Sunday, July 29, 2012

Erra rindu ayah

Nenek Erra Fazira, Rahimah Sakol.
Nenek Erra, Rahimah Sakol.
RAWANG: “Memang dia pernah bertanya mengenai ayahnya dan sekali-sekala meluahkan rasa rindu,” kata Rahimah Sakol, 76, nenek kepada penyanyi, pelakon dan bekas ratu cantik negara, Erra Fazira atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 38.

Beliau mengulas pendedahan Erra mengenai identiti sebenar bapa kandungnya dalam iklan komersial ‘Jalinan Kasih di Aidilfitri’ yang akan ke udara secara eksklusif di Astro pada minggu terakhir Ramadan.

Program berkenaan turut mengisahkan apa berlaku dalam hubungan dua beranak itu, sekali gus menjawab teka-teki ramai yang ingin mengetahui status bapa kandung Erra selepas pelbagai kontroversi dan dakwaan dibuat pihak tertentu.

Dalam program itu, Erra mendedahkan bapa kandungnya, Wan Chek sebenarnya adalah jirannya di kampung yang dipanggil Along tetapi dia hanya mengetahui perkara berkenaan ketika berusia lapan tahun apabila bapanya meninggal dunia dalam nahas jalan raya. Sebelum itu ibunya, Azizah Zaik mendakwa Wan Chek sudah mati.

Menurut Rahimah, Erra ketika zaman kanak-kanaknya sering ke rumah lelaki berkenaan, namun kunjungan itu biasanya tidak lama.

“Tidak banyak yang dapat nenek buat ketika itu, maklumlah ia perihal rumah tangga anak nenek (ibu Erra),” katanya yang kelihatan masih tegap melakukan aktiviti berkebun di halaman rumahnya, dekat sini.

Menurutnya, arwah bapa Erra meninggal dalam kemalangan dan dia tidak dapat mengingat usia sebenar Erra ketika itu, namun cucunya ketika itu sudah bersekolah.

“Dia darjah (tahun) satu atau dua ketika itu, nenek tak pasti, tapi masih ingat dia berada di Kuala Lumpur kerana mengikut ibunya bekerja di sana,” katanya.

Rahimah berkata, sejak mengetahui lelaki itu bapanya, Erra sering menziarah kubur arwah selain gemar ke rumah nenek sebelah bapanya yang dipanggil opah.

Bagaimanapun, opahnya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

“Yalah, itukan ayahnya, takkan dia nak lupakan ayahnya, tambahan pula mereka jarang berjumpa ketika dia membesar.

“Dia juga takkan lupa menjengah nenek di sini kalau pulang, terutama jika hari raya, tapi kalau tahun itu dia ke kampung suaminya (Engku Emran) dia akan telefon,” katanya.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...