Thursday, November 1, 2012

Warga emas maut akibat sesak nafas selepas dirompak

ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas yang tinggal sendirian, maut dipercayai akibat sesak nafas selepas mulutnya diikat dengan tuala oleh perompak yang memecah masuk rumahnya di Lorong Keriang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, G. Supama, 68, ditemui terbaring di atas lantai sebuah bilik di tingkat bawah rumahnya dengan tangan dan mulutnya diikat dengan tuala oleh jirannya yang sebelum itu terdengar bunyi bising di rumah itu.

maut sesak nafas
Beberapa anggota polis mengusung mayat warga emas, G. Supama, 68, yang mati selepas disamun di rumahnya di Lorong Keriang Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Jiran wanita itu, Chua Chong Kong, 53, berkata dia terdengar bunyi bising dalam rumah mangsa sebelum bersama beberapa rakan pergi ke rumah mangsa untuk melihat keadaan sebenar mangsa yang tinggal bersendirian setelah kematian suami beberapa tahun lepas.

"Kami terpaksa pecah pintu pagar rumah mangsa selepas mangsa tidak menyahut panggilan. Pintu rumah mangsa sudah terbuka dan (kami) terus masuk untuk melihat keadaan mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Chua berkata mereka terkejut melihat mangsa terbaring di atas lantai sambil tangan dan mulutnya diikat dengan tuala, dan ketika itu mangsa masih bernafas.

"Kami angkat mangsa ke ruang tamu untuk memberi bantuan kecemasan dan tidak lama kemudian mangsa tidak lagi bernafas," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Zakaria Ahmad ketika dihubungi berkata perompak itu didapati melarikan barangan kemas yang dipakai mangsa dan siasatan mendapati perompak masuk melalui bumbung atas rumah mangsa.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan lain dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhubung punca sebenar kematiannya," katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

sumber- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...