Monday, November 12, 2012

Mangsa samun dipukau, suri rumah rugi RM5,000

SETIU - “Saya seperti dipukau apabila hanya nampak bahagian lutut dan senjata tajam yang digunakan penjenayah yang menyamun saya,” kata suri rumah, Nizam Yusof, 43, yang kerugian kira-kira RM5,000 selepas disamun sekumpulan penjenayah di rumahnya di Kampung Balik Bukit, Permaisuri, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Nizam hanya berdua bersama seorang anak bongsu, Noriman Balkis Mohd Ghani, 2 tahun di rumah berkenaan.

Mangsa samun dipukau
Nizam menunjukkan kesan kecederaan kecil selepas rantai lehernya diragut lelaki yang menyamun di rumahnya di Permaisuri,
Menurutnya, dia didatangi sekumpulan lelaki yang dipercayai tiga orang dan salah seorang daripada mereka menyerbu naik ke dalam rumah sambil memegang sesuatu.

“Saya ketika itu sedang makan nasi bersama anak di depan pintu utama rumah dan tiba-tiba sebuah kereta masuk di persimpangan rumah sebelum seorang daripada mereka menyerbu ke arah saya.

“Saya seperti dipukau kerana hanya nampak kaki lelaki itu manakala badan dan wajahnya langsung tidak nampak. Seorang rakannya berada di bahagian tangga manakala seorang lagi berada berdekatan kereta,” katanya yang tidak dapat melihat langsung badan dan muka penjenayah kerana ketakutan atau dipukau.

Nizam berkata, penjenayah bertindak meragut rantai emas yang dibeli daripada wang hantaran kahwinnya dahulu menyebabkan lehernya mengalami cedera ringan.

Katanya, sebelum itu suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Iswara Sedan berwarna biru kelihatan mundar mandir melalui jalan depan rumahnya sejak jam 6.30 pagi lagi.

Menurutnya, pada mulanya salah seorang anak perempuannya ternampak kereta tersebut bergerak perlahan sambil pemandu dan penumpang melihat ke arah rumahnya pada awal pagi itu.

“Selepas suami saya keluar dari rumah untuk menghantar anak yang bersekolah pada jam 7.30 pagi, salah seorang daripada penjenayah itu datang ke bahagian pintu dapur dan berpura-pura bertanyakan seseorang.

“Bagaimanapun, selepas bertanya, lelaki itu melarikan diri dan kereta tersebut memecut ke arah Kuala Terengganu selepas salah seorang anak lelaki saya yang tinggal di rumah sebelah datang ke arah lelaki tersebut,” katanya.

Menurutnya, selepas sejam, penjenayah tersebut datang semula dan menyamun mangsa sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, ASP Idris Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, pihaknya sudah mengesan pemilik kereta tersebut dan tindakan lanjut akan dilakukan.

sumber- Sinar

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...