Suspek ditahan untuk siasatan lanjut. |
KULIM - Dipercayai disebabkan tekanan setelah ditinggalkan suami, seorang isteri beranak tiga mengambil tindakan nekad memecahkan cermin bank di pekan Kulim kira-kira jam 9.10 malam semalam.
Saksi di tempat kejadian enggan dikenali berkata, suspek dilihat berlegar berseorangan di hadapan bank sebelum mengambil tukul besi lalu memecahkan cermin bank terbabit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Ghuzlan Saleh berkata, ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang berada di lokasi memaklumkan insiden itu kepada polis dan meminta bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) ke tempat kejadian.
“Apabila tiba polis mendapati suspek di dalam bank dan di tangannya mempunyai tukul besi. Curiga perwatakan suspek, polis memujuknya hampir 10 minit supaya menyerahkan tukul besi dipegang. Akhirnya suspek menyerahkan diri.
"Siasatan dijalankan mendapati suspek berhadapan masalah peribadi dan mempunyai rekod pesakit mental. Suspek dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.
Ghuzlan berkata, anggota polis tidak menggunakan kekerasan terhadap suspek malah akan berbincang dan menggunakan cara terbaik memastikan mereka menyerah diri.
Menurutnya, itu kejadian pertama pesakit mental melakukan kerosakan harta benda di Kulim. Beliau menasihatkan mereka mempunyai ahli keluarga yang mengalami tekanan perasaan atau penyakit mental supaya tidak membenarkan mereka berjalan bersendirian terutama di waktu malam.
“Kita bimbang sekiranya perlakuan jenayah berlaku terhadap diri mereka. Walaupun mengalami gangguan mental, saya nasihatkan ahli keluarga atau waris supaya menemani mereka ketika berjalan di tempat awam. Keselamatan mereka harus diutamakan,” katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment