BALING - Sekumpulan penagih dadah nekad memecahkan kira-kira 50 bekas abu mayat yang disangka mempunyai barangan berharga seakan-akan emas di Tanah Perkuburan Siam Jalan Kampung Banggol Wan Mat, Baling, kelmarin.
Kejadian yang dipercayai dilakukan sebelah petang itu disedari beberapa penduduk setempat yang kebetulan berada di situ, namun mereka gagal memberkas kumpulan terbabit.
Suphang Samdinge, 50, dari Kampung Seberang Wat berkata, dia terkejut setelah dimaklumkan abu mayat milik keluarganya sejak puluhan tahun dulu turut dipecahkan.
Seorang penduduk melihat abu mayat yang berselerak dalam kejadian itu. |
“Saya kesal kerana mereka (penagih) sanggup memecahkan abu mayat untuk mencari barangan berharga. Kami tidak pernah meletakkan sebarang barangan berharga dalam bekas ini. Ia hanya mengandungi abu mayat semata-mata,” katanya semalam.
Menurutnya, kejadian itu turut mengakibatkan abu mayat berselerak dan bercampur dengan abu mayat dari ahli keluarga yang lain.
“Secara tidak langsung menyukarkan kami untuk mengasingkan semula abu mayat ini.
Tiada apa yang dapat dilakukan melainkan berharap kumpulan ini mendapat balasan yang setimpal,” katanya semalam.
Selain itu, kumpulan penagih terbabit turut mencuri pagar besi di kawasan perkuburan itu, cermin tingkap termasuk pagar besi simpanan abu mayat.
“Kejadian curi besi ini lama berlaku.
Namun, kami tidak hiraukan. Tetapi kesal bila mereka pecahkan abu mayat keluarga kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Cham Chai Che Rin, 30, dari Kampung Simpang Empat berkata, setiap malam pasti ada yang menagih di kawasan itu.
Menurutnya, alat menghisap dadah pun masih berada di tanah perkuburan ini.
“Penduduk setempat pun tidak berani datang ke kawasan ini pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, penduduk pernah cuba menghalau kumpulan penagih itu tetapi mereka melarikan diri dan akan datang pada keesokannya harinya.
“Penduduk tidak boleh buat apa. Tempat ini sunyi pada waktu malam. Siapa yang berani datang ke sini. Jadi, memang menjadi tumpuan penagih untuk lepaskan gian mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Cham Chai turut berharap pihak berkuasa dapat memantau masalah itu bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di kawasan lain.
“Penduduk setempat sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan masalah itu tidak terus berulang mahupun terjadi di kawasan lain,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment