Kamariah menunjukkan beg duit yang menempatkan duit raya pemberian anak dan cucunya yang dilarikan dua lelaki, petang kelmarin. |
LUBUK CHINA – Seorang warga emas tidak menyangka kunjungan dua lelaki berpakaian seragam seperti kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kediamannya adalah penyamun apabila wangnya dikesan hilang di Kampung Nerambai, dekat sini, petang kelmarin.
Warga emas berkenaan, Kamariah Derauh, 84, berkata, dia dikunjungi dua lelaki berkenaan kira-kira jam 3 petang dan tidak mengesyaki apa-apa memandangkan mereka telah menyamar sebagai kakitangan TNB serta mahu membaiki sistem pendawaian elektrik di kediamannya.
Menurutnya, dia kemudiannya membenarkan dua lelaki berkenaan memasuki kediamannya untuk melihat dengan lebih dekat meter elektrik yang terletak betul-betul di ruang tamu dan telah diminta untuk mengambil kad pengenalan sebagai rekod bagi tujuan baik pulih berkenaan.
“Selepas itu, salah seorang daripada lelaki berkenaan meminta mak cik menunjukkan meter elektrik, manakala seorang lagi memeriksa sistem pendawaian elektrik berhampiran tempat tidur yang turut menempatkan beg duit.
“Dua lelaki berkenaan membuat kerja dan pemeriksaan di rumah mak cik kira-kira setengah jam dan akhirnya meminta diri untuk pulang setelah selesai memeriksa sistem pendawaian elektrik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini, semalam.
Kamariah berkata, dia yang merasa tidak sedap hati mula memeriksa beg duit yang diletakkan di kabinet baju dan terkejut mendapati duit raya berjumlah RM450 telah hilang.
"Walaupun tidak diapa-apakan dua lelaki berkenaan, mak cik terkilan kerana duit raya pemberian anak dan cucu hilang begitu sahaja.
"Mak cik terus membuat laporan di Balai Bolis Kota berhubung kejadian," katanya.
Walau bagaimanapun katanya, selepas menunaikan solat maghrib, dia memeriksa beg tangan yang diletakkan di atas katil yang tersimpan wang hasil jualan kelapa sawit berjumlah RM450 dan mendapati ia turut hilang.
"Selepas ini mak cik akan lebih berhati-hati memandangkan ini adalah kejadian kali kedua berlaku di mana kali pertama barangan kemas bernilai RM6,000 hilang selepas rumah makcik dipecah masuk beberapa tahun lalu," katanya.
sumber- Sinar
0 comments:
Post a Comment