Saturday, September 22, 2012

Tujuh perenang Malaysia takluk Selat Inggeris

cara belajar berenang
JURULATIH renang, Arof Omar (kanan) mengetuai bacaan doa sebelum memulakan latihan bersama para perenang untuk RPSI1M 2012 di Dover, England pada 14 September lalu.
KUALA LUMPUR - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berasal dari Semporna, Sabah, Estino Taniyu, 24, mengharumkan nama negara apabila berjaya berenang merentasi Selat Inggeris secara solo semalam.

Estino memulakan renangan dari pantai Dover, England pada pukul 8.41 pagi waktu Malaysia (1.41 pagi waktu England) dan tiba di Pantai Sandy, Calais, Perancis pada pukul 10.22 malam waktu Malaysia (3.22 petang Perancis).

Dia menamatkan renangan sejauh 35 kilometer dalam tempoh 13 jam 41 minit dan 45 saat.

Kejayaan itu melengkapkan Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) yang turut melibatkan kumpulan enam anggota daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan TLDM yang turut berjaya menyeberangi selat tersebut menerusi renangan berganti-ganti kelmarin.

Mereka ialah Mohd. Roslan Mohd. Zawawi yang mengetuai renangan, Mohd. Khairul Faizal Mazli, Mohd. Salleh Mahmor, Buranurdin Sali, Sharizal Omar dan Mohd. Zulfadhli Mahamad.

Pasukan perenang berkumpulan itu berjaya menamatkan renangan dalam tempoh 14 jam 30 minit.

Mereka memulakan renangan dari pukul 8.30 pagi waktu Malaysia (1.30 pagi waktu England) dan tamat pada 10.30 malam (3.30 petang waktu Perancis).

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri merangkap Penasihat Ekspedisi RPSI1M, Datuk Akmar Hisham Mokhles memberitahu, keadaan laut yang bergelora telah menghalang pasukan tersebut tiba lebih awal.

"Bagaimanapun, kita bersyukur mereka berjaya menempuhi cabaran yang getir dan kejayaan ini merupakan kejayaan rakyat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ekspedisi RPSI1M adalah di bawah tajaan Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah penaung projek itu.

sumber- Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...