Tumpahan minyak enjin yang memenuhi dua lorong termasuk lorong kecemasan |
BUKIT TAGAR - Tiga kelindan cedera di muka, tangan dan kaki setelah lori muatan minyak enjin dinaiki terbabas dan terbalik merentangi jalan di Kilometer 420.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Ipoh sebelum susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar di sini.
Salah seorang mangsa, A Selvam, 22, berkata, ketika kejadian lori dipandu abangnya, A Logeswaran, 32, dalam perjalanan ke Pulau Pinang sebelum terbabas di laluan berkenaan kira-kira jam 5.07 petang, semalam.
“Kami dalam perjalanan ke balik Pulau Pinang selepas ambil muatan minyak enjin.
“Ketika sampai di laluan itu, spring penyerap hentakan patah dan abang saya gagal mengawal lori lalu terbabas dan terbalik,” katanya yang cedera di kaki kanan.
Menurutnya, lori mereka terbalik sehingga menghalang dua lorong lebuhraya manakala muatan minyak enjin berterabur dan tumpah di atas jalan.
"Dua lagi kelindan, M Barathan, 19, cedera di muka dan dua belah tangan sementara seorang lagi, D Suresh, 28, turut cedera di dua belah tangan.
"Bagaimanapun, abang saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan terus membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.
Sementara itu, Selvam berkata, dalam menahan kesakitan dan masih terkejut dengan kejadian itu, ada di kalangan pengguna jalan raya mengambil kesempatan mencuri muatan minyak enjin yang berterabur."Kami rasa teraniaya, sudahlah ditimpa kemalangan, orang lain pula sibuk mencuri muatan menyebabkan kerugian yang lebih besar.
“Kalau tolong bersihkan dan alihkan ke tepi jalan tidak mengapa, tapi tidak, sebaliknya mereka mencurinya,” katanya sambil menerima bantuan pernafasan di dalam ambulan bersama dua kelindan lain.
Difahamkan, mereka yang tercedera dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Slim River.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment