Saturday, November 3, 2012

Hajat bercuti bertukar tragedi

rombongan sekolah kemalangan
Bas terbabas ke bahu jalan
NILAI – Kegembiraan pelajar Sekolah Kebangsaan Petasih, Jelebu untuk bercuti ke Perak sempena cuti persekolahan yang bermula semalam bertukar tragedi selepas bas dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Batang Benar, Nilai berhampiran stesen Komuter Batang Benar dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan dua murid berusia 11 tahun cedera parah manakala 23 lagi mengalami cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Mantin menuju ke Nilai dengan membawa 33 penumpang terdiri daripada murid berusia sembilan hingga 12 tahun termasuk tiga guru pengiring.

“Sejurus tiba di lokasi, sebuah lori membawa muatan batu yang keluar dari sebuah kuari di tempat kejadian tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh bahagian kiri tepi bas.

"Perlanggaran itu menyebabkan bas terbabit terbabas ke bahu jalan manakala lori yang dipandu lelaki berusia 25-an itu terbalik,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan  dua murid mengalami cedera parah kerana tercampak di dalam bas manakala 23 lagi hanya cedera ringan.

Kata jurucakap polis lagi, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan kini telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan dan dua murid yang cedera parah pula kini dilaporkan stabil," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Nashriq Haikal Rahim, 12, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur namun dikejutkan oleh bunyi dentuman yang kuat.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku tapi saya rasa macam ada kenderaan lain melanggar bas kami menyebabkan saya terhempap kawan saya yang duduk di sebelah.

“Saya takut sangat dan selepas itu kami diarahkan turun oleh guru. Saya terkejut kerana melihat sebuah lori terbalik di tengah jalan dan baru tahu yang bas kami kemalangan,” katanya.

Manakala Mohd Zamzulkarnain Kudus, 9, berkata, sebelum kejadian, dia sedang bersembang dengan rakannya kerana terlalu seronok untuk bercuti.

Namun katanya, dia dikejutkan dengan bunyi hon sebelum melihat sebuah lori tiba-tiba merempuh bas dinaikinya menyebabkan dia terhantuk di bahagian tingkap bas.

“Saya duduk di bahagian tepi tingkap, jadi saya sempat melihat lori itu meluru ke arah bas kami.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian telinga saya cedera, namun saya bersyukur kerana semua rakan saya selamat dan hanya mengalami kecederaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Yusof Awang mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...