Selamat Datang Ke blog-ketegaq.blogspot.com

Blog terbaik yang menyediakan pelbagai cerita dan artikel menarik dari seluruh dunia. Like kami di facebook tanda sokongan anda dan untuk mendapat update artikel terkini dari kami.

Isu Semasa

Artikel-artikel terkini mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Segalanya dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Pelik

Segala fakta dan artikel mengenai perkara-perkara yang pelik boleh diperolehi di sini. Semua artikel adalah berdasarkan sumber dan kesahihannya anda sendiri tentukan.

Herba Dan Botani

Artikel mengenai tumbuh-tumbuhan yang digunakan untuk perubatan dan penjagaan kesihatan.

Alam Ghaib

Himpunan artikel mengenai alam ghaib yang sukar diperjelaskan dengan mata kasar. Admin mengalukan sumbangan artikel, gambar-gambar atau video untuk dikongsi bersama dalam blog ini.

Saturday, July 14, 2012

Terowong dadah ditemui

TEROWONG yang ditemui di bandar San Luis, Arizona.
LOS ANGELES - Sebuah terowong untuk menyeludup dadah yang dilengkapi lampu dan ruang pengaliran udara ditemui di bandar San Luis, Arizona Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico, kata beberapa pegawai kelmarin.

Tiga orang ditangkap dalam operasi yang dilakukan oleh agensi-agensi penguat kuasa undang-undang AS.

Terowong itu setinggi 1.8 meter dan menuju ke sempadan Mexico.

Laluan masuk ke terowong itu ditemui di bawah tangki air di sebuah bilik stor di dalam sebuah bangunan satu tingkat di San Luis.

Askar-askar Mexico turut menemui sebuah lagi terowong dadah yang sedang dalam pembinaan di bawah sinki di sebuah rumah gudang di Tijuana, 300 meter dari sempadan Arizona.



sumber- Kosmo

Remaja maut tercampak atas bumbung kereta

PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat mangsa di atas bumbung kereta.
PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat mangsa di atas bumbung kereta.
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menemui ajal di atas bumbung kereta apabila motosikal ditunggangnya berlanggar sebuah kereta di hadapan Masjid Al-Taqwa, Paya Bemban, Jalan Hospital, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Elfie Farhan Mohd Nasir, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke Kota Bharu sebelum berlanggar sebuah kereta Proton Saga BLM menyebabkan mangsa tercampak ke atas bumbung kereta itu.

Bagaimanapun, rakan mangsa cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku apabila kereta dari arah lampu isyarat Berek 12 menghala lampu isyarat Kampung Cherang secara tiba-tiba membelok ke kanan sebelum motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian hadapan kereta itu.

“Mangsa tercampak di atas bumbung kereta dan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Nasir Zaminuddin, 39, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh anak sulungnya ketika dalam perjalanan untuk berniaga di pasar.

“Saya berpatah balik menuju tempat kejadian untuk melihat anaknya.




“Pada mulanya saya ingatkan ia kemalangan biasa, tetapi apabila tiba di tempat kejadian saya lihat anak saya terbaring di atas bumbung kereta dan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di HUSM, semalam.

Menurutnya, dia dan anak kedua daripada empat beradik itu rapat seperti rakan karib.

“Kami rapat dan masih terngiang-ngiang hasrat arwah yang mahu menyambung pelajarannya selepas memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian. Pemergiannya amat dirasai, tetapi saya reda,” katanya.

sumber- HMetro

Tiga lelaki larikan barang kemas RM3 juta

DUA anggota polis mengawal kedai emas yang dirompak
di pasar raya Carrefour, Seberang Jaya semalam.
BUTTERWORTH - Tiga lelaki yang menyamar sebagai pelanggan melarikan barang kemas bernilai lebih RM3 juta dari sebuah kedai emas dalam pasar raya Carrefour Seberang Jaya di sini semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang ketika tujuh pekerja dan seorang pelanggan berada di dalam kedai.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit menyamar sebagai pelanggan dan meminta pekerja mengeluarkan rantai-rantai emas kononnya untuk dibeli.

"Secara tiba-tiba tiga lelaki terbabit mengeluarkan tiga pucuk pistol dan mengacukannya kepada pekerja serta pelanggan sambil memberi amaran kepada mereka supaya jangan bergerak," katanya kepada pemberita di sini.



Katanya, perompak itu menjadikan seorang pekerja kedai emas sebagai tebusan dengan mengacu pistol di kepalanya manakala pekerja lain diarah memasukkan barangan kemas dalam sebuah beg sebelum mereka melarikan diri.

sumber- Kosmo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...