya di bawah seliaan pemaju. Kami ada hubungi pemaju tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil bagi mengatasi  masalah itu.

“Kita dapati banyak lagi lantai yang hanya diletakkan mozek tetapi berlubang di bahagian bawah di kawasan itu dan ia boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan lebih ramai  mangsa, pihak berwajib harus bertindak,” katanya. 

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...