Tuesday, December 25, 2012

Pengumpul pakaian siri televisyen mahu bina muzium

PHOENIX, Amerika Syarikat - Seorang peminat dan bekas penulis skrip televisyen, James Comisar merancang untuk membina sebuah muzium televisyen di sini, dalam negeri Arizona.

Dia mengumpulkan banyak koleksi pakaian watak-watak dalam siri televisyen dan filem termasuk dari tahun 1930-an sehingga kepada sepasang kasut but yang dipakai pelakon Larry Hagman dalam drama bersiri Dallas.

James Comisar
DUA helai pakaian yang pernah digunakan dalam siri televisyen Star Trek juga berada dalam simpanan Comisar.
Comisar juga mempunyai koleksi peralatan yang digunakan dalam siri-siri televisyen.

Jika dia menjual semua koleksinya, dia akan menjadi seorang jutawan, lapor agensi berita AP semalam.

Pada bulan lalu, terdapat seorang peminat membayar sebanyak AS$480,000 (RM1.47 juta) untuk memiliki sehelai pakaian yang dipakai Judy Garland dalam filem The Wizard of Oz pada tahun 1939.

"Saya mahu membina sebuah muzium untuk menceritakan segala-galanya tentang perkembangan televisyen sejak lebih 60 tahun lalu," katanya.

Mempunyai keluasan sekitar 4,645 meter persegi, Comisar, 48, berkata, dia memerlukan AS$35 juta (RM11.42 juta) untuk membina muzium berkenaan yang menyimpan koleksinya.

Menurutnya, dia berharap muzium tersebut dapat dibuka kepada orang ramai dalam tempoh tiga tahun lagi.

Setakat ini, Comisar menggunakan wang sendiri untuk merealisasikan impiannya tetapi dia berharap idea tersebut dapat menarik sumbangan penderma-penderma yang berminat.

Dia mengumpul koleksi itu sejak 25 tahun lalu.

Comisar berkata, mengumpulkan koleksi itu amat mudah bagi seseorang yang dapat memasuki studio televisyen.

Menurutnya, kebanyakan barang-barang itu hanya dibuang atau diberikan kepada orang lain selepas penerbitan sesebuah siri televisyen ditamatkan. 

sumber- Agensi

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...