Monday, July 16, 2012

Tak sempat lepas gian

LABUAN: Hasrat tiga sekawan melepaskan gian bersama-sama terbantut apabila mereka dicekup polis dalam ‘Operasi Tapis’ di hadapan sebuah hotel, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.30 malam, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kenderaan di kawasan berkenaan sebelum dihampiri dan ditahan sepasukan pegawai serta anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

Pemeriksaan menemui satu keratan penyedut minuman dipercayai mengandungi syabu menyebabkan semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Kasran berkata, pihaknya mengesan sebuah Perodua Kembara dinaiki tiga lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah hotel.

“Sebaik dihampiri, polis memperkenalkan diri selain meminta kebenaran untuk melakukan pemeriksaan tubuh terhadap semua mereka, namun tidak menemui sebarang benda terlarang.

“Pemeriksaan dalam kenderaan menemui satu keratan penyedut minuman plastik mengandungi syabu seberat 0.12 gram,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Labuan untuk ujian air kencing dan disahkan positif syabu.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka memiliki dadah untuk kegunaan sendiri dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan itu diperoleh.

“Semua suspek direman empat hari bermula hari ini (semalam) mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.


Sementara itu, dalam operasi sama, polis menahan seorang lelaki di sekitar Jalan Tun Mustapha pada jam 9 malam pada hari sama.

“Suspek berusia 40-an dibawa ke IPD Labuan untuk ujian air kencing dan didapati positif dadah.

“Polis sentiasa melakukan operasi sama di sekitar bandar bagi membanteras kegiatan berkaitan dadah,” katanya.

sumber- HMetro

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...