Mohd Zaki tekun menjahit bagi menyiapkan tempahan baju Melayu untuk digayakan pelanggan di Aidilfitri ketika ditemui di kedainya di di tingkat atas Pasar Besar Kuala Berang, semalam. |
KUALA BERANG - Biarpun kudratnya kian terbatas, namun seorang datuk empat cucu di sini tetap memerah keringat dan bersengkang mata saban tahun mengambil upah menjahit baju Melayu untuk digayakan pelanggannya di pagi Aidilfitri.
Menurut Mohd Zaki Mohamad, 68, walaupun sudah lebih 40 tahun benang dan jarum menjadi teman setianya, dia tidak pernah merasa jemu mengambil upah menjahit apatah lagi rezeki tukang jahit sepertinya pasti akan meningkat berbanding bulan biasa menjelang hari raya.
Mengimbau nostalgia lalu, warga emas yang tinggal di Rumah Murah Jalan Pusara, Kuala Berang ini mengakui dia mula mengenali dunia jahitan ketika mengikuti kursus di Pusat Latihan Belia, Dusun Tua sekitar 1960-an lalu dan minatnya mulai timbul sehinggalah kini.
“Walaupun menjahit sinonim dengan wanita, tetapi ia bukan halangan untuk pakcik meminati bidang ini. Asalnya, pakcik berada di pusat latihan tersebut untuk jalani latihan kawad namun ketika itu pelatih turut diajar menjahit sarung bantal dan kelambu.
“Lama-kelamaan minat itu semakin timbul, malah pakcik juga menjalani praktikal di beberapa kedai sekitar Kuala Lumpur. Sekitar akhir 1970-an, pakcik membuka sebuah kedai jahit di Kuala Berang ini dengan kadar sewa ketika itu RM30 sebulan," katanya.
Katanya, tapak asal kedai yang disewa ketika itu adalah Bangunan Umno Bahagian Hulu Terengganu kini dan kedai sekarang ini adalah yang keempat.
"Sedar tak sedar, sudah lebih 40 tahun pakcik mengambil upah menjahit baju Melayu ini dan syukurlah ia memberikan pakcik sumber rezeki.
“Walaupun pendapatan tidak menentu, tetapi cukuplah untuk belanja pada hari raya. Pelanggan membuat tempahan baju raya seawal Mei lalu lagi, bulan puasa hanya digunakan untuk menyiapkan baju Melayu ditempah dan pakcik tidak lagi mengambil tempahan baru,” katanya ketika ditemui di kedainya di tingkat atas Pasar Besar Kuala Berang, di sini, semalam.
Tidak hairanlah nama pakcik Zaki meniti di bibir penduduk sekitar setiap kali tiba musim perayaan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki dalam jahitan baju Melayu tidak boleh dipertikaikan.
Kata suami kepada Limah Sulong, 61 ini, walaupun tempahan menjelang Aidilfitri masih ada, namun dia tidak dapat menerimanya kerana khuatir tidak dapat siapkan tempahan apatah lagi dengan kudratnya yang kian terbatas.
“Pakcik mengambil tempahan pelanggan mengikut kemampuan, untuk baju Melayu sahaja, kini sudah lebih 50 pasang ditempah. Kadar bayaran antara RM80 hingga RM90 sepasang. Jika tidak sempat di kedai pakcik akan menyambungnya di rumah, bimbang pelanggan tidak dapat pakai baju raya nanti.
“Pakcik bersyukur kerana masih dikurniakan penglihatan yang baik untuk menjahit. Sehari tidak menjahit, dirasakan ada sesuatu yang kurang dan pastinya pakcik tidak akan berhenti menjahit selagi terdaya,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment