Akuarium yang menempatkan beberapa ekor jerung telah pecah di sebuah pusat beli belah di Nanjing, China. Insiden yang berlaku ini telah menyebabkan 15 individu tercedera termasuk pelanggan dan juga para pekerja. Seorang lelaki berusia 30an telah menjadi mangsa dari runtuhan cermin akuarium. Akibatnya, tulang kakinya patah dan mengalami luka-luka serta lebam.
Tiga ekor jerung yang dibesarkan dalam akuarium tersebut telah terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 7.50 petang waktu tempatan. Pasukan polis masih menyiasat punca kejadian. Lapan yang tercedera dipercayai adalah pelanggan dan selebihnya adalah pembantu gerai dan juga petugas keselamatan.
Akuarium ini telah dibina kira-kira dua tahun lalu. Beberapa kaunter kosmetik sekitar akuarium rosak teruk manakala air melimpah keluar pusat membeli-belah tersebut. "Ianya pecah dan runtuh secara tiba-tiba," kata salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Li. Dia telah tercedera akibat ditimpa bingkai besi.
Saksi lain berkata, beberapa mangsa cuba untuk bangun dan meminta pertolongan manakala sebilangan pekerja dibawa keluar oleh rakan-rakan mereka. Kesemua kecederaan berlaku dalam pusat membeli belah tersebut kecuali seorang lelaki yang tercedera ketika sedang berlegar diluar.
Chen Yongping, pegawai pengurusan pusat membeli-belah tersebut berkata, akuarium ini diperbuat dari gelas acrylic dengan ketebalan 15 cm. Kerja-kerja mencuci dan menukar air dilakukan setiap minggu. Akibat kejadian itu, seluruh kawasan ini telah ditutup dan para pelanggan diminta untuk beredar. Kebiasaannya, pusat beli-belah ini hanya ditutup pada pukul 10 malam setiap hari.
Akuarium ini sangat popular dan menjadi tarikan semenjak pembukaannya pada Hari Kebangsaan dua tahun yang lalu. Ianya dihuni pelbagai hidupan laut seperti jerung, penyu dan beberapa spesis lain. Pada Jun lalu, dua ekor jerung telah mati akibat paip pecah. Empat ekor penyu turut terpaksa dipindahkan selepas insiden bulan itu. "Pada masa akan datang, kami tidak akan membina akuarium lagi," kata Chen.
0 comments:
Post a Comment