Thursday, October 11, 2012

Jual buah pinggang langsai hutang

Jual buah pinggang langsai hutang
Phuah mahu menjual buah pinggang bagi langsai hutang.
KUALA LUMPUR - “Saya tiada pilihan lain, ini peluang terakhir, saya mahu menjual buah pinggang pada harga RM50,000 untuk melunaskan hutang dan memulakan hidup baru,” demikian luah mangsa ah long yang hanya mahu dikenali sebagai Phuah.

Phuah, 47, berkata, dia mula ketagih berjudi setelah rakan baiknya memperkenalkan kepadanya perjudian dalam talian pada Disember lalu.

“Saya menghabiskan masa kira-kira dua jam di kafe siber di Cheras. Saya membelanjakan antara RM200 hingga RM300 setiap hari untuk bermain judi,” katanya.

Menurutnya, dia kini terpaksa menanggung kerugian RM35,000 pada Jun lalu.

Phuah juga meminjam wang sebanyak RM5,000 daripada ah long untuk berjudi dengan harapan dapat mengubah nasibnya.

Phuah pernah bekerja sebagai pemandu lori, namun kini dia dipecat majikannya pada Isnin lalu kerana tidak tahan dengan sikapnya yang suka meminjam wang.

“Disebabkan hutang keliling pinggang, isteri dan dua anak perempuan saya melarikan diri sejak minggu lalu. Saya gagal mengesan di mana mereka berada,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, Phuah yang berasal dari Ampang itu mendakwa mahu menjual buah pinggangnya untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dialami.

“Dia datang ke pejabat saya dan memberitahu hasratnya itu, saya menegaskan ia menyalahi undang-undang. Saya cadangkan kepadanya melangsaikan hutang secara ansuran,” katanya.

Menurutnya, Biro Pengaduan Awam MCA menerima sebanyak 444 kes berkaitan dengan ah long dengan jumlah pinjaman sebanyak RM30 juta sejak awal tahun sehingga semalam.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...